Friday, April 1, 2011

Memilih Ukuran Jubin

serenemaklong.blogspot.com

Secara umum, jubin seramik termasuk mozek dikeluarkan dalam pelbagai ukuran, sekecil 2 x 2 sentimeter (sm) sehinggalah sebesar 90 x 90 sm.

Jubin kecil
Jubin kecil berukuran 30 x 30 sm lebih sesuai untuk bilik kecil, misalnya yang berkeluasan 3 x 3 meter kerana ini memblehkan anda menghayati sepenuhnya kehadiran jubin berkenaan.

Jubin yang lebih kecil seperti mozek pula memberi peluang kepada anda mencipta corak pada dinding atau lantai, sama ada meliputi keseluruhan permukaan atau hanya sebagai garis sempadan. Ia boleh disusun membentuk rekaan kecil mengikut kreativiti anda. Kini dengan kemudahan Rekaan Bantuan Komputer (CAD), anda boleh menghasilkan sebarang corak yang dikehendaki menggunakan jubin segi empat kecil daripada porselin ini.

Penggunaan jubin kecil juga menghasilkan garisan dan dengan sedikit kreativiti boleh diguna untuk membentuk sebahagian corak pada keseluruhan rekaan di dalam ruang. Bayangkanlah garis-garis putih yang terserlah menerusi cantuman kepingan jubin hitam atau berwarna gelap. Dari sudut praktikal, lebih banyak garisan yang diwujud akan menghasilkan geseran atau cengkaman permukaan yang lebih kuat dan ini sangat baik untuk keselamatan orang tua atau anak kecil yang sedang belajar berjalan.

Jubin besar
Umumnya, jubin besar berukuran 60 x 60 sm misalnya, lebih sesuai untuk ruang yang luas. Bahkan jubin begini dikatakan menjadi pilihan masa kini. Penggunaannya berupaya memberi dimensi baru kepada ruang yang besar kerana ia kurang menghasilkan garisan pada mata kasar, dengan itu mewujudkan suasana yang lebih luas dan lapang.

Jubin besar juga boleh diubah dan dipotong untuk disesuaikan dengan ruang yang kecil. Kelebihan menggunakan jubin besar di ruang kecil ialah menampakkan seolah-olah ruang itu tidaklah sekecil yang disangkakan.

Dari sudut praktikal, kurangnya garisan cantuman maka kuranglah kerja pembersihan celahan jubin yang perlu dilakukan, dengan itu meringankan kerja penyelenggaraan.

Suai padan
Mengadun dan menyuaipadan jubin pelbagai ukuran pada lantai bagi membentuk satu corak adalah langkah yang berani dan mencabar. Jika dibuat dengan betul, gabungan ini boleh mencantumkan beberapa ruang atau membahagikan ruang. Salah satu ilham ringkas tetapi menarik ialah menyusun jubin 30 x 60 sm bersama-sama 30 x 30 sm dalam bentuk modular. Cara ini memudahkan kita merancang corak yang diingini.

Sewaktu mereka corak atau menggabungkan jubin pelbagai ukuran dalam satu ruang, jangan lupa mengingatkan kontraktor anda supaya membeli ukuran jubin kecil yang betul. Ini sangat penting bagi memastikan corak yang ingin dihasilkan dapat dibuat dengan sempurna.

Pendek kata, pertimbangkanlah soal nilai estetika dan kesesuaian sewaktu memilih ukuran jubin. Dengan sedikit pengiraan dan berhati-hati, pasti anda akan memperoleh hasil yang memuaskan.
(Sumber: Anjung Seri)




No comments:

Post a Comment