Saturday, March 19, 2011

Pemimpin Berkaliber


Apapun kedudukan seseorang pemimpin, sama ada sebagai penyelia, pengurus, ketua eksekutif syarikat, malah presiden dan perdana menteri, mereka memiliki satu ciri umum iaitu kesungguhan. Selain itu mereka juga memiliki dua ciri teras yang membezakan mereka daripada orang lain: ketabahan dan tanggapan. 

Contoh paling dikenali adalah Nabi Muhammad s.a.w. Tanpa kesungguhan Baginda memperjuangkan  perintah Allah S.W.T, tidak mungkin agama Islam dapat tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Pemimpin berkaliber berkongsi keghairahan perjuangan dengan para pengikutnya bagi mengilhamkan tindakan, komitmen dan akhirnya kejayaan. Pemimpin yang mempunyai wawasan dan sangat mengambil berat mengenai orang-orang yang dipimpinnya mampu meraih hasil yang menakjubkan.  

Kesungguhan yang menjurus kepada kebaikan sejagat boleh diumpamakan seperti viral marketing yang diguna pada zaman ini untuk menyebarkan kesedaran jenama menerusi Internet. Ia disampaikan daripada seorang kepada seorang yang lain dengan pantas dan berkesan. Sememangnya, orang ramai mudah mengikuti bila mana mereka melihat kesan positif hasil daripada sokongan mereka.    

Bila kesungguhan telah wujud, ketabahan mudah menyusul. Ciptaan Thomas Edison yang bermula daripada bal lampu hingga ke diktafon terhasil setelah gagal 10,000 kali. Jika dia seorang yang biasa-biasa sahaja, sudah tentu dia menyerah kalah, dan akibatnya mungkin kita hari ini masih menggunakan pelita minyak tanah dan lilin.

Dalam organisasi besar dan kecil, pemimpin dicabar setiap hari supaya tabah mengekalkan hala tuju yang disasarkan. Dia bekerja keras untuk menghayati dan berkongsi kesungguhan serta menggunakan strategi viral marketing bagi menyebarkan minat dan komitmen ke atas tugas yang dipikul di kalangan anggota kumpulannya.

Setiap saat manusia mengisi minda dengan tanggapan mengenai persekitaran. Semua tanggapan positif dan negatif masuk ke minda di bawah sedar dan membentuk nilai-nilai. Nilai ini menyokong pemikiran dan tingkah-laku, yang kemudiannya mewujudkan hasil. 

Sebagai contoh, seseorang yang pernah menjadi mangsa ragut mat rempit secara tidak sedar akan membentuk satu nilai negatif dengan menganggap bahawa semua penunggang motosikal adalah mat rempit peragut. Tingkah-laku dan nilai ini hanya boleh berubah jika ditangani dengan betul.

Dengan memahami kuasa tanggapan, seseorang pemimpin yang berkaliber mampu mempengaruhi kumpulannya untuk mengubah sikap dan tingkah-laku yang negatif bagi mewujudkan hasil yang diharapkan.        

Seseorang pemimpin harus memeriksa tanggapan dirinya sendiri dahulu sebelum cuba menggembeling kuasa kesungguhan, ketabahan dan tanggapan orang lain. Fokus ke atas yang positif, perbetulkan yang negatif, dan gembelingkan kesungguhan serta ketabahan menghadapi cabaran. Jika semua ini dapat dilakukan, ia akan mengangkat martabat pemimpin itu ke tahap cemerlang.

(Sumber: Diadaptasi daripada rencana tulisan Lindsay Adams, penceramah antarabangsa dengan Training Edge International dan presiden Global Speakers Federation)

No comments:

Post a Comment