Saturday, May 16, 2015

Kesan Dendam

Dendam adalah salah satu sifat mazmumah (negatif) yang membawa kesan buruk. Hati pendendam tidak pernah tenang, rezekinya sempit, hartanya disia-siakan kerana mengupah orang lain untuk membalas dendam bagi pihaknya. Lama kelamaan, kesihatannya merosot dan berada dalam keletihan. Orang yang berjaya membalas dendam, tidak semestinya akan rasa gembira. Jika dalam hatinya ada iman walaupun sekelumit, dia akan dihantui rasa bersalah sehingga merana. Ada isteri mendendami suami, sanggup menyihirkan pasangan sendiri sehingga menjadi tolol dan meninggal dunia. Akhirnya sendiri yang dapat susah. Ingatlah, hanya orang yang dirasuk syaitan dan syaitan itu sendiri sahaja yang berpuas hati dengan kejayaan dendam.
Sekiranya ada orang mendatangi kita dan meminta kita membuat sesuatu untuk membolehkan dia membalas dendam, jangan sesekali menolong dia. Bertindaklah secara bijak. Cuba lunturkan dendamnya dengan kata-kata berhemah. Dendam yang dibalas akan membenihkan lebih banyak dendam. Nasihati dia supaya memohon kepada Allah agar dendam itu terhapus. Jika mampu pujuk dia supaya memaafkan orang tersebut. Jadikanlah diri kita sebagai penganjur kebaikan.
Bukan manusia sahaja yang berdendam, jin pun menyimpan dendam juga. Oleh itu ambil langkah-langkah tertentu untuk mengelakkan diri daripada didendami kaum jin. Sebagai contoh, bila hendak masuk rumah, berilah salam dahulu kerana dikhuatiri ada jin yang menghuni dan kita tersilap memijaknya lantaran tidak dapat melihat entiti itu. Ada juga jin yang mendiami singki di dapur. Sebelum mencurahkan air panas untuk pembersihan, sebutlah, “ Mana-mana makhluk yang ada di sini, tolong keluar. Aku nak curah air panas. Kalau cedera, jangan salahkan aku!” Jika masuk kehutan pula katakanlah, “Semua penghuni di sini, tolong keluar cepat. Aku nak buat kerja.” INI BUKAN SYIRIK SEBAB KITA TIDAK MENYEMBAH MEREKA. Kita hanya memberi peringatan supaya tiada perkara buruk yang berlaku. Ingatlah, mereka juga hamba Allah. Kita tidak boleh menzalimi sekiranya mereka tidak mengganggu kita.
Cara hendak menghapuskan dendam ialah dengan memperbanyakkan zikir. Baca” Ya Allah” 3 kali disusuli “Ya Latiff” 100 kali. In sya Allah perasaan itu akan hilang. Rajin-rajinlah menziarahi orang sakit, orang mati dan kuburan supaya timbul rasa keinsafan. Menangis kerana keinsafan mampu melembutkan dan membersihkan segala kekotoran di lubuk hati. Simpan hal yang baik-baik sahaja di sana. Dendam yang diletakkan di tempat yang betul akan jadi baik. Contohnya untuk membuktikan tuduhan orang ke atas kita itu tidak berasas, bermunajatlah di sepertiga malam supaya Allah tunjukkan kebenarannya. Bangun, mandi, bersolat tahajud, duduk di antara dua sujud dan bertahlil 100 kali. Kemudian solat taubat, duduk di antara dua sujud dan bertahlil 100 kali lagi. Inilah cara duduk sebagai seorang hamba Allah seperti Nabi s.a.w. sering lakukan.
Ubahlah dendam menjadi sesuatu yang positif. Daripada menghancurkan hidup orang yang didendam, adalah lebih baik bersaing untuk menjadi setara ataupun lebih tinggi daripada dia. Buangkan perasaan dendam dengan kemaafan dan bertaubatlah supaya dendam itu tidak dibawa hingga ke mati. Tiada dendam, in sya Allah hati akan tenang dan usia jadi panjang. Kehebatan seseorang manusia ialah apabila dia berjaya menghapuskan dendam walaupun peluang untuk membalasnya ada di depan mata. Dia boleh buat apa yang ramai orang tidak mampu.
Marilah kita menjadi kalangan hamba Allah yang sedikit, yang benar, yang pemurah, yang penyabar kerana yang sedikit itulah yang mendapat keredhaan Allah. Jangan suka ikut orang tanpa berfikir baik buruknya. Ikutlah jalan yang lurus dalam agama. Kesan dendam boleh mendatangkan berbagai penyakit. Kita makan macam-macam ubat untuk menyembuhkan. Bila rezeki sempit, kita bekerja berhempas pulas. Bila tidak boleh tidur malam, kita telan pil.Itu semua perkara yang tidak baik. Oleh itu bunuhlah rasa dendam supaya hidup lebih bahagia, mudah tidur, buat kerja sedikit pun rezeki yang datang melimpah ruah, kalau sakit, makan ubat sedikit sahaja sudah sembuh. In sya Allah, segala masalah mudah diselesaikan. Kesimpulannya, untuk mencapai maqam ketenangan yang tidak boleh didapati di mana-mana, buanglah segala dendam di hati. [Oleh Ustaz Ismail Elyas dalam Program Muqaddimah di TV9]

No comments:

Post a Comment