Saturday, March 22, 2014

Sebak Seorang Ayah

Seorang bapa datang ke kedai, melihat-lihat seperti pelanggan lain. Aku menerjahnya, "Pakcik, laptop..." Dia tersenyum dan masih melihat-lihat laptop yang ada di kedai. Aku menyambung lagi, "Nak beli untuk anak ke?", "Ya, nak beli untuk anak. Dia nak sambung belajar. Laptop yang mana yang ok?". Aku mempromosi barang seperti biasa. Aku mengsyorkan yang paling murah. "Kalau nak yang bagus mahal pakcik - tapi kalau setakat nak buat belajar yang inilah, Samsung - seribu seratus lebih..." Dalam aku bercakap dengan dia, dia banyak diam dan seperti berfikir. Sedikit lama dia terdiam, dia membuka mulut. "Nanti saya datang balik ya, duit tak berapa nak ada lagi ni..." Dia pergi dengan suatu perasaan yang lain. Aku dengan rutinku berkerja setiap hujung minggu sahaja. Kebetulan aku duduk di kaunter menunggu pelanggan. Dia datang semula ke kedai, tapi dengan anak perempuan. "Yang hari tu ada lagi tak?". "Samsung hari tu, tapi yang ni stok baru, harga sama", aku menyambut soalannya. Dia bertanya kepada anaknya, "Yang ni ok ke dik?" " Ni murah je, kalau rosak karang susah..." jawab si anak dengan muka yang kurang puas hati. Dia inginkan yang lebih mahal. "Acer boleh ke ayah?" Ayahnya terdiam seketika dan menyambut dengan negosiasi, "Acer ni berapa boleh murah lagi?" "Yang tu tak dapat pakcik,... Dah harga kos dah tu..." Aku dengan rasa geram namun masih dalam nada yang baik menyambung lagi, "Dik, nak laptop untuk belajar kan... Rasanya kalau untuk belajar - yang ni lebih dari cukup - rosak tak payah pikir sangat - waranti setahun.". Aku mengeluarkan kata-kata tersebut atas dasar aku seperti mengerti kerut wajah bapanya. "Oklah, yang ini." jawab anaknya. Sedang aku menulis resit dan membungkus laptop dari meja 'display' aku terpandang bapanya yang mengira duit untuk membayar. Aku nampak dompetnya kosong. Habis semua duit digunakan untuk membayar laptop. Dia menyerahkan duit kepadaku dan aku mengiranya semula.Dia melihat tanganku yang mengira. Habis mengira, wang aku masukkan dalam cash drawer. "Cukup duit tadi dik?" "Cukup, Terima Kasih ya...". Dia dan anaknya meninggalkan kedai. Aku hanya menahan airmata mengira duit yang diberikan - RM1, RM5, RM10 dan hanya sekeping RM50. Aku membayangkan dari mana si ayah mencari duit untuk membeli sebuah laptop untuk anaknya -penuh harapan.Aku geram kepada anaknya - seperti dia tidak tahu ayahnya bagaimana - hanya tahu minta. Aku tahu ayahnya tiada duit, dia dah sebut awal-awal pada aku, aku nampak air mukanya. Aku perhati sekeping sekeping duit yang diserahkan. Aku tahu dia tiada duit pulang ke rumah dan perlu 'mengais' untuk hari esoknya. Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Amin... KONGSIKAN sebagai tanda sayang kita pada ayah ibu...anak zaman sekarang bukan tahu ibu bapa ada wang atau tidak..mereka mahu apa yang mereka mahu saja. [Sumber: INTERNET]

No comments:

Post a Comment