Friday, May 15, 2015

Di Mana Muslim Sejati?

Lelaki Palestin itu sudah putus asa. Dia kecewa kerana dalam dunia ini hanya ada agama Islam tetapi tidak ada Muslim. Baginya Muslim sejati tidak boleh hidup di dunia yang penuh kekejaman. Penzalim di dunia menggelarkan bangsa Palestin sebagai teroris. Yang sangat dikesalinya apabila kiblat pertama umat Islam, Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis kini berada dalam tangan Israel. Sungguhpun dia seorang yang menyimpan ayat-ayat Al-Quran di dalam dadanya (hafiz), namun kini agama Islam yang suci itu sudah ditinggalkannya dan menjadi seorang “free thinker.” Na’udzubillah!!! Semoga Allah mengembalikan hidayah yang telah hilang kepada dirinya.
Pun begitu kata-katanya tidak dapat dinafikan. Islam memang ada tetapi Muslim sejati tidak ada. Lihat sahaja di sekeliling kita. Wanita yang mengaku beragama Islam bergaya dengan rambut berbagai gaya dan warna, berpakaian sendat, jarang dan singkat, lelaki yang kononnya Muslim memakai subang dan rantai tanpa baju sempurna, hanya singlet sahaja. Jika ada pun yang kelihatan berpakaian Muslim, lengkap dengan jubah dan kopiah namun akhlak dan lisan tidak menggambarkan kesucian busana yang terlekat di badan. Sukar mencari Muslim sejati. Muslim itu ialah mereka yang menyelamatkan Muslim lain menggunakan lidah dan tangannya, tidak sanggup melihat saudara seakidah menuju azab neraka. Muslim sejati tidak menghina sesiapa, baik sesama Muslim, jauh sekali yang belum Muslim.
Muslim itu mengucap dua kalimah syahadah di lidah dengan iktikad di dalam hati. Benarkah kita faham syahadah yang diucapkan? Muslim menunaikan solat 5 waktu sehari semalam, sudahkah kita melakukannya...di awal waktu? Berapa ramai yang betul-betul faham apa yang dibaca dalam solat... solat jamak, solat qasar, solat khauf, solat waktu sakit? Muslim itu menginfakkan hartanya melalui zakat, waqaf dan sedekah, tetapi masih ada lagi yang menahan tangannya daripada menjadi pemberi.Muslim itu berpuasa pada bulan Ramadhan.Berapa ramai yang tidak berpuasa dengan memberi alasan sakit gastrik? Muslim tu mengerjakan haji bila mampu.Namun ramai yang menggunakan duit untuk pergi cuti ke tempat lain daripada pergi haji. Muslim itu bertawakkal kepada Allah tetapi ramai yang meletakkan harapan kepada manusia, seperti lelaki Palestin tadi. Pencuci muka tidak akan dapat membersihkan wajah yang tidak disentuh air wuduk. Duit tidak dapat membawa kebahagiaan kerana hidup itu dalam ketentuan Allah. Hendak menjadi Muslim yang baik pun belum tentu, inikan pula menjadi Mukmin, jauh sekali MUHSIN. Kita sibuk memburu ilmu-ilmu lain tetapi ILMU TENTANG RUKUN ISLAM PUN KITA TIDAK LEPAS.
Ramai yang bermentaliti hendak menjadi MUSLIM biasa-biasa sedangkan pada akhir zaman ini macam-macam ujian yang datang. Iman yang biasa-biasa tidak dapat selamatkan kita.DUNIA SEKARANG MEMANG KEJAM DENGAN MUSLIM..TETAPI INGAT--- ALLAH CIPTAKAN KITA DI AKHIR ZAMAN INI DENGAN BERSEBAB. DIA TAHU KITA MAMPU MENGHARUNGI SEMUA INI. Muslim sejati itu akan muncul bila kita sedar yang kita belum lagi menjadi “the real Muslim”. Orang yang sedar akan bertindak ---Orang yang setakat tahu hanya berdiam diri. Kekuatan dan ilmu bukan ditunggu, tetapi dicari. JANGAN RASA SELAMAT DENGAN IMAN YANG SEKELUMIT.

No comments:

Post a Comment