Friday, December 16, 2016

Takut Miskin Tak Takut Neraka


Kita selalu disogok supaya bersedekah jariah sehingga terlupa bahawa di satu pihak lain, penerima sedekah atau zakat itu juga berkongsi ganjaran bersama dengan pemberi. Jika tiada yang menerima, maka tiadalah yang memberi. Mesti ada dua pihak baru boleh berlaku kebajikan, sama ada zakat atau sedekah. Dengan itu Allah Maha Kaya, memberi ganjaran-Nya kepada kedua-dua pihak.

Jika kita miskin, berada dalam golongan asnaf zakat, maka mintalah dan bukalah ruang untuk orang lain berbuat dan mendapat kebajikan. Jangan disembunyi kerana kemiskinan itu Allah yang menjadikan.

Fiman Allah: "Dan ketahuilah, bahwa harta dan anak-anak kalian itu hanyalah sebagai ujian. Dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar,” (QS Al-Anfâl [8]: 28).

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa berharta atau tidak,itu adalah ujian Allah dan diberi ganjaran ke atasnya,jika ada harta dibelanja ke jalan kebaikan. Jika tiada harta, kita menjadi asbab orang boleh berbuat kebajikan.Kedua-duanya mendapat ganjaran.Janganlah sembunyikan kefakiran. Pun begitu, jangan pula gunakan kefakiran atau ujian Allah kerana sakit untuk meminta-minta kepada manusia. Sebaik saja ditimpa sakit terus heboh satu dunia minta derma, seolah-olah sakit adalah lesen yang Allah beri untuk meminta-minta.

Seperkara lagi,kita acapkali berfikiran,jika Allah memberi rezeki melimpah ruah, itu tanda Allah mengasihinya,sedangkan yang miskin dianggap sebagai ujian. Pada satu pihak memang betul tetapi cuba perhatikan hadis qudsi yg dipetik oleh Imam Ahmad, "Sesungguhnya Allah memberi akhlak di antara kamu, sebagiamana memberi rezeki bagi kamu. Sesungguhnya Allah memberikan dunia bagi orang-orang yang dicintai oleh-Nya, mahupun bagi yang tidak dicintai oleh-Nya. Akan tetapi, Allah tidak memberikan agama kecuali bagi orang-orang yang dicintai-Nya. Dan siapa saja yang diberi agama oleh Allah, maka ia termasuk orang yang dicintai oleh-Nya.”

Hadis ini jelas menunjukkan harta dunia diberi kepada siapa juga yang dikasihi atau tidak dikasihi Allah.Tetapi jika Allah mengasihi seseorang, Dia memberi agama kepada orang itu.Pilihlah untuk diberi agama. Biarlah kita dicintai Allah, dengan diberi keimanan, kekuatan untuk beribadat, berbanding harta.Jangan rasa rendah diri jika tidak berharta,tingkatkan ketakwaan.Rugilah mereka yang miskin dan tidak bertakwa.

Kebanyakan kita takut miskin,takut susah,takut tak ada makan, berhempas pulas berusaha supaya tidak miskin.Jom kita teliti satu lagi hadis qudsi.
"Wahai manusia, sekiranya engkau takut kepada neraka sebagaimana engkau takut kepada kemiskinan, nescaya Aku akan memberi kekayaan kepadamu daripada jalan yang tidak dapat engkau jangkakan.” (Hadis Qudsi, Imam al-Ghazali, Nasihat dan Bimbingan. Tahqiq: Dr. Abdul Hamid Salil Hamdan).

Allah menyuruh kita takut pada neraka dulu, sebelum takut miskin. Maknanya,kita kena teguhkan iman, banyakkan ibadat dan berbuat kebaikan untuk mengelak dari masuk neraka dahulu. Allah akan beri rezeki dari arah yang tidak disangka. Bukan berusaha hingga melengahkan waktu solat, atau tidak bersolat langsung, tidak buat amalan sunat kerana miskin, tidak berbuat baik kerana sibuk menghambat dunia.

Ada yang kata,"Bila aku dah berada,aku akan buat ibadat. Bila dah pencen,aku nak ke masjid." Namun, Sebaik pencen, Allah jemput kembali. Padan muka,sibuk menghambat dunia takut miskin dari takut neraka.

Ada orang menyebut," Nak buat amalan sunat apa,nak makan pun tak cukup? Kalau dok doa,sembahyang saja, boleh turun ke nasi sepinggan, lauk setalam dari langit?Taraaaak! Kena turun ke laut,ke bendang, ke kebun baru ada hasil."

Betul,tetapi hakikatnya Allah yang memberi rezeki.Walau kita turun ke laut,ke bendang,ke kebun,Allahlah yang menundukkan ikan, menumbuhkan padi dan mengeluarkan buah. Yakinilah janji Allah,takutlah masuk neraka dulu sebelum takut miskin. Sesusah mana, sefakir mana, sesibuk mana,jangan tinggal ibadat.

Fahamilah agama secara menyeluruh,secara hakikatnya.Wallahu a'lam

[Abdul Ghani Haron]

No comments:

Post a Comment