Tumbuhan air menyerikan kolam ikan atau pancuran air di laman. Ia berupaya mewujudkan ekosistem kepada lanskap laman supaya kelihatan lebih hidup dan mendatangkan manfaat. Ikan dan organisme air lain boleh hidup di dalamnya kerana kehadiran tumbuhan tersebut membantu mengawal suhu air. Akar tumbuhan air turut menyerap nutrisi yang mungkin mengotorkan air dan oksigen tanaman yang terendam dalam kolam.
Terdapat empat jenis tumbuhan air yang sesuai dan mampu menghidupkan suasana kolam dan pancuran air di laman kediaman:
- Tumbuhan air yang tenggelam mempunyai akar pada dasar dan bahagian pokok tenggelam sepenuhnya. Ia melepaskan oksigen dan kelihatan gelembung atau buih pada permukaan kolam. Ia sesuai diguna dalam akuarium. Contoh:Ceratophyllum Demersum, Hygrophila Difformis (Wisteria Air), Sagittaria Subuluta, dan rumpai belut (Villisneria Spiralis).
- Tumbuhan yang hidup di permukaan berakar di kawasan cetek dengan kedalaman 45 sm. Biasanya bahagian atas pokok muncul di permukaan air. Daunnya yang melebar di atas air untuk menyerap cahaya matahari sebanyak mungkin. Contoh: teratai Nelumbo, iris dan lili air.
- Tumbuhan separa akuatik hidup melata di atas tanah dan boleh hidup di kawasan berair. Contoh: kangkung, pegaga, padi, melati air (Shallow Water-Aztec Arrowhead) dan rumpai papyrus.
- Tumbuhan terapung mempunyai ruang udara terperangkap pada akar atau pada bahagian lain bagi membantu ia terapung dan menerima cahaya matahari. Mempunyai rerambut yang memerangkap udara. Bahagian atau daun tumbuhan terapung di permukaan manakala akarnya terendam di dalam air. Contoh: keladi bunting, kiambang, Duckweed, Azolla Caroliniana (lumut pari-pari) dan Hydrocharis Morsus-Ranae (Frog’s Bit)
Memandangkan tumbuhan air adalah hidupan yang menjadi komuniti kepada kolam, maka ia turut menjadi punca makanan dan habitat haiwan yang terdapat di situ. Misalnya, akar pokok menjadi tempat anak ikan mencari makan dan berlindung. Selain itu, ia juga menjadi habitat organisme kecil di dalam kolam.
Hidupan air yang lebih kecil juga menjadikan tumbuhan air sebagai perlindungan daripada haiwan lain yang lebih besar. Justeru, pemilik harus memastikan tumbuhan air berada dalam keadaan sihat dan memberi manfaat kepada hidupan sekelilingnya serta tidak mengotorkan kolam atau pancuran air hiasan.
Penjagaan
- Pastikan hanya 20 hingga 25 peratus permukaan kolam mengandungi pokok. Selebihnya disimpan untuk hidupan lain. Pokok matang mesti dipangkas dan dibuang kerana ia boleh merosakkan ekosistem kolam dan mendatangkan pelbagai masalah lain kepada hidupan di dalam kawasan berkenaan.
- Gunakan racun herba bagi mengawal pembiakan alga filamen (yang sering disalah erti sebagai lumut). Keadaannya yang berserabut seperti rambut dan meliputi permukaan kolam mencacatkan keindahan kolam serta mengganggu hidupan lain.
- Bagi kolam dan pancuran air bersaiz kecil dan sederhana, langkah paling sesuai ialah mencuci kolam tersebut dan menukar airnya.
- Jika masih gagal menangani masalah ini dapatkan nasihat daripada pakar atau kontraktor lanskap.
No comments:
Post a Comment