Friday, March 4, 2011

Ubah Suai Rumah

serenemaklong.blogspot.com

Tujuan utama rumah diubahsuai ialah untuk memperbesarkan kediaman yang dirasakan tidak mampu memberi keselesaan sekeluarga. Ini mungkin berlaku akibat penambahan bilangan ahli keluarga selain ingin mempelbagai kegunaan ruang. 

Sebenarnya pengubahsuaian rumah mempunyai peraturan dan larangannya sendiri. Oleh itu penting bagi anda merujuk perkara-perkara di bawah ini:

1. Bajet
Anggar dahulu bajet pengubahsuaian. Pastikan ia berada di dalam kemampuan anda.

2. Perancangan terperinci
Jika kerja pengubahsuaian yang hendak dilakukan itu besar dan rumit, dan tidak boleh dilakukan sendiri, serahkan kepada yang arif, contoh juruukur bahan dan arkitek. Namun, sebelum memulakan kerja, tentukan dahulu bayaran perkhidmatan mereka. Melalui mereka anda mendapat pelan yang lebih terperinci dan khidmat nasihat berhubung keselamatan dan jiran. Anda juga didedahkan dengan faktor nilai ekonomi yang mampu menguntungkan.

3. Kelulusan pihak berkuasa
Jika kediaman anda dari jenis rumah berangkai, bincang dengan jiran sekiranya pengubahsuaian itu membabitkan struktur. Dapatkan persetujuan secara bertulis daripadanya supaya tidak timbul kesulitan di kemudian hari.

Jangan lakukan pengubahsuaian sebelum mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT). Pemilik rumah boleh didakwa dan ruang yang diubahsuai mungkin dirobohkan.

Kelulusan daripada beberapa badan berkuasa diperlukan bagi kerja yang lebih besar iaitu –
  • Meroboh dan menambah tingkat serta ruang.
  • Membabitkan kekuatan struktur seperti rasuk, tiang, kerja konkrit, tetuang, alat perkhidmatan, litar elektrik, paip pembentungan dan pembuangan najis.
  • Mendapatkan kelulusan Jabatan Bomba sekiranya bangunan berkenaan adalah rumah pangsa atau bangunan awam.
4. Kemampuan
Sekiranya kerja pengubahsuaian membabitkan pinjaman, selidiki dan teliti dahulu peratus pinjaman yang ditawarkan oleh institusi kewangan. Kerap bertanya dan membuat penilaian berkenaan kadar faedah kerana setiap institusi kewangan mengenakan kadar faedah yang berbeza-beza. Pilih kadar yang anda mampu membuat bayaran balik.  

5. Permit kerja daripada badan berkaitan
Sebelum memulakan kerja dapatkan kelulusan daripada pihak berwajib. Berikut adalah langkah yang perlu dibuat bagi mendapatkan pelan memperbesar atau mengubahsuai bangunan. Pemohon hendaklah menghantar:
  • Empat salinan pelan yang dikemukakan oleh pelukis pelan berdaftar atau arkitek beserta salinan resit pembayaran cukai pintu terbaru.
  • Bayaran proses sebanyak RM35 (minimum) dan bayaran perjanjian sementara RM50.
  • Bayaran permit meletakkan bahan binaan di rizab jalan dikenakan sebanyak RM162 satu meter persegi sebulan (minimum) dan perlu dibayar pada waktu kerja pembinaan.
6. Senaraikan kontraktor
Selepas mendapat permit pembinaan, anda sudah boleh memilih kontraktor.
Selidik dan dapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai reputasi dan kredibiliti kontraktor.
  • Tanyakan sahabat atau jiran yang pernah membuat pengubahsuaian.
  • Hubungi persatuan pemborong binaan dan minta senarai nama kontraktor.
  • Selidik sama ada kontraktor berkenaan menjadi ahli persatuan binaan/pemborong binaan. Sesetengah kontraktor mahir dalam kerja pembinaan tetapi kurang pengalaman dalam kerja penambahan dan ubah suai. 
  • Senaraikan tiga atau empat kontraktor yang memenuhi syarat, kemudian minta sebut harga. Kepilkan bersama lakaran pelan ubah suai, penentuan dan syarat berkaitan.
  • Sebutkan dengan jelas kerja yan hendak dibuat. Penerangan perlu dibuat satu persatu beserta lakaran dan lukisan berkaitan.
  • Pastikan jaminan dan perlindungan insurans.
  • Jika kontraktor minta wang pendahuluan, tanya untuk apa bayaran itu.
  • Beritahu kontraktor jumlah denda yang dikenakan sekiranya gagal disiapkan mengikut tempoh masa yang dipersetujui. Buat perjanjian bertulis dan pastikan kedua-dua pihak anda dan kontraktor faham semua syarat.
  • Beri keutamaan kepada kontraktor yang mengemukakan tawaran paling rendah tanpa menjejaskan mutu kerja yang munasabah.
  • Buat bayaran mengikut kemajuan kerja.
  • Kaedah jaminan yang diberi selepas kerja siap.  
7. Insurans
Pastikan polisi insurans yang dimiliki melindungi kerja dan keselamatan pekerja serta jiran. Maklumkan kepada syarikat insurans mengenai cadangan mengubahsuaian seterusnya. Pastikan kontraktor memiliki polisi insurans yang melindungi bahan, bangunan serta bangunan jiran sekiranya berlaku kerosakan sewaktu kerja dijalankan.

8.Tabungan
Simpan sebahagian wang yang menampung kerja penambahbaikan sekiranya berlaku kecacatan selepas kerja.

9. Ketidakpuasan hati
Sebarang rungutan dan tidak puas hati hendaklah dibuat mengikut proses yang betul.

Untuk pengubahsuaian berkesan selain menjimatkan kos penyelenggaraan, anda sepatutnya mendiami rumah berkenaan untuk beberapa lama supaya dapat menilai dan membuat keputusan ruang mana yang perlu ditingkatkan keselesaannya. Selepas itu baru dibuat ubah suai bagi  memenuhi kekurangan pada reka bentuk asal.  

Bagi penambahan di kawasan luar, kaji reka bentuk rumah asal dan kawasan persekitaran sebelum menambah bahagian tertentu. Pengubahsuaian juga mesti menepati reka bentuk, warna serta penggunaan bahan.

Sebelum melakukan pengubahsuaian elakkan daripada melakukan kesilapan berikut:
  • Menutup bukaan udara sama ada di bahagian dinding seperti tingkap dan lubang udara kerana ini menghalang kemasukan udara dan cahaya semula jadi.
  • Menambah ruang bilik di kawasan letak kereta.
  • Menutup ruang balkoni.
  • Menambah bilik mandi di dalam rumah.
  • Merendahkan ketinggian siling.
  • Mengecat dinding dengan warna gelap dan pekar melainkan mempunyai ruang yang cukup luas.
  • Menggunakan bahan pengalir haba seperti zink untuk bumbung.
  • Menggunakan bahan kemasan yang mudah menyerap haba.
(Sumber rujukan: Anjung Seri)

No comments:

Post a Comment