Thursday, May 21, 2015

Kentang Rebus Ditabur Garam

Sepasang suami isteri kaya-raya pergi ke sebuah restoran mewah untuk merayakan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-50. Kerana suatu urusan, mereka terlewat sampai ke restoran itu.Seorang pelayan datang menjelaskan dalam keadaaan serba salah, “Maaf tuan, kami sudah hendak tutup. Semua makanan sudah habis, kecuali ... Sebenarnya, kami hanya boleh sediakan satu menu masakan saja untuk tuan iaitu kentang rebus ditabur garam.” “Apa? Restoran sebesar ini hanya itu yang berbaki?” Si suami hampir berdiri dan mengajak isterinya pergi dari situ, tetapi ditahan oleh si isteri. Si suami kehairanan ketika isterinya memberi isyarat bahawa dia ingin memesan menu itu.
Ketika hidangan itu sudah ada di atas meja dan pelayan sudah pergi meninggalkan mereka, si suami melihat hidangan dengan keadaan hilang selera sambil berasa sangat bersalah kerana kejadian itu. Mereka hendak merayakan ulang tahun perkahwinan ke-50 secara sederhana, tanpa pesta dan hingar-bingar, tetapi kesederhanaan ini benar-benar keterlaluan. Dia melirik si isteri dan melihat air matanya mulai mengalir. Dia jadi sedih dan matanya turut tegenang air mata. Dipegang tangan isterinya dengan lembut.“Maafkan abang. Tak sangka begini jadinya. Macam mana kalau kita cari restoran lain saja?”
Isterinya menggeleng. Dia menatap suaminya dan tersenyum.“Sayang, inilah hidangan terbaik untuk ulang tahun pernikahan kita. Lima puluh tahun lalu kita mula rumah tangga kita dalam keadaan susah dan sederhana. Pendapatan kita benar-benar seadanya. Lalu kita bekerja keras, menabung, dan hidup berhemat. Masa tu kita hanya makan kentang rebus yang ditabur garam untuk berjimat. Setelah beberapa tahun, keadaan mulai berubah dan Allah memberi rezeki yang banyak, sehingga kita menjadi kaya-raya. Kini kita sudah kaya dan selama puluhan tahun terakhir tak pernah lagi melihat atau menyentuh kentang rebus yang ditabur garam, sampailah pelayan itu menghidangkannya di hadapan kita ini.”
Si suami tersentak dan menatap hidangan di depannya dengan penuh rasa takjub. “Betul tu. Inilah hidangan terbaik kita. Ini simbol kejayaan dan kerja keras kita,” kata si suami mulai menitiskan air mata.

No comments:

Post a Comment