Friday, June 5, 2015

Bencana - Semua Terkena Balanya

Nabi s.a.w. bersabda, "Apabila tersebarnya zina dan riba dalam sesebuah tempat (kampung atau negara atau negeri) maka telah penduduknya menghalalkan bagi mereka dijatuhkan azab Allah ke atas mereka. (Hadis bertaraf Hasan Riwayat Ibn Hibban).
Nepal yang terkenal dengan Everest telah berlaku ‘pembunuhan’ kejam terhadap 250,000 haiwan atas ritual agama. Selepas itu berlaku gempa bumi 7.8 SR dan beberapa kali gempa susulan yang amat dahsyat. Di Acheh juga dikhabarkan berlaku pesta maksiat yang keterlaluan pada 25 Disember 2004, sehari sebelum terjadinya Tsunami yang mengorbankan ratusan ribu jiwa. Peringatan oleh ‘seseorang’ agar mereka ‘beringat’ telah diabaikan dan diperlekeh begitu sahaja. Tragedi banjir lumpur yang dahsyat pada 26 Desember di Sabah suatu ketika dahulu juga dikatakan berlaku sehari selepas masyarakat setempat berpesta maksiat yang melampaui batas. Sebelum tragedi gempa bumi di Sabah kelmarin juga terdapat satu kronologi yang sama. Sekumpulan 10 orang asing pendaki gunung Kinabalu berbogel dan kencing di puncak gunung dan 2 pelancung yang berbogel di sebuah pulau berhadapan Kota Kinabalu telah tersebar luas sebelum bencana itu terjadi. Isu bogel di Pulau Pinang, juga banyaknya kes pembuangan bayi, mabuk dan zina terbuka, juga pelbagai maksiat dalam konsert gila juga mengundang murka.
Dalam al-Quran sudah diFirmankan oleh Allah berkali-kali mengenai pelbagai bentuk bencana alam bagi menyedarkan mereka - ribut taufan, banjir besar, gempa bumi, gunung berapi, kemarau panjang, jenayah tersebar, panas melampau, perpecahan teruk dalam masyarakat, fitnah ke atas semua lapisan warga tersebar luas di media sosial, rumahtangga majoritinya tiada sakinah dan mawaddah. Tetapi manusia menganggap semua itu dongengan belaka. "Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari dirimu sendiri. Kami mengutusmu menjadi Rasul kepada segenap manusia. Dan cukuplah Allah menjadi saksi."(An Nisaa' ayat 79).
Apabila bala menimpa, ia terkena kepada semua termasuk orang baik dan soleh seperti Firman Allah:"Dan peliharalah dirimu dari pada seksaan yang TIDAK KHUSUS menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya."(Al Anfaal ayat 25). Dahulu di Malaysia selalu ada angin sepoi-sepoi bahasa sahaja, tetapi kini sudah kerap ada puting beliung seperti yang sering berlaku di Amerika. Di akhir zaman / qiamat, bumi akan diratakan. Gunung-ganang yang selama ini megah dan kukuh berdiri juga digoncangkan. Hari ini bumi sudah tidak tahan lagi menanggung beban tekanan manusia di gunung tinggi yang megah dan sombong. Sekali-sekala bumi bergoncang agar apa jua yang di atasnya berguling jatuh dan runtuh. Kepanasan hati rakyat marhaen yang tertindas kemudiannya meledak. Itulah lahar kepanasan dari perut bumi yang menghancurkan gunung yang tinggi. Apabila perut bumi sudah tidak tahan lagi dengan pelbagai gelagat lautan manusia, maka gegaran di perut laut itu pula akan melimpahkan air yang membaham apa sahaja pada laluannya. Kerakusan manusia sudah tidak terbendung, bumi ditarah, hutan ditebang, bukit digondolkan. Setiap rintihan rakyat miskin, kaum asli pribumi dan haiwan bagai tidak kedengaran di telinga penguasa yang leka mengumpul harta.
Hentikanlah kerakusan ini. Telah menjadi sunnatullah, setiap perbuatan akan kembali kepada pembuatnya dalam bentuk pembalasan. Takwalah kepada Allah. Benar-benar tadabburkan al-Quran itu, baca dengan mata dan hati, lihat petunjuk yang ada di dalamnya. Bangkitlah dengan penuh semangat, ikhlas dan berani dan laksanakan segala yang Allah telah perintahkan. Perbanyakkan istighfar dan cari redha ilahi.

No comments:

Post a Comment