Wednesday, December 14, 2016

Amanahlah Kerana Allah




Melintas di sebuah sekolah kebangsaan, Haji Abdul Ghani ternampak sejambak bunga di pagar.Cantik.Teringin hendak menanamnya.
Lalu disapanya tukang kebun sekolah yang berada tidak jauhh dari situ. Dia meminta rantingnya yang mungkin boleh ditanam.

"Tuan Haji kalau nak ambik,kena minta pada guru besar. Saya kerja tanam dan bela supaya tumbuh berbunga saja."

"Kalau encik bagi pada saya, guru besar bukan tahu. Dia dalam pejabat. Lagipun satu ranting kecik saja, bukan nak cacat pokok tu, bukan boleh mematikan pokok tu dan guru besar tak akan perasan." Haji Ghani cuba memujuk.

"Gurubesar memang tak tahu, tak perasan pun tapi Allah tetap nampak.Ini bukan hak saya. Saya cuma makan gaji dan disuruh menjaga.Saya tetap tidak akan bagi pada Tuan Haji."

Haji Ghani senyum kepadanya dan masuk ke sekolah berjumpa guru besar.

Ibrah:

Ramai orang memandang remeh perkara amanah terutama bagi perkara kecil. Bila kita ditugaskan, kita diberi amanah untuk menjaga harta,alat,masa kerja kerana ketua kita atau majikan tidak akan duduk menunggu melihat kita.

Maka atas sifat amanahlah kita bekerja. Yang memerhati setiap pergerakan kita ialah Allah. Tukang kebun itu benar-benar seorang yang amanah meskipun sekadar satu ranting pokok bunga.

Jom kita lihat tugas lebih besar yang juga memerlukan amanah. Alat tulis pejabat, pen, paper clip, stapler dan pin, pemadam, getah pengikat dan sebagainya adalah perkara kecil yang terkadang kita guna untuk peribadi, terbawa balik untuk kegunaan sendiri.Itu perbuatan tidak amanah meskipun kecil.

Yang lebih besar menggunakan kenderaan pejabat untuk urusan sendiri, pergi makan, shopping, singgah sekejap di rumah dan lain-lain. Guna air di pejabat untul cuci kereta sendiri.Cas telefon peribadi untuk kegunaan sendiri. Memang nampak sedikit tetapi tetap pecah amanah dan akan ditanya di akhirat.

Ada juga peralatan pejabat diguna untuk urusan sendiri seperti panggilan telefon ke rumah, panggilan niaga, mengguna komputer pejabat untuk melayari fb,whatssap meski seminit dua tetap tidak amanah.Jika sehari sekali, seminit dua kita tidak amanah pada peralatan tempat kerja, cuba kiralah berpuluh tahun kita bekerja, tidak terjawab di hadapan Allah nanti.

Selain itu mengguna waktu bekerja untuk berjual beli juga tidak amanah dan menambah dosa dan merosak rezeki.Mereka yang suka berniaga di pejabat, sila ambil perhatian. Nabi suruh berniaga tetapi tidak suruh berniaga sambil mencuri waktu kerja.Usah dolak dalik kerana setiap minit dan saat waktu bekerja telah dibayar dalam bentuk gaji.

Adakala kita berfikir mengapa hidup penuh masalah, walau bekerja gaji ribu, masih tak cukup pendapatan sedangkan ada orang gaji ratus ringgit namun boleh bela anak berderet dan hidup bahagia.

Semak dan bersihkan rezeki kita. Kembalilah kepada kebenaran dan jadilah orang yang amanah. Jom jadi seperti tukang kebun yang tugasnya dirasakan diperhati oleh Allah setiap masa.

No comments:

Post a Comment