Wednesday, March 2, 2011

Pengajaran Dari Dunia Arab



Pada zaman teknologi dunia tanpa sempadan ini, tidak banyak lagi tempat yang tidak disentuh oleh perhubungan. Satu-satunya cara menutup perhubungan ini ialah bila seseorang itu dengan sengaja enggan melayari internet, enggan mendengar siaran radio atau menonton TV, menolak semua bentuk bahan bacaan berbentuk akhbar dan majalah daripada masuk ke rumah dan duduk  menyendiri tanpa mengetahui apa-apa yang berlaku.  

Mustahil, bukan? Autokrat dan diktator di Dunia Arab juga tahu betapa itu memang mustahil. Mereka tidak mampu menutup perhubungan teknologi dengan dunia luar. Seluruh dunia sudah tahu apa yang telah dan sedang berlaku. Namun, tiada sesiapa boleh menyalahkan teknologi  sebagai penyebab kekacauan yang berlaku sekarang.

Sebenarnya bibit-bibit kemarahan telah wujud sejak lama dahulu tetapi ia dipendam dalam diam lantaran takutkan hukuman pemerintah. Kini ia meletup bagaikan gunung berapi yang meluahkan lahar panas.

Punca kemarahan sebenar adalah berakar umbi daripada tiga perkara asas iaitu penafian pendidikan, penafian kebebasan dan penafian kuasa wanita dalam pembangunan negara.

Bayangkan, perbelanjaan ke atas pendidikan per kapita yang dahulunya 20% berbanding negara-negara perindustrian lain pada 1980an, kini merosot menjadi 10% pada pertengahan 1990an. Taraf kebebasan bersuara juga adalah yang terendah di dunia, manakala gabungan keluaran negara kasar seluruh negara Arab lebih rendah berbanding Sepanyol. Lebih 60 juta dewasa di Dunia Arab buta huruf dan majoritinya adalah wanita.  

Walaupun Dunia Arab kaya dengan hasil minyak, namun pemerintahnya gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Tanpa pertumbuhan dan kemajuan ekonomi, pelaburan dalam bidang pendidikan yang merupakan intipati dalam mana-mana ekonomi, mengalami kesan buruk. Mereka tidak sedar bahawa ekonomi yang diurus dengan betul akan menyediakan warganegara yang berpelajar di samping peluang ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan.

Memang tiada siapapun yang mempunyai kebijaksanaan 100%. Walau sekecil manapun sesebuah negara, untuk terus maju ekonomi mesti diurus dengan baik. Jika pemimpin kurang berkemampuan atau kebolehan, seharusnya bantuan pakar-pakar lain, sama ada dari dalam atau luar negara patut diperolehi.

Selain kemajuan ekonomi, aspirasi rakyat juga mesti perhatian penting kerana sistem pemerintahan yang sah bergantung pada sokongan rakyat. Rakyat berhak memilih kerajaan yang mereka percaya boleh membimbing mereka.

Hak ini juga berkait rapat dengan harapan - supaya negara lebih cemerlang melalui saluran pilihan raya yang adil. Mereka mahu keluar dari kemunduran.

Bila harapan ini hilang, rakyat sama ada akan meninggalkan negara itu dan merantau mencari kehidupan lebih baik, atau bangkit memberontak demi mendapatkan hak dan harapan yang selama ini dinafikan.

Ini satu pengajaran bagi Dunia Arab, dan pengajaran yang perlu diketahui oleh setiap orang.

No comments:

Post a Comment