Thursday, March 10, 2011

Memilih Kayu untuk Kediaman




Apabila membeli kayu untuk kegunaan mendirikan atau membina bahagian tertentu rumah yang mana kekuatan dan penampilannya sangat dipentingkan, jangan sesekali membeli kayu menerusi pesanan telefon, sebaiknya pergi sendiri ke kedai untuk memilih jenis kayu yang hendak dibeli. Sebagai pelanggan anda berhak pergi ke tempat simpanan kayu untuk membuat pilihan. Justeru itu anda harus tahu serba sedikit mengenai perihal kayu seperti ciri semulajadi, kesesuaian penggunaan, ketahanan dan jenis kerosakan sebagai panduan memilih.

Sewaktu membeli kayu asli jenis keras mahupun lembut, pastikan kayu berkenaan mempunyai kandungan kelembapan yang sesuai dengan udara sekeliling. Beli kayu lebih sedikit daripada yang diperlukan, takut ada yang rosak ketika proses pembinaan.  Membeli kayu secukup keperluan membawa risiko kayu tidak cukup dan anda perlu pergi semula ke gudang terbabit. Masalah timbul jika kayu dalam simpanan gudang habis dan ini membuatkan pembinaan atau pengubahsuaian rumah akan tergendala.

Sewaktu membeli kayu dalam bentuk tiang, papan padu, papan lapis, kayu blok, papan cip atau kayu berlaminat, periksa kedua-dua belah permukaan dan pastikan kayu itu bebas daripada sebarang kesan calar dan cela di bahagian sudut, permukaan depan dan belakang. Kayu venir dan papan cip berlaminat wajib diperiksa dengan teliti kerana kayu jenis ini mudah rosak sewaktu diangkut dari satu tempat ke satu tempat.

Elak membeli kayu lapis yang menggeleding kecuali yang berketebalan 6 milimeter (mm) kerana kayu berketebalan sedemikian agak keras dan boleh diluruskan jika diletak atas lantai rata.

Perhati dengan teliti di bahagian permukaan kayu kerana selalunya kayu asli mempunyai pelbagai jenis kerosakan. Sesetengahnya langsung tidak boleh dipakai. Perlu diingat, kayu yang rosak tidak boleh diguna kerana boleh menjejaskan struktur binaan. Berikut adalah antara jenis kerosakan kayu yang biasa berlaku.

