Wednesday, September 16, 2015

Lupakan Jubah Ingat Amanah

Negara Islam hari ini bukan kekurangan serban dan jubah. Bukan kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama’. Bukan kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. Bukan kekurangan penceramah dengan pelbagai gaya lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment’ dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar’.Bukan kekurangan orang politik yang menempelkan diri dengan agama, sama ada menjadi penaja kepada program agama yang membolehkan mereka mendapat political mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah berunsur agama bagi membolehkan rakyat lebih mempercayai. Bukan juga kekurangan program agama yang dirasmikan orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat’. Walaupun memang ada yang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.
Yang kurang ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Agama sering dipamerkan dalam bentuk upacara yang direka dan diadakan oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan’. Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya mereka dilihat sebagai manusia yang mendapat ‘restu’ dari orang-orang Tuhan. Kita sibuk dengan upacara agama yang sebahagiannya tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat, namun intipati ajaran Islam iaitu amanah dalam pentadbiran dan pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara dilupakan.
Setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama indeks rasuah, pengalahgunaan kuasa, salah tadbir urus cukup tinggi. Rakyat diperdayakan oleh mereka yang berselindung di sebalik jubah tokoh agama. Telinga rakyat disumbat dengan dengungan doa yang memuja dan memuji penguasa sama ada menteri, presiden, raja ataupun sultan walaupun mereka itulah mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan keatas bahu mereka. Sesetengah rakyat di negeri ‘entah berentah’ memuji sultannya bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan itu bertudung. Dalam masa yang sama mereka lupa sang sultan itu sedang membina istana berharga berbilion dari wang rakyat jelata. Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerana berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Kehebatan penguasa ialah apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya. Perkara itu tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh penguasa kerana dia memegang tampuk kuasa.
Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid. Namun Nabi s.a.w menyebut: “Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”. Betapa, seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sehelai selendang, bagaimana pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam? Sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tetapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam. Ini kerana di Barat, sama ada secara ‘terpaksa’ ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka bina dan pakai, mereka memegang prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah.
Sebelum datang ayat yang memerintah taat kepada penguasa, Al Quran terlebih dahulu mendatangkan ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. Allah terlebih dahulu berfirman:(maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58). Selepas itu barulah diikuti dengan firman: (maksudnya) " Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).
Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut: "Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)" (Al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).Amanah adalah isu utama kegagalan urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini, di samping soal ‘al-quwwah’ ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik. Kebanyakan Negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.
Seringkali mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat dan menjadi rujukan dalam Islam. Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak makan lemak haiwan, susu dan daging pada tahun berkenaan sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Suatu hari pekerjanya dapat membelikan untuknya lemak dan susu namun pada harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku benci pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenai aku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).‘Umar tidak berkata: ‘kenaikan harga barang adalah takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa’. Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam’. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.
Asas kefahaman kita tentang agama perlu diperbetulkan. Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang mana gaji pembacanya dibayar, atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan. Kesan ajaran Islam terhasil dari akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata. Dunia Islam memerlukan manusia politik yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan mereka yang berjubah tetapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat. [Adaptasi dari tulisan Dr MAZA]
Umat Islam seluruh dunia berpecah belah... baik zahir mahupun batin... dihina dan diratah...kerana telah menggantikan pengabdian kepada ALLAH dengan PANGKAT dan HARTA. Itulah hakikatnya.

No comments:

Post a Comment