Monday, September 28, 2015

Melihat Dengan Mata Hati

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 190 bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi ORANG YANG BERAKAL.” Gunakan akal kita untuk menghayati nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia. Salah satunya ialah mata yang kita guna untuk melihat. Contoh, MATA ZAHIR melihat air dalam sebuah gelas, tetapi MATA HATI melihat H2O yang membentuk air dalam gelas iaitu satu komponen hidrogen serta dua komponen oksigen.
Kita melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan matlamat tersendiri; “nak diet, nak jimat, nak jaga kesihatan” dan berbagai lagi. Semua jawapan itu tidak salah. Sekarang mari kita lihat bulan Ramadan dengan mata hati berdasarkan Surah Al Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang BERIMAN, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, agar kamu BERTAQWA.” Bererti Allah mahu kita mencapai kemuncak ibadah puasa iaitu menjadi orang yang BERIMAN.
Umat nabi-nabi sebelum umat Muhammad iaitu umat Musa, umat Isa, umat Nuh juga diperintahkan berpuasa. Umat Nabi Musa a.s. berpuasa mengikut bulan yang ditetapkan dalam kalendar Yahudi. Mereka berpuasa dari Maghrib ke maghrib. Satu tempoh yang agak panjang. Nabi Muhammad s.a.w. ialah nabi terakhir dari barisan nabi-nabi, boleh dikatakan sebagai nabi bongsu. Dalam keluarga, anak bongsu adalah anak paling ringan beratnya berbanding anak-anak lain yang terdahulu. Disebabkan nabi kita yang bongsu, ibadah puasa yang diperintahkan ke atas umatnya lebih ringan berbanding umat nabi-nabi terdahulu. Kita berpuasa dari subuh ke maghrib. Panjang atau pendek tempoh berpuasa bukan ukuran, bukan hendak bersaing dari segi ketahanan fizikal. Yang penting ialah kekuatan minda dan hati iaitu TAQWA, rasa takut dan mengharap hanya kepada Allah S.W.T. semata-mata. Taqwa tidak boleh dilihat secara fizikal. Ia dirasai di dalam hati. Pada bulan Ramadan kita sangat berhati-hati segala dengan tindak-tanduk sebab tidak mahu membatalkan puasa. Hati mengawal seluruh anggota tubuh - lidah, tangan, kaki, mata dari melakukan dosa. Pun begitu, adalah amat malang apabila ketaqwaan yang dilatih pada bulan Ramadan tidak dapat diteruskan hingga ke sepanjang tahun.
Kembali pada Surah Ali Imran ayat 190. “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal.” Cuba perhatikan. Untuk menentukan bermulanya bulan Ramadan, kita makhluk di BUMI merujuk kepada terbitnya anak bulan, iaitu makhluk Allah yang ada di LANGIT. Begitu juga bila hendak menentukan tarikh hari raya bulan Syawal. Kita rujuk kepada makhluk langit itu.
Sebelum mula berpuasa kita disunatkan bersahur. Sahur tamat 10 minit sebelum terbit fajar waktu subuh. Sekali lagi manusia di bumi merujuk kepada makhluk di langit iaitu MATAHARI. Hendak berbuka puasa juga rujuk kepada terbenamnya matahari. Waktu berbuka puasa di Malaysia tidak sama dengan negara lain kerana masing-masing bergantung kepada waktu matahari terbenam di tempat sendiri. BILA MAKHLUK DI LANGIT TAAT DENGAN KETENTUAN ALLAH, MAKHLUK DI BUMI JUGA AKAN TURUT TAAT SAMA. Inilah perlambangan yang difirmankan Allah dalam Surah Al Dzariyat ayat 20-21: “Dan di bumi terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang yakin. Dan juga pada (juga) dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?”
Dalam keluarga ayah adalah matahari dan ibu pula bulan. Mereka berada di atas. Jika AYAH DAN IBU TAAT KEPADA ALLAH, ANAK-ANAK YANG DI BAWAH TURUT TAAT. Jika sebaliknya, anak-anak terdedah kepada maksiat dan dosa. Samalah juga keadaannya di tempat kerja. Kalau MAJIKAN BERMAKSIAT dengan tidak menjaga solat, aurat dan akhlak, PEKERJA JUGA MELAKUKAN DOSA.
