Sunday, March 13, 2011

Kesedaran Selepas Kemurkaan Bumi


Umat manusia, terutama rakyat negara matahari terbit, Jepun akan sentiasa mengingati tarikh 11 Mac 2011 bila mana bumi melontarkan “kemurkaan” berupa gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter diikuti tsunami setinggi 10 meter. Kejadian ini telah meningkatkan kesedaran mengenai banyak isu penting bagi negara-negara lain.

Pertama, kekerapan dan kemusnahan bencana memerlukan setiap negara bersedia untuk mengurangkan kesannya dan menguruskan bencana ketika ia berlaku.

Pada 2010, gempa bumi melanda banyak negara termasuk Haiti yang menelan 223,00 korban, juga Chile dan China (April) Sumatra (April dan Oktober, diiringi oleh tsunami yang mengorbankan beratus-ratus orang) dan Iran (Disember). Tahun ini sahaja, gempa bumi telah memusnahkan Christchurch di New Zealand, dan sekarang Jepun.

Selain gempa bumi, banjir besar juga melanda banyak bahagian dunia, termasuk Australia, Pakistan, China, Sri Lanka, India, Indonesia, Venezuela dan Colombia.

Jepun dikatakan negara paling bersedia dalam menghadapi gempa bumi. Sebahagian besar bangunannya dibina untuk menahan gegaran, dan pantainya juga dilindungi daripada dibadai tsunami. Rakyat dilatih dengan baik supaya mengetahui apa patut dilakukan ketika gempa berlaku. Namun semua itu tidak mampu melawan bencana dan badai yang menimpa. Beberapa bandar kecil hapus sama sekali, dan kerosakan teruk dilihat di beberapa bandar lain. Jumlah kerosakan dan kehilangan nyawa masih lagi belum di ketahui.

Kedua, meskipun Malaysia mungkin tidak berada secara langsung di zon yang kerap dilanda gempa bumi, namun masih berada dalam laluan tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi yang bermula di lautan. Contohnya, Malaysia dan negara-negara Asia lain terjejas oleh tsunami besar dari gempa bumi yang melanda barat laut Sumatra pada 26 Disember 2006.

Oleh kerana itu negara-negara Asia Tenggara harus sentiasa berjaga-jaga dan mempunyai pelan kontigensi kerana lebih banyak gempa diramalkan akan berlaku pada masa akan datang. Begitu juga, lebih banyak gempa dijangka akan melanda di luar pantai Jepun, dan tsunami yang diakibatkannya mungkin mempunyai kesan lebih besar ke atas negara lain berbanding yang baru berlaku Jumaat lepas.
  
Ketiga, isu paling besar ialah keselamatan tenaga nuklear. Jepun sangat bergantung pada kuasa nuklear sebagai sumber untuk satu pertiga daripada kuasa elektrik negara itu. Disebabkan gempa bumi kerap berlaku, loji nuklear Jepun telah dibuat dengan cara yang dapat menahannya daripada kesan gempa.

Tetapi kejadian Jumaat lepas menunjukkan gempa besar boleh menimbilkan situasi kecemasan. Malah sebelum Jepun boleh  menyelamat semua mangsa yang terperangkap dalam bencana tsunami, ia segera berusaha mengurangkan kesan buruk dari loji tenaga nuklearnya, terutama risiko kebocoran radioaktif yang ketara ke dalam alam sekitar.

Meskipun gempa itu telah memutuskan kuasa elektrik, dan sistem penyejukan 11 daripada loji nukelar itu berfungsi dengan betul, namun dalam beberapa loji lain, penjana dieselnya terhenti sejam selepas bencana, mungkin akibat terpaan kuat daripada tsunami.

Sistem penyejukan yang terjejas mampu membebaskan uranium yang berada di dalamnya. Dengan letupan yang berlaku di salah satu reaktor pada Sabtu lepas telah menyebabkan beribu-ribu penduduk sekitar 20 km daripada loji berkenaan berpindah, dan meningkatkan kebimbangan di seluruh dunia.

Selepas nahas nuklear yang berlaku di Three Mile Island (Amerika Syarikat) dan Chernobyl (Russia), pembinaan loji nuklear di seluruh dunia telah merosot. Namun kebelakangan ini minat dalam tenaga nuklear sebagai tenaga alternatif menggantikan minyak untuk sumber kuasa elektrik dan juga kebimbangan mengenai perubahan iklim dunia muncul kembali. Dan Malaysia juga tidak terkecuali. 

Publisiti buruk daripada kejadian ini telah menimbulkan reaksi dari Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (EPSM) yang menekankan bahawa Malaysia tidak memerlukan loji kuasa nuklear.  Presidennya, Nithi Nesadurai menyebut, di negara ini bekalan tenaga adalah melebihi permintaan. Masalahnya ialah orang ramai tidak mengamalkan penjimatan tenaga.

Ketua pegawai eksekutif FOMCA Datuk Paul Selva Raj pula berpendapat, penggunaan kuasa nuklear untuk menjana tenaga bukan satu pilihan yang berdaya maju memandangkan ia terpaksa dikawal selia dengan ketat demi keselamatan awam. Adalah lebih penting untuk mengeksploitasikan lebih banyak sumber tenaga yang selamat, mesra alam dan boleh diperbaharui.

Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menyatakan Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (agensi nuklear di Jabatan Perdana Menteri)akan mendapatkan penjelasan mengenai impak letupan dan kebocoran radioaktif di Jepun sebelum membuat keputusan.

Apapun, kerajaan harus mengambil kira keselamatan rakyat dan masa depan negara. Kerajaan mesti membuat pertimbangan yang teliti sebelum membuat keputusan muktamad. Apabila kepentingan rakyat didahulukan, pencapaian pasti akan tiba dan dengan itu mampu diutamakan.     

No comments:

Post a Comment