Friday, March 4, 2011

Taman Herba - Indah Menarik Bermanfaat


Pokok herba seperti serai, kunyit, kantan, halia, pandan, lengkuas dan sebagainya mempunyai nilai estetika yang tinggi dan sesuai disisipkan ke dalam taman tropika atau nusantara, sama ada ditanam di pinggir taman air atau di kaki binaan gerbang dan wakaf. Atau kita boleh sahaja menanamnya di belakang atau di penjuru rumah.

Jika tanaman herba disusun kedudukan serta dikawal pembiakan, ia boleh menjadi pokok hiasan yang menarik. Herba mudah ditanam dan tidak sukar dijaga. Selagi keadaan persekitaran dalam keadaan sempurna, pokok dapat membesar dengan subur.  Sesetengah pokok herba mengeluarkan bau harum contohnya pokok nilam. Ini memberi keistimewaan pada taman berkenaan.

Untuk menghasilkan taman herba yang menarik, perlu dipertimbangkan beberapa perkara:

  • Jenis tanah, jangka hayat, tumbesaran, wangian dan pelindung (pokok naungan atau tempat yang tidak kena pancaran matahari terik sepanjang masa).
  • Kebanyakan tumbuhan herba berbatang dan berdaun lembut dan kerana itu tidak tahan pancaran matahari yang sangat terik. Ia memerlukan pokok naungan seperti mangga, kelapa, belimbing atau nangka.
  • Sifat setiap pokok juga perlu difahami sebelum menanam, terutama jika ingin membentuk taman herba yang menarik dan sempurna.
  • Sebaik-baiknya susun pokok berasaskan tekstur daun.
  • Pokok yang membiak dengan cepat memerlukan pemangkasan, penyelenggaraan serta penjagaan rapi.
  • Tanaman herba mudah kering akibat cuaca panas. Oleh itu permukaan lanskap memerlukan sistem pengairan yang baik dengan tahap kelembapan tanah yang sesuai.

No comments:

Post a Comment