Monday, May 4, 2015

Sulitnya Mengutip Gosip

Doel bergosip mengenai jirannya. Dalam beberapa hari, seluruh kejiranan sudah tahu. Jirannya rasa sakit hati tetapi mengambil sikap berdiam diri kerana yakin lambat-laun kebenaran akan terbongkar. Beberapa hari kemudian, Doel baru sedar gosip itu tidak benar. Dia menyesal lalu mendatangi seorang ustaz untuk mendapatkan cara memperbaiki kesalahannya. Ustaz suruh Doel ke pasar dan membeli penyapu bulu ayam. Dalam perjalanan balik ke rumah, bulu ayam pada penyapu itu hendaklah dicabut satu persatu dan dilemparkan di sepanjang jalan.
Suruhan itu memang pelik namun Doel tetap melakukannya. Kemudian dia kembali menemui ustaz. "Sekarang pergilah dan kumpulkan semula semua bulu ayam yang awak buang dan bawakan kepada saya". Doel menyusuri jalan yang sama, tetapi angin telah menerbangkan bulu-bulu itu ke merata-rata tempat dan arah. Setelah mencari beberapa jam, dia kembali hanya dengan tiga helai bulu ayam sahaja. Kata ustaz, "Tengoklah. Sangat mudah melemparkannya, tapi tak mungkin mengumpulnya semula. Macam gosip juga,hendak menyebarluaskannya mudah, bila dah tersebar, apa-apa pun tak mampu menariknya kembali. Yang boleh awak buat ialah mohon maaf kepada jiran itu. Ingatlah, hidup dan mati seseorang dikuasai lidah. Bila disalah guna, hancurlah semua yang ada di sekitar. Lidah yang lembut umpama pohon kehidupan, lidah yang jahat melukai hati orang lain. Mulut orang benar mengeluarkan hikmat, tetapi lidah bercabang layak dikerat!!!"

No comments:

Post a Comment