MASIH
saya teringat akan tangisan seorang wanita Indonesia yang menjadi mangsa
pemerdagangan manusia ketika mengadukan nasibnya kepada wartawan TV3, Mazidul
Akmal Sidek untuk program 360. Pertemuan itu diatur secara sulit bagi melindungi
nyawa mangsa dan juga wartawan tersebut.
Pada
mulanya wanita itu datang ke Sabah atas tawaran pekerjaan di kilang dengan gaji
lumayan oleh sepasang lelaki dan wanita yang datang ke kampungnya di Kalimantan. Kerana ingin lari dari kesempitan hidup, dia
lalu menerima tawaran tersebut.
Dia
tidak tahu nasib buruk yang sedang menantinya. Dia dipukul
dan dipaksa melacurkan diri. Keengganan
akan menyebabkan bayinya yang berada di tangan pasangan tersebut dijual. Mahu
tidak mahu wanita itu terpaksa tunduk kepada kemahuan mereka.
Memandangkan Mazidul berjaya menyusup masuk ke sarang
mereka, dia merayu supaya Mazidul membantu dia dan bayinya lari dari tempat
jahanam tersebut.
Dengan ketelitian Mazidul dan kebijaksanaan serta
ketangkasan pihak berkuasa, wanita dua beranak itu dan seorang lagi rakan
senegara mereka berjaya diselamatkan. Pasangan pedagang manusia juga turut
diberkas.
Sesungguhnya, perhambaan dalam konteks asalnya merujuk
kepada hak sah pemilikan ke atas individu lain dan mengenakan kuasa ke atas
individu itu berdasarkan hak pemilikan tersebut.
Pada zaman moden ini perhambaan dalam konteks asal memang
tidak wujud lagi, namun pengeksploitan yang serupa terus berlaku hingga sekarang.
Pengeksploit menjadikan individu lain sebagai buruh paksa dengan menggunakan ancaman,
tindakan kekerasan dan menyekat kebebasan.
Pemerdagangan manusia kini menjejaskan hampir kesemua
negara dalam dunia. Ia sangat berkait rapat dengan ekonomi global.
Penghasilan
banyak produk di dunia hari ini dicemari oleh berbagai eksploitasi buruh paksa
dan pemerdagangan manusia. Contohnya penyulaman permaidani, penanaman padi,
teh, kopi, kapas, pembuatan bahan binaan, perlombongan bahan-bahan galian dan sebagainya.
Dalam
konteks pemerdagangan manusia, pemerdagangan hamba seks adalah kegiatan paling
menguntungkan. Meskipun mangsa pemerdagangan seks hanya 4 peratus, ia menjana
hampir 40 peratus daripada jumlah keuntungan pemerdagangan manusia yang
anggarannya RM292 bilion setahun.
Seperti
kata Siddarth Kara dalam bukunya Sex Trafficking: Inside the Business of
Modern
Slavery – Pengedaran dadah
menjana perolehan yang besar, namun pengedaran wanita lebih
menguntungkan. Tidak
seperti dadah, wanita tidak perlu ditanam, dituai, disuling atau dipakej.
Tidak seperti dadah, wanita boleh dipergunakan oleh pelanggan
berkali-kali.
Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Pusat Sumber
Pemerdagangan Manusia Kebangsaan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Buruh Sedunia
(ILO), terdapat 2.4 juta mangsa pemerdagangan manusia di seluruh dunia. 43
peratus daripadanya dieksploit sebagai hamba seks. Kira-kira 600,000 hingga
800,000 mangsa diperdagangkan merentasi sempadan antarabangsa setiap tahun. Seorang
wanita atau kanak-kanak pula diperdagangkan sebagai hamba seks setiap 60 saat!
Pemerdagangan
seks memang kejam. Hamba seks yang dijual kepada ibu ayam di rumah-rumah
pelacuran di merata dunia menderita berbagai bentuk penderaan seperti dipukul
dengan cemeti, dicucuh dengan nyalaan rokok, dibiarkan kebuluran dan dirogol
sehingga 10, 15, 20 kali sehari.
Ramai
wanita yang berada di pusat-pusat perlindungan di Eropah Barat dan Asia yang bertuah kerana dapat kembali ke pangkuan
keluarga dan membina kembali hidup mereka. Namun tidak kurang juga yang
diculik dan diperdagangkan semula.
Siddarth
Kara menjelajahi banyak negara seperti Myanmar, Thailand, Moldavia dan Mexico,
mengharungi ujian getir dan detik cemas ketika berusaha membuat 270 temubual
dengan mangsa pemerdagangan seks, pedagang mereka, pelanggan, keluarga dan
aktivitis yang berjuang untuk isu tersebut.
Pada
2009, dia dilantik sebagai Felo Pemerdagangan Manusia untuk Dasar Hak Asasi
Manusia Pusat Carr di Harvard Kennedy School, Amerika Syarikat. Kini dia menjadi
penasihat kepada Bangsa-bangsa Bersatu dan beberapa kerajaan di dunia, termasuk
Malaysia,
menghulurkan bantuan kepakaran dalam usaha membanteras perhambaan dan menyumbang idea dalam penggubalan dasar dan
undang-undang.
Bagi
membasmi penghambaan seks, Siddarth Kara mahu pengeksploit dan pelanggan dihukum di segi ekonomi. Pihak kerajaan tidak
perlu berusaha mengubah sikap mereka kerana itu hanya sia-sia. Ada ramai lelaki
beranggapan membeli gadis sunti untuk khidmat seks tidak salah. Jika dihukum di
segi ekonomi di mana pembelian seperti itu dibuat dalam satu cara yang tidak
berbaloi, mungkin mereka terpaksa berfikir dua kali sebelum melakukannya.
Penawaran
hamba seks dipacu oleh faktor kemiskinan, pandangan serong terhadap jantina dan
keturunan etnik, ketiadaan undang-undang yang efektif dalam sesebuah negara,
rasuah dan populasi yang kehilangan tempat tinggal. Ramai yang tertarik bila
pedagang menawarkan berbagai “peluang” mendapatkan gaji lumayan, terutama bagi
mereka yang berhadapan dengan kelaparan dan kebuluran.
Membasmi
kemiskinan memang sukar namun semua harus berusaha menyelesaikan masalah
pemerdagangan manusia dengan memutuskan sumber penawaran dan menghukum
pengeksploitnya terlebih dahulu. Bila tiada penawaran, seluruh industri jelek ini boleh
dimusnahkan.
Cara membasmi kegiatan ini berbeza-beza di antara sebuah
negara dengan negara lain. Namun elemen asas yang harus dipersetujui oleh
setiap negara ialah perlindungan dan penjagaan bagi mangsa serta hukuman keras
ke atas pedagang. Kerana itu Siddarth Kara banyak membuat perbincangan dengan
para penggubal dasar dan undang-undang demi mencapai usaha tersebut.
Dengan sumber yang cukup, keazaman politik dan usaha
berterusan, mungkin akan wujud satu
kerangka kerja global bagi membanteras pemerdagangan manusia.
No comments:
Post a Comment