Monday, September 14, 2015

Serangan Zionis Di Al Aqsa

Beberapa orang murabitin (para penduduk Palestin yang bertahan dan mempertahankan Al-Aqsa) di Masjid Al-Aqsa tercedera pada pagi hari ini iaitu hari kedua pertempuran antara pasukan keselamatan Zionis yang menyerbu masuk masjid dan penduduk Palestin yang sedang bersolat di dalamnya. Sumber-sumber media menyatakan bahawa terdapat beberapa orang daripada mereka yang sedang bersolat di dalam kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa turut tercedera manakala lebih dari sepuluh orang yang lain telah ditangkap oleh pihak Zionis.
Pada pagi semalam, pihak Zionis telah mengarahkan agar Masjid Al-Aqsa dikosongkan. Hal ini telah mencetuskan pertempuran ganas yang menyebabkan puluhan penduduk Palestin tercedera dan beberapa orang yang lain ditangkap.Pasukan Zionis telah meletupkan pintu Masjid Al-Qibli di Al-Aqsa dan membakar karpetnya, kawasan perkarangannya di bahagian luar turut dibakar. Peristiwa ini adalah merupakan kali kedua dalam sejarah Masjid Al-Aqsa selepas pembakarannya pada tahun 1969 menurut Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ikrimah Sobri.
Pasukan Zionis masih meneruskan sekatan terhadap penduduk Palestin daripada melalui persimpangan jalan menuju ke Masjid Al-Aqsa di Old City, Jerusalem dengan alasan untuk mengalu-alukan sambutan hari raya orang Yahudi. [Sumber: Laman web rasmi Briged Al-Qassam / Terjemahan oleh Aman Palestin]

No comments:

Post a Comment