Bagaimana hendak tahu jika ada anai-anai menyerang? Dengan berbekalkan sebuah lampu suluh dan sebarang pemutar skru, kita boleh melihat tanda-tandanya.
Laluan lumpur anai-anai.
Laluan lumpur ini boleh didapati di dinding, ruang sempit dalam kambi (skirting) lantai kayu, bingkai pintu, bingkai tingkap dan kawasan yang berkayu. Perhatikan juga struktur kayu di siling. Anai-anai sering menyerang bahagian ini sebelum naik ke bumbung.
Timbunan surat khabar yang dikumpul dalam bilik stor sebelum dihantar ke pusat kitaran semula pun boleh menjadi sasarannya, kerana surat khabar berasal daripada kayu.
Jika laluan lumpur berkeadaan kering, mungkin ia tidak lagi aktif. Namun, untuk memastikannya, kikis 2.5 sm hingga 5 sm di tengah-tengah laluan lumpur. Jika laluan itu aktif, anai-anai boleh membinanya semula dengan segera, mungkin dalam masa sejam atau dua.
Perubahan warna atau tekstur kawasan berkayu.
Perhatikan jika ada bahagian kayu yang berubah warna, contohnya daripada perang gelap menjadi perang pucat. Lihat juga tekstur kayu tersebut sekiranya suatu bahagian berbeza warna dengan bahagian yang lain. Contohnya lantai parquet, bingkai pintu dan tingkap serta pemidang kayu.
Rekahan dan lubang (struktur yang berongga)
Cari rekahan dan lubang pada bingkai pintu atau tingkap terutama di bahagian sisi. Jika ada ruang kecil, cari laluan lumpur di situ. Dengan mengguna pemutar skru, ketuk bingkai secara rawak di beberapa tempat, bermula dari bawah hingga ke atas bingkai. Perhatikan jika ada yang berongga.
Walaupun di bahagian luar kelihatan elok, tetapi di dalamnya habis dimakan anai-anai. Kayu di bahagian itu lembut dan nipis bagai kertas. Jika kerosakan agak teruk, kayu itu menjadi rapuh. Bagaimanapun harus diingat bahawa bahagian bawah bingkai pintu boleh retak disebabkan kesan air, tidak semestinya akibat diserang anai-anai.
Kedengaran bunyi `tik-tik-tik`.
Pasang telinga dan dengarkan sebarang bunyi. Bila anai-anai memakan serat kayu, ia menghasilkan getaran atau bunyi. Serangga perosak kayu lain seperti kumbang serbuk, kumbang kulit kayu, dan semut juga menghasilkan bunyi yang seakan anai-anai. Untuk memastikan itu adalah bunyi anai-anai, buat satu lubang kecil di kawasan berkenaan. Jika ada anai-anai yang keluar, tandanya itu adalah tempat serangan.
Kawanan
Hari yang panas boleh mencetuskan kawanan anai-anai bersayap muncul dari tempat persembunyian. Tandanya ialah sayap yang bertaburan di atas ambang pintu atau tingkap.
Sekiranya terjumpa tanda-tanda yang diterangkan di atas, jangan disembur dengan aerosol atau dihapuskan kesan laluan lumpur dengan pembersih hampagas. Sebaliknya tutup berkenaan lubang dengan pita selofan. Jangan bertangguh-tangguh lagi. Segera hubungi syarikat pembasmi anai-anai supaya mereka melakukan kerja-kerja pemeriksaan dan pembasmian.
No comments:
Post a Comment