  • Reput – disebabkan oleh serangan fungus. Kereputan boleh dikesan menerusi tanda tompokan dan pertukaran warna kayu berkenaan. Ini selalunya berlaku apabila kayu diletak di tempat basah. Rawatan untuk masalah ini ialah memotong dan membuang bahagian yang terjejas dengan cara membakar dan bahagian yang tidak terjejas boleh diguna.
  • Tanda petak (checks) – berlaku apabila hujung papan berkeadaan terbelah atau pecah kerana lembap di bahagian hujung dan selalunya mengering lebih cepat daripada bahagian tengah. Hujung terpecah mungkin terdapat di permukaan atau dalam kepingan kayu. Untuk merawatnya ialah dengan memotong hujung yang rosak itu. 
  • Renggang (shakes) – Ini adalah renggangan antara gelang tahunan (annual ring) yang terdapat di permukaan kepingan kayu. Tahap renggangan mungkin seluas 2 mm dan mungkin juga berlaku di bahagian dalam kayu. Sekiranya tidak dapat mencari rawatan khusus untuk masalah ini, maka elakkan membeli kayu yang menunjukkan kerosakan seperti ini.
  • Pecah – merujuk kepada keadaaan renggangan lebih luas pada gentian kayu yang disifatkan sebagai kerosakan fizikal. Kayu seperti ini tidak patut dibeli.
  • Berbuku (knots) – berlaku apabila dahan pokok dipotong meninggalkan pangkalnya dan kayu baru tumbuh. Apabila lebihan dahan itu tumbuh semula sewaktu pokok membesar, wujudlah buku hidup dalam batang pokok. Jika dahan itu mati, terjadilah buku mati dalam pokok dan kesan itu akan hilang dalam tempoh yang lama. Apa-apa pun kesan itu tidak dikira sebagai kecacatan, sebaliknya dianggap sebagai ciri yang menarik tetapi meninggalkan kesan yang tidak licin pada permukaan kayu. Kayu ini sesuai untuk kegunaan kemasan dalam sahaja dan bukan untuk sokongan. Bagaimanapun, elak membeli jika ada tanda buku mati dengan kesan gelang hitam di sekeliling kerana bahagian itu boleh berlubang apabila kayu terbabit dibiarkan terdedah lama pada udara.
  • Gegaran guruh (thunder shakes) – Kesan yang merentangi ira kayu yang berpunca daripada kerosakan disebabkan tiupan angin atau pancaran petir sehingga menyebabkan gentian kayu koyak. Kesan ini boleh menjejaskan keutuhan kayu dan patut dielak daripada diguna.
  • Lubang – Serangga perosak yang hidup dalam pokok mengorek kayu dan meninggalkan kesan lubang sebesar 1 hingga 10 diameter, selalunya membabitkan kayu jenis keras. Serangga berkenaan mungkin sudah lama keluar sebelum kayu itu sampai di tempat simpanan. Kewujudan kesan lubang bagaimanapun tidak bermakna kekuatan kayu itu terjejas. Tidak ada rawatan untuk masalah ini. Kayu boleh diguna tetapi bahagian yang berlubang mesti dipotong dan dibuang. 
  • Lelehan resin (resin streaks) – Keadaan ini selalunya membabitkan kayu jenis lembut. Kesan jalur coklat gelap yang meleleh keluar daripada gelang tahunan pada batang pokok mungkin menghasilkan getah. Resin ini lama kelamaan akan kering tetapi kesan warna coklat akan kekal. Pengeringan menerusi proses pendedahan kepada udara membolehkan kayu yang mempunyai kesan itu mengeluarkan resin dan ini berlaku untuk satu tempoh yang agak lama. Jika kayu itu ingin diguna, pastikan getah itu sudah berhenti mengalir. Kesan resin yang menyebabkan kayu tidak sesuai diguna sebagai lantai atau dinding kerena keadaaan yang melekit.
  • Kulit luka (bark pocket) – disebabkan oleh kerosakan yang berlaku pada bahagian kulit sewaktu pokok membesar. Kayu baru selalunya tumbuk di sekeliling bahagian kulit yang terluka dan kulit yang rosak itu kekal dalam batang pokok. Bahagian kayu yang rosak itu perlu dibuang sebelum diguna.
  • Waney edge – berlaku apabila sekeping kayu masih ada kulit atau bahagian hujung berwarna coklat (lapisan bawah kulit) di salah satu hujung. Dalam beberapa kes, kesan ini boleh dikategorikan sebagai penyeri tetapi selalunya hujung sebegitu sudah sedia dipotong sebelum dijual.
  • Cekung (cupping) – Sambil kayu yang digergaji mengering, gelang tahunan boleh jadi melurus sekali gus memberikan bentuk cekung kepada kepingan kayu yang lebar. Ini adalah proses semula jadi yang tidak boleh dihalang daripada berlaku. Faktor ini juga adalah punca kayu kurang lebar diguna sebagai lapisan kemasan.
  • Berpulas (twisting) – Kayu yang berpulas boleh diperbaiki dengan cara mengepitnya ke arah pulasan bertentangan, tetapi keadaan kayu tidak semestinya sempurna, jadi elak daripada membeli atau mengguna kayu yang berkeadaan seperti ini.
  • Bongkok (bowing) – terjadi disebabkan kedudukan susunan yang tidak betul sewaktu mengeringkannya. Kayu ini boleh dipakai, bergantung kepada sekuat mana tahap bongkok dan panjangnya. 
  • Ketaman tidak sempurna – berlaku apabila mesin pengetam kayu tidak disesuaikan untuk kegunaan memotong sehingga ke bahagian dalam kayu menyebabkan nampak  tanda gergaji. Untuk mengatasinya,  kayu berkenaan mesti diketam tangan lebih nipis.
  • Gelombang (ripple) – selalunya terjadi akibat penggunaan mesin pemotong kayu yang tumpul atau tidak dipasang dengan betul. Bagi menghilangkan kesan itu, kayu berkenaan boleh diketam lebih nipis dan boleh diguna seperti biasa.
  • Tidak bersegi – Kecacatan yang sering terjadi apabila kayu atau papan tidak diketam lurus di tepi menyebabkan bahagian tepi itu tidak nampak bersegi.
  • Ketebalan tidak sama – Penggunaan kayu sesuatu bahagian binaan seperti lantai atau dinding seharusnya menggunakan kayu atau papan yang berketebalan sama untuk mendapatkan kesan binaan yang kemas dan cantik. Oleh itu pastikan kayu yang hendak dibeli mempunyai ketebalan yang sekata.
Jenis dan Kegunaan Kayu

Ada lebih 2,500 spesies kayu tempatan yang tumbuh di hutan hujan tropika negara ini yang meliputi jenis kayu keras berat, kayu keras sederhana berat, kayu keras ringan dan kayu lembut.

Kayu keras berat banyak diguna dalam kerja pembinaan. Kayu ini mempunyai isi padu daripada 800 hinggga 1,120 kg semester padu dengan 15 % kandungan air. Bersifat keras semulajadi kerana mengandungi sedikit bahan beracun dalam tisunya seperti alkaloid atau bahan lain yang boleh melawan agen pemusnah kayu. Oleh itu kayu jenis ini selamat diguna tanpa diawet walaupun terdedah kepada fungsus atau anai-anai.

Kayu keras sederhana berat meliputi isi padu daripada 720 hingga 880 kg semester padu dengan 15% kandungan kelembapan. Sesetengah kayu ini cukup berat dan kukuh serta boleh dikategorikan sebagai kayu keras berat tetapi dalam suasana tropika. Kayu ini kurang sifat kukuh semula jadi apabila terdedah kepada cuaca dan  terkena tanah, kecuali dirawat dengan bahan pengawet sebelum diguna. Bagaimanapun, kebanyakan kayu ini kukuh di negara yang beriklim sederhana yang mana kegiatan agen pemusnah kayu berkurangan. 

Kayu keras ringan merujuk kepada kayu yang ringan dan lembut berisi padu daripada 400 hingga 720 kg semeter padu dengan 15% kandungan kelembapan. Kayu jenis ini popular di negara beriklim sederhana. Lazimnya dijadikan bahan sambungan, kemasan panel dan membuat perabot.
(Sumber: Anjung Seri)

No comments:

Post a Comment