Saturday, December 31, 2016

Solidariti Aleppo


Kota Aleppo, kubu kuat pejuang pembebasan Syria, sudah ke tangan rejim Bashar al-Assad dengan bantuan Rusia, Iran, Hizbussyaitan dan Militan Syiah. 2. Tragedi ini sebenarnya sudah dijangka. Selepas lebih setahun dihujani roket dan bom barel hampir setiap hari, tanpa kelengkapan yang cukup untuk mempertahankan diri, tanpa pembelaan dan perlindungan sewajarnya dari komuniti antarabangsa, adalah satu keajaiban warga Aleppo dapat bertahan sehingga hari ini.

Malang sekali kejatuhan Aleppo diiringi suara-suara sinis pihak yang menuduh golongan yang berdukacita dan menyatakan solidariti kepada penduduk Aleppo sebagai pro-Amerika, tertipu dengan media dan gagal membezakan antara kerajaan yg sah dan kumpulan pengganas.. Suara-suara ini tiba-tiba menjadi lantang walhal sebelum ini tidak begitu kedengaran. Kejayaan rejim Bashar memberi peluang untuk mereka keluar dari kepompong.

Tuduhan-tuduhan yg mereka lemparkan sangat dangkal, keji dan hanya bertujuan mencemar nama baik kebangkitan rakyat Syria dan kebangkitan rakyat Arab amnya. Mereka mendakwa penyokong perjuangan pembebasan Syria sebagai pro-Amerika walhal Amerika tidak melakukan apa-apa pun yang bernilai untuk membantu rakyat Syria. Amerika hanya berlakon seolah-olah membantu rakyat Syria. Malah, legasi merekalah yang melahirkan pengganas seperti ISIS. Bagi Amerika, yang utama adalah kepentingannya dan kepentingan Israel terpelihara walau siapapun yang memerintah Syria.

Justeru, kalau ada yang tertipu, penyokong Basharlah yang sebenarnya tertipu kerana menyangka mereka berada di pihak yang menentang Amerika. Merekalah yang tertipu dengan perang proksi yang cuba dimainkan oleh Rusia dan Amerika. Mereka menuduh penyokong perjuangan pembebasan rakyat Syria terpedaya dgn dakyah media pro-Amerika dan gagal membuat semak silang sumber-sumber berita yang diperoleh. Tuduhan ini sangat lemah dan sangat mendukacitakan.


Dunia hari ini dibanjiri dengan pelbagai platform media. Kita tidak lagi bergantung kepada media tradisional seperti CNN dan BBC untuk mendapat berita apatah lagi Reuters dan Press TV untuk semak silang. Kita sudah ada pelbagai platform media alternatif dan media sosial. Ratusan wartawan telah turun membuat liputan di Syria dan puluhan telah terkorban. Rakyat Syria mengguna Facebook dan Twitter untuk pberkongsi keadaan mereka. Kenyataan Rabitah Ulama Syria, Halab/Aleppo dan Kesatuan Ulama Sedunia boleh didapati di laman web mereka. Wakil pembangkang Syria di luar negara boleh ditemui untuk mendapatkan maklumat rasmi. NGO-NGO yang bergerak di lapangan menghantar bantuan kemanusiaan dan menyelamatkan nyawa juga boleh dirujuk. Bahkan, JUTAAN pelarian Syria di Turki, Lubnan, Jordan dan negara-negara Eropah boleh ditemuramah. Sepatutnya tidak timbul isu; melainkan merekalah yang gagal membuat semak silang dan percaya bulat-bulat liputan Reuters, Press TV dan RussianInsider!

Mereka juga menuduh penyokong perjuangan pembebasan rakyat Syria gagal membezakan antara kerajaan yang sah dan kumpulan pengganas. Siapa sebenarnya yang 40 tahun dengan pelbagai rekod jenayah pembunuhan beramai-ramai? Siapa yang menghantar gengser untuk merogol wanita-wanita Syria?
Siapa yg menggunakan seluruh kekuatan tentera untuk mengekang kebangkitan rakyat sehingga lebih 300,000 orang terkorban? Beginikah rupanya kerajaan rakyat yang sah? Bukankah ini lagaknya sebuah kerajaan pengganas? Mereka membantai Aleppo atas alasan ia menjadi kubu ISIS dan kumpulan pengganas. ISIS tidak pernah berada di Aleppo dan tidak pernah menguasai walau SEINCI bumi Aleppo! Yang ada hanyalah pejuang pembebasan Syria dan rakyat yang menyokong mereka.

Benar, rejim Bashar al-Assad mengadakan pilihanraya pada 2012 (Parlimen), 2014 (Presiden) dan 2016 (Parlimen). Tetapi berapa peratuskah yang keluar mengundi? Berapakah jumlah parti yang bertanding? Sejauh manakah keputusan ini sah? Apakah jaminan pilihanraya ini dilaksanakan dengan telus dan bersih di tengah-tengah peperangan? Pilihanraya ini hanyalah gimik semata-mata. Hanya orang gila akan mengangkat pemimpin seperti Bashar al-Assad!

Kepada mereka kita katakan, "Berhentilah berkata-kata yang sia-sia. Fahamilah keadaan sebenar. Sedarlah bahawa Aleppo itu dirampas bukan dibebaskan. Kalau tidak mengapa orang ramai melarikan diri? Mengapa perlu evakuasi? Mengapa warga Aleppo tidak tinggal dan menyambut serta meraikan kehadiran tentera Bashar? Video-video sambutan kejatuhan Aleppo hanya di kawasan yang dikuasai rejim di sebelah barat Aleppo. Usah terperangkap dalam jerat Rusia dan Iran pula ketika cuba mengelak jerat Amerika dan para diktator Arab.

Konflik di Syria sangat rumit dan tidak wajar disimpulkan secara mudah dgn gelaran-gelaran pro-Amerika, anti-Amerika dan sebagainya. Umat ini memerlukan kebijakan untuk keluar daripada fitnah ini. Dalam apa pun keadaan, pastikan kita bersama dan menyokong perjuangan menegakkan keadilan dan membasmi kezaliman. InsyaAllah kita akan berada di pihak yang benar.

Semoga Allah SWT memberikan kita keupayaan untuk melihat kebenaran dan kekuatan untuk menegakkannya.

[Khalid Jimat, Eksekutif Penyelidikan dan Pendidikan,Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)]

No comments:

Post a Comment