Friday, June 26, 2015

Jangan Sesali Takdir

Nasib setiap orang berbeza-beza. Kaya, miskin, pandai, kurang pandai, hidup bahagia, hidup derita, keluarga aman, keluarga porak-peranda.Untung nasib seseorang sukar diramal. Lain yang diidamkan tetapi lain pula yang Allah S.W.T. berikan. Perbuatan mencela, merintih dan mengeluh adalah dilarang. Contoh, seorang suami yang mengeluarkan kata-kata, “Kalau aku tak kahwin dengan kau, tentu aku hidup lebih bahagia.” Si suami seolah-olah tidak bersyukur dengan kurniaan isteri daripada Allah S.W.T. dan menyesali takdir yang ditetapkan-Nya, padahal Dialah yang menuliskan segala hal di Loh Mahfuz dan semua yang berlaku adalah menurut kehendak-Nya.
Manusia hanya suka menerima takdir yang baik, tetapi membenci musibah, tanpa menyedari bahawa takdir yang baik itu juga adalah ujian, sama seperti musibah. Meratapi nasib adalah perbuatan merugikan yang tidak membawa ke mana-mana. Orang-orang yang ingin menuju ke jalan Allah memang sering diuji dalam berbagai cara. Ujian itu adalah pembersih dosa, bahkan sebagai penambah amalnya. Sebenarnya, Allah S.W.T. mencintai hamba bersifat mukmin, kuat, redha dan sabar menerima ketentuan-Nya. Semakin kuat takdir diterima, semakin tenang hati dan tenteram jiwanya. Hanya orang yang sabar dan redha dengan ujian Allah S.W.T. sahaja akan berjaya di dalam perjalanan menempuhi kehidupan di dunia. Allah S.W.T. berfirman: “Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (Sural al-Fusshilat ayat 35).

No comments:

Post a Comment