Thursday, May 22, 2014

Terima kasih, Cikgu!

Anak-anak di RPWP tidak kira di peringkat mana sekalipun kami didik agar sentiasa menghormati guru. Tidak akan ada keberkatan ilmu tanpa rasa hormat dan kasih pada guru. Guru nombor satu ialah para ibu kita sendiri. Sekolah pertama kita adalah rumah kita sendiri. Biar apapun alasannya, bagi kami hari-hari adalah juga hari ibu dan guru. Tidak menjadi salah kiranya kita ikut memberikan penghormatan khusus kepada para insan bergelar guru ini setahun sekali. Tidak perlulah ada pihak yang mengeluarkan fatwa bahawa ini juga bidaah yang merosakkan akidah, biar siapapun yang pertama menganjurkannya. Yang penting ada kebaikan dari sudut sosiologi dan psikologi masyarakat dan juga para guru untuk lebih saling menghargai dan hormat menghormati.
Keberkatan ilmu itu amat terkait dengan akhlak kita terhadap guru. Terlalu banyak hadis dan riwayat tentang tuntutan ini. Dahulu seorang murid menghambakan diri kepada gurunya sebelum mula menuntut ilmu. Memanggil dengan gelaran nama, memanggil dari jauh, malah mengejutkan guru yang sedang tidur juga tidak dibolehkan. Hari ini, khususnya di sekolah kerajaan, adab itu sudah lama hilang kerana kita tidak lagi membayar sebarang upah atau gaji kepada guru yang mengajar kita. Semuanya ditanggung oleh pihak pemerintah. Sedikit sebanyak yuran yang dikenakan pun sudah mengundang banyak sekali rungutan. Demikian murahnya nilai ilmu. Ini antara punca kita kurang menghargai ilmu dan menghormati guru. Mari berkongsi beberapa tip yang telah sekian lama kami amalkan. Pertama, kami jadikan guru sebagai rakan karib anak-anak kami. Kami galakkan anak-anak menganggap para guru sebagai ibu bapa angkat mereka sewaktu di sekolah.
Kami sentiasa galakkan anak-anak kami berkasih sayang dengan guru-guru mereka. Kami juga galakkan mereka berkongsi masalah dan mencari penyelesaian sama ada dalam soal pelajaran mahupun soal kehidupan dengan para guru. Jika tidak berpuasa, anak-anak kami akan bawa bekal ke sekolah hasil masakan dari air tangan para ibu-ibu murobbi di RPWP sendiri. Kami merasa bahagia dan gembira bila anak-anak kami sampai ke tahap berkongsi bekal dengan guru mereka. Adakalanya ada guru yang sengaja berpesan agar anak-anak kami bawa bekal lebih untuk mereka ikut sama makan. Sama ada itu kerana mereka sukakan makanan kami, atau kerana mereka mahu berkerabat dengan anak-anak kami atau memang mereka malas hendak ke kantin itu tidak jadi soal. Yang penting ada perhubungan rapat antara anak-anak kami dan para ibu bapa penjaga di RPWP dengan para guru melalui bekal makanan itu. Seringkali ada guru menangis bahkan ada yang melarang kami memindahkan anak-anak ke sekolah lain.
Kami pesan kepada anak-anak kami agar jangan sekali-kali memusuhi mana-mana guru biar apapun alasannya. Kami kumpul dan jelaskan kepada mereka semua testimoni dari segala pengalaman lampau para pengasas RPWP tentang kesan buruk akibat memusuhi guru. Fenomena ini semakin berleluasa dewasa ini dengan ramainya masyarakat yang berjaya. Kejayaan itu membuatkan ramai ibu bapa yang lupa daratan, lupa bagaimana mereka dan ibu bapa mereka dahulunya dididik. Ramai anak-anak yang sudah terlalu dimanjakan dengan kemewahan dan memiliki pelbagai gajet mewah yang kadang kala lebih canggih dari apa yang para guru miliki. Hari ini para guru sudah tidak diizinkan kementerian untuk merotan anak-anak. Walaupun kami serahkan surat kuasa untuk setiap anak kami agar mereka dirotan apabila melakukan kesalahan, namun mereka tetap tidak berani melanggar peraturan kementerian itu. Sejak akhir-akhir ini ramai para guru yang menerima ugutan dari para pelajar maupun para ibubapa. Ada yang dicalar dan dibocorkan tayar kenderaan mereka. Banyak sekali kes ibubapa membuat laporan polis hanya kerana tidak puashati dengan tindakan para guru. Ramai ibubapa yang sudah ada pangkat, harta dan kuasa tergamak mengambil tindakan mahkamah, mengatur pertukaran, malah ada yang menghantar samseng luar untuk mengugut guru. Jika kita ingin anak kita belajar dan guru mendidik dengan aman, kami seru agar jangan sekali-kali kita gunakan saluran polis atau mahkamah untuk ‘mengajar’ guru. Ia adalah pendekatan yang mengundang permusuhan dan membuatkan anak kita terpinggir dan pihak sekolah serta para guru menjadi tidak redha terhadap anak-anak kita. Amalan ini akan menukar suasana SYURGA di sekolah itu menjadi neraka kepada anak-anak dan guru mereka.
Carilah jalan yang lebih murni, iaitu kaedah syuro, musyawarah melalui pertemuan khusus dengan para guru dan pihak sekolah untuk menyelesaikan sebarang masalah. Kerapkan kunjungan dan perkongsian dengan guru kelas atau pihak sekolah anak-anak kita. Tidak dapat hadir, melalui telefon pun boleh juga. Anak-anak yang biasanya tidak ‘merasa’ atau tidak 'selalu' dirotan oleh pihak sekolah adalah mereka yang awal-awal lagi telah diizinkan rotan oleh para penjaga mereka. Anak-anak ini akan sentiasa mencuba untuk mengelakkan dari sebarang punca yang menyebabkan mereka boleh dirotan kerana lesen telah diberi kepada para guru mereka. Yang biasanya bermasalah sehingga perlu dirotan atau sehingga ke peringkat ibubapa melapor ke balai polis atau bawa kes ke mahkamah ialah anak-anak yang terlalu dimanjakan.
Mari muhasabah diri kita dan didik anak-anak kita agar berkerabat, menyukai dan menyayangi guru. Sama-sama kita hentikan budaya DERHAKA, dengan tabiat mencemuh, mencaci atau memusuhi para guru. Mereka juga insan biasa. Biar apapun khilaf yang berlaku, carilah jalan penyelesaian melalui kaedah musyawarah dan silatulrahim. Elakkan sama sekali sebarang tindakan mahkamah atau laporan polis, kecuali ia melibatkan jenayah berat. Ini demi menjaga hubungan baik dengan guru dan mendapatkan keberkatan ilmu. Ingatlah semua, biar siapa pun kita, biar sekaya mana dan setinggi mana pun pangkat dan kuasa kita, biarpun kita ini seorang raja sekalipun, jangan sekali-kali lupa jasa insan bergelar GURU. Abu al-Aswad berkata: "Tiada suatu pun yang lebih mulia daripada ilmu; raja-raja adalah pemimpin bagi rakyat sedangkan para ulama (jemaah orang berilmu) adalah pemimpin kepada raja."
Mari sama-sama kita kenang jasa para cikgu, ustaz dan guru kita. Jika mereka masih hidup, kita kunjungi dan berbuat baik dengan mereka dan keluarga mereka dengan apa sahaja kelebihan yang kita ada. Jika sudah meninggal dunia kita kirim doa dan bantu waris mereka semampunya. [Perkongsian dari laman WARGA PRIHATIN]

No comments:

Post a Comment