Wednesday, March 30, 2011

Pentingnya nilai murni

serenemaklong.blogspot.com

Dalam buku terbarunya, Enough, John Bogle, pengasas Vanguard Mutual Fund Group menunjukkan betapa sikap gilakan wang, dan kemuflisan etika, nilai murni, kepemimpinan, profesionalisme dan keperibadian tulus ikhlas telah menyebabkan berlakunya krisis kewangan di Amerika. 

Nilai murni sangat penting dalam usaha mencapai matlamat dan cita-cita kerana kita sentiasa berhadapan dengan pilihan mengenai cara kita mengumpul dan membelanjakan harta. Oleh itu tanyakan pada diri apakah nilai-nilai kita dan bagaimana kita hendak hidup secara berharmoni dengannya.

Nilai murni tidak akan membiarkan “wang” membuatkan keputusan bagi pihak kita. Pemahaman mengenai sebab kita membuat keputusan sedemikian akan membantu kita mencari kebahagiaan sejati dan menyekat sindrom “tidak cukup itu dan ini” daripada tidak terus menguasai nafsu kita.

Nilai murni membantu kita memilih tempat pelaburan wang yang afdal, mengajar kita cara membelanjakan harta dan mempergunakan masa dengan baik, serta mengawal tindak-tanduk kita.

Nilai murni mengajar kita supaya tidak melabur dalam syarikat yang mengaut keuntungan atas penderitaan orang lain. Tiada guna menjadi kaya dengan tipu daya. Mereka yang menganjurkan skim piramid dan Ponzi mungkin mengatakan skim tersebut dapat membantu orang lain hidup lebih senang. Akan senangkah hidup bila wang diperolehi adalah hasil daripada titik peluh orang di lapisan bawah skim piramid yang kehilangan seluruh wang simpanannya yang dikumpul sepanjang hayat?

Dalam dunia yang tiada nilai murni memang mudah membuat wang dengan ‘menjual’ kejahatan. Di barat misalnya, penjenayah boleh menjadi jutawan hanya dengan menjual cerita kejahatan mereka.

Nilai murni tidak akan mengizinkan kita menonton program realiti di mana para peserta saling memperbodoh, memperdaya dan menikam satu sama lain dari belakang semata-mata kerana hendak menang.  

Seharusnya kita menyokong syarikat yang memiliki nilai murni, contohnya TLC (Truly Loving Company). Syarikat ini menyalurkan setiap sen yang diperolehi daripada jualan produknya kepada berbagai badan amal yang ada di Malaysia.

Nilai murni menghalang kita daripada mendekati syarikat yang membuat wang dengan menipu orang lain seperti syarikat “gores dan menang”. Sudah terlalu ramai yang menjadi mangsa.  

Nilai murni memberikan kita ganjaran dalam bentuk kasih sayang dan kebahagiaan apabila kita meluangkan lebih masa dengan keluarga. Harta yang dicari dan dikumpul dengan bertungkus lumus tidak akan ada gunanya bila keluarga meminggirkan kita. Itulah yang ditanggung oleh mendiang Eric Chia, bekas pengerusi Perwaja Steel Bhd apabila beliau berkata, “wang setinggi gunung tidak bererti, banglo besar melaut terasa sepi, bila keluarga tiada di sisi.”               

No comments:

Post a Comment