Monday, June 8, 2015

Kumpulan Badang Gunung Kinabalu

Demi keselamatan, pihak berkuasa Taman-taman Sabah mewajibkan kumpulan para pendaki Gunung Kinabalu diiringi oleh malim gunung. Biasanya pendaki bermalam di Laban Rata Resort sebelum mendaki ke puncak seawal jam 1 dan 2 pagi.
Ketika berjalan ke pusat peranginan berkenaan, kadang-kadang berselisih dengan kumpulan porter yang membawa berbagai bekalan terdiri daripada air minuman, bahan-bahan makanan mentah, dan segala macam keperluan yang dipesan oleh Laban Rata Resort untuk kemudahan pelancong yang menginap di situ. Terdiri dari kalangan lelaki dan wanita berketurunan Kadasan Dusun yang tinggal di kampung-kampung berhampiran Gunung Kinabalu, contohnya Kampung Bundu Tuhan, mereka ialah Badang bertubuh kecil tetapi sangat gagah.
Barang-barang yang mereka bawa jauh lebih besar dan lebih berat dari tubuh mereka sendiri. Semasa bertemu dengan mereka di sepanjang perjalanan ke puncak, hati ini tidak putus-putus merasa kagum dengan kemampuan mereka. Sebenarnya mereka mula melakukan kerja-kerja berkenaan seawal usia remaja menyebabkan badan mereka semakin hari semakin kuat.MasyaAllah!!!
Mengimbas kembali tragedi 5 Jun 2015, kira-kira jam 7.15 pagi. Ratusan pendaki enak berdiri di puncak Gunung Kinabalu, menikmati keindahan matahari terbit. Tiba-tiba terasa gegaran, bongkah-bongkah batu besar berjatuhan menggelongsor. Masing-masing bertempiaran lari menyelamatkan diri. Tetapi ke mana? Malim-malim gunung yang sudah ratusan kali naik turun gunung, sangat memahami struktur muka bumi di situ, lantas bertindak pantas membawa para pendaki yang panik turun melalui laluan alternatif yang mereka buat. Pun begitu 18 orang pendaki dan malim gunung terkorban dalam gempa berukuran 6.0 skala Richter, antara yang terkuat pernah direkodkan di Malaysia dan pertama kali berlaku di puncak gunung.
Setiap musibah mempunyai hikmah tersendiri. Tidak lain daripada cara Allah menunjukkan kasih sayang kepada hamba-hamba yang mengaku beriman kepada-Nya. “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan ‘Kami telah beriman’ sedangkan mereka belum diuji? (dengan sesuatu cubaan).” Surah al Ankabut ayat 2.

No comments:

Post a Comment