Thursday, May 15, 2014

Miskin Terhormat

Namanya Hateem, menyewa sebuah bilik kecil di kejiranan miskin Chadni Chowk, Delhi, India. Bekerja sebagai penarik beca, mempunyai 4 orang anak. Dia seorang yang sangat positif dalam hidup, sentiasa senyum dengan bahasa Inggeris yang mampu difahami sedikit sebanyak. Pendapatan menarik beca sekitar 10-20 rupees untuk setiap perjalanan. Di samping itu dia juga bekerja sebagai pemunggah barang sementara menunggu pelanggan dengan bayaran 20-30 rupees setiap tugas, dan mengikat kontrak menghantar anak-anak dari keluarga berpendapatan sederhana pergi dan balik dari sekolah. Hateem sangat berjimat dengan mengikat perut dan hanya makan bekalan yang dibawa dari rumah. Dalam becanya ada minuman sejuk untuk dijual. Sesungguhnya Hateem bijak mencari ruang rezeki dan tidak membazirkan masa. Prinsipnya ialah "Hidup untuk cari penyelesaian bukan mencari alasan".
Anak sulung Hateem sedang belajar di universiti dalam bidang kejuruteraan. Bilik sewanya yang tidak bertingkap menyebabkan anak-anaknya belajar di ruang bumbung yang menjadi tempat menyidai pakaian. Hateem tidak mahu anaknya terikat dengan bantuan pengajian dari mana-mana pihak. Kerana itu dia membiayai sendiri pengajian anak-anaknya dengan hasil tabungan sendiri sejak mereka kecil lagi. Dia tidak mahu anaknya bekerja dengan kerajaan mahupun swasta selepas tamat pengajian di universiti. Sebaliknya dia ingin anaknya menjadi guru dan ikon kepada kanak-kanak gelandangan di sekitar Chadni Chowk. Buktinya, anak sulungnya yang baru 2 tahun di Universiti kini menjadi idola dan memberi inspirasi kepada rakan setinggan yang lain termasuk adik-adiknyasendiri. Selain itu, anaknya juga masih mengekalkan pointer tertinggi untuk setiap semester. Alasannya, dia malu jika tidak mampu membawa visi pengorbanan bapanya untuk setiap rupees yang dibelanjakan. Keluarga itu hidup sangat sederhana, tanpa rumah besar, TV besar, TV satelit, pakaian mahal mahupun makanan mewah. Kebanyakan wang dilabur untuk PENDIDIKAN kerana itulah jalan keluar dari kancah kemiskinan. Hateem tidak berpeluang mendapat pendidikan dan tidak mahu anaknya menjadi seperti dia.Biarlah mereka bermewah-mewah dengan ilmu. [Cerita asal Saiful Nang]
Bandingkanlah cara pemikiran dan kehidupan Hateem dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang terlalu bergantung dengan segala bantuan subsidi sehingga seolah-olah tanpa bantuan,gelaplah masa depan. Satu lagi sikap buruk sesetengah rakyat Malaysia ialah culas membayar hutang, padahal agama memerintahkan supaya hutang dan pinjaman dilunaskan tanpa bertangguh-tangguh. Gaji dihabiskan kepada perkara-perkara tidak penting seperti yuran TV satelit, berekreasi di tempat mahal, membeli-membelah barangan berjenama. Semua kemudahan dan prasarana yang disediakan secara percuma tidak dimanfaatkan sepenuhnya, malah ada yang sengaja dirosakkan. Bila tidak puas hati tentang apa-apa perkara, jari dituding ke sana sini menyalahkan pihak itu dan ini, dan akhirnya berdemonstrasi untuk alasan yang entah apa-apa. Tidak langsung mahu memikirkan jalan keluar kepada masalah yang dihadapi.Tidak ada beza cara hidup orang kenamaan (termasuk orang politik) dan rakyat umum, kecuali mereka yang benar-benar susah, bukan yang sengaja mempamerkan dirinya susah, sedangkan hakikatnya MALAS!!! INIKAH RAKYAT MALAYSIA YANG DIKATAKAN MAJU? MUNDUR KE BELAKANG ADALAH!!!

No comments:

Post a Comment