Manusia berasal dari tanah. DILIHAT DENGAN MATA ZAHIR, TANAH ITU KOTOR. Jika melekat di lantai, kita bersihkan. Namun bila dilihat dengan MATA HATI, pakaian terkena najis berat, kita cuci dengan air TANAH YANG MENYUCIKAN, bukan sekadar membersih. Mungkinkah ini salah satu faktor mengapa Allah mencipta Adam a.s. daripada tanah supaya anak cucu Adam membawa falsafah tanah bagi menyucikan bumi? Najis apa yang manusia mesti sucikan? Najis itu namanya SYIRIK, DOSA dan MAKSIAT. Untuk menyucikan perlu ada ilmu. Macam mana hendak elakkan rasuah kalau kita tidak tahu rasuah itu berdosa? Dengan mata hati yang berilmu, kita tahu membezakan yang hak dan batil, yang halal dan haram.
Tanah perlu disucikan sebelum ia boleh menyucikan. Mana mungkin baju yang terkena najis berat kita cuci dengan air tanah yang bertahi anjing. Makin kotorlah baju itu. Manusia yang berasal dari tanah dan hendak menyucikan manusia lain yang juga berasal dari tanah, mesti menyucikan dirinya dahulu melalui PENYUCIAN JIWA dari dosa dan maksiat. Mematuhi perintah Allah adalah penyucian jiwa yang dituntut. Haiwan yang hendak disembelih menjadi tenang dan tidak meronta-ronta bila matanya ditutup dan dibacakan "Bismillah Allahuakbar". Inikan pula manusia yang tubuhnya terdiri daripada molekul air yang mampu berubah dengan ayat-ayat Allah S.W.T.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Jadilah kamu di dunia ini umpama seorang pengembara atau perantau di jalan.” (HR Bukhari). Perantau asing yang bekerja di negara kita bersungguh-sungguh mencari rezeki kerana sedar kehadiran mereka adalah atas permit yang boleh ditamatkan bila-bila masa. Pendapatan mereka dihantar pulang ke kampung halaman bagi membantu keluarga. Pahala ibadah yang mereka lakukan di masjid-masjid kita, mereka kirim ke kampung akhirat kerana ingin membina istana indah di sana. Mereka melihat kehidupan ini dengan mata hati, bukan dengan mata zahir.
Rakyat tempatan bekerja keras mencari wang demi membina istana di dunia, meninggalkan tuntutan agama, mewah hidup di tempat sendiri sehingga terlupa permit yang Allah beri untuk hidup di muka bumi ini pun boleh ditarik bila-bila masa. Sepatutnya apa yang kita dapat di dunia janganlah dihabiskan untuk dunia semata-mata. Hantarkan sebahagian daripadanya ke tempat asal kita di akhirat sana. Moyang kita, Adam a.s. yang berasal dari syurga. Sebagai anak cucunya, tidakkah kita ingin kembali ke tempat asal kita di syurga sana? Oleh itu gunakanlah permit masa yang Allah beri untuk menyediakan pasport ke sana iaitu TAQWA, KEAMPUNAN dan RAHMAT. Inilah gambaran keseluruhan Islam.
Allah S.W.T. melakukan sesuatu mengikut kemahuan-Nya. Gunakan mata hati untuk melihat kesemuanya. Bumi ciptaan Allah ini planet terindah dan terbaik buat manusia di mana yang baik dan jahat, sempurna dan cacat sama-sama menghuni tanpa diasingkan, supaya masing-masing mempelajari dan mendapatkan REDHA-NYA. Allah menjadikan hari ketujuh, JUMAAT sebagai hari kebesaran penuh kebaikan. RAMADAN pula teristimewa dari kesemua 12 bulan.
Allah S.W.T. menciptakan manusia sebagai khalifah di bumi sebagai jawapan kepada soalan para malaikat. Allah S.W.T. mahu menguji siapa di kalangan kita yang yang terbaik amalannya. Malaikat makhluk suci yang patuh menuruti perintah setakat yang Allah ajarkan. Berbeza dengan Adam a.s. dan keturunannya yang terus menerus mengembangkan ilmu asas yang Allah ajarkan. Perkembangan ilmu ini berlangsung sejak zaman Adam a.s. hinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w. Kita paling beruntung kerana memperolehi kitab ilmu teragung, AL QURAN. Isinya dihayati dan diamalkan. Kita belajar bukan sahaja ilmu Al Quran, tetapi juga semua ilmu yang lain kerana wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. bermula dengan perkataan IQRA' bererti BACALAH. Kekuatan sesuatu umat ialah pada tabiat membaca. Dalam menuntut ilmu dan mempraktikkannya, ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk. Makin berisi ilmu di dada, makin tunduk kepada Allah S.W.T. dengan penuh keimanan. Wallahualam [Ceramah Ustaz Nushi Mahfuz dalam siaran AL KULIAH TV3 pada 18 September 2015]

No comments:

Post a Comment