Friday, June 12, 2015

Ramadhan Bukan Bulan Juadah!

RAMADHAN BUKAN BULAN PESTA MAKANAN. Pada bulan ini sepatutnya perut direhatkan, tumpuan utama diberi kepada pelbagai aktiviti ibadah. Namun sebaliknya pula yang berlaku. Ramai sibuk buka bazar Ramadhan, hendak jual itu ini, makanan unik dan tidak dijual pada bulan-bulan lain. Ada yang berebutkan tapak bazar sehingga membawa kecederaan. Nabi s.a.w. tidak menyuruh umatnya berebut rezeki yang kononnya melimpah di bulan Ramadhan.
Walaupun berniaga itu sunnah tetapi perniagaan bulan Ramadhan cenderung merosakkan amal kebajikan peniaga dan juga mereka yang sedang berpuasa. Peniaga sibuk mengambil kesempatan meraih keuntungan ke atas dorongan nafsu selera para pengunjung bazar sehinggakan diri sendiri mengabaikan solat-solat wajib dan solat terawih. Pengunjung 'lapar mata' membeli sesuka hati tanpa mengambil kira aspek pembaziran. Akibat kekenyangan, solat terawih tidak khusyuk, dan lebih teruk meninggalkannya sama sekali.
Ada yang menganggap Ramadhan sebagai bulan perayaan, beria-ia memborong langsir dan perabot baru, baju raya, kuih raya dan sebagainya. Hakikatnya, Ramadhan ialah masa melatih diri selama sebulan untuk belajar beristiqamah dengan ibadah. Wang diperuntukkan buat sedekah jariah, memberi makanan berbuka, mengkhatam al-Quran, menghidupkan malam dan sebagainya.Azam yang membara usah dibiarkan menjadi kendur dan akhirnya terbantut.Hati jangan menjadi korban dalam perang maha dahsyat di dalam diri.‪‎Mulut‬, telinga, mata, hidung dan seluruh diri tidak boleh tega dengan dosa-dosa.Betapa ruginya jika puasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sedangkan KESAN PADA JIWA DAN PANCAINDERA MASIH DI TAKUK LAMA.‪‎PUASA‬ hendaklah dilaksanakan dengan "MANUAL" lahir dan batin seperti yang ditetapkan SUNNAH RASULLULLAH S.A.W. ‪‎Latihan‬ berlapar di siang hari perlu disusuli dengan pakej latihan berbentuk HABLUMMINALLAH dan HABLUMMINANNAS.
Jangan rosakkan kesucian Ramadhan dengan membakar mercun, bunga api, meriam karbait dan memasang lampu dan pelita. Amalan membakar mercun dan meriam adalah budaya Cina untuk menghalau hantu, amalan memasang pelita pula adalah amalan agama Hindu.Ini bukan unsur Islam. Ramadhan sepatutnya SUNYI daripada perkara yang bersangkutan dengan hawa nafsu. Inilah masa memeriahkan ibadah di masjid, surau dan di rumah, bukan meriah dengan letupan mercun dan bunga api.
Pada bulan penuh rahmat ini kita dituntut beribadah, menghisab diri, memohon keampunan Allah dengan memuji-muji-Nya dan memberi kemaafan sesama manusia. Buktikan kita bersedia menyambut kedatangannya. Jangan biarkan peluang keemasan terlepas dan terbiar. Jinakkan nafsu yang buas dan liar itu. ‪‎ SEKIRANYA‬ INI RAMADHAN TERAKHIR, LAYAKKAH KITA BERHARI RAYA? MARHABAN YA RAMADAN!

No comments:

Post a Comment