Saturday, October 15, 2011

Kenali Bateri Kenderaan Anda


serenemaklong.blogspot.com

BATERI boleh dianggap nadi yang menggerakkan kereta. Kesukaran untuk menghidupkan  enjin kenderaan adalah petanda awal bahawa bateri  telah menjadi lemah, rosak ataupun kekurangan air bateri.

Oleh itu, pemeriksaan dan penjagaan bateri kenderaan perlu dilakukan secara berkala sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mengelakkan kenderaan berhenti secara tiba-tiba di pertengahan jalan, sekali gus membantutkan aktiviti harian. Lazimnya, kerosakan pada kotak bateri kenderaan boleh dibaiki tetapi ini tidak menjamin untuk berapa lama hayat kuasa bateri tersebut boleh bertahan.  

Antara yang menjadi punca utama kerosakan bateri ialah terlalu lama mengecasnya sehingga merosakkan kepingan plumbum di dalamnya. Keretakan kepingan plumbum akan memudahkan asid bateri meresapinya dan sekaligus menyebabkan daya kuasa bateri menjadi berkurangan. Itulah petanda bateri lama itu patut ditukar baru.

Cara memilih bateri berkualiti
  • Dapatkan pengilang atau jenama yang terkenal
  • Pastikan bateri yang dibeli sesuai untuk diguna dalam iklim tropika
  • Pastikan pengilang menyediakan sokongan jaminan

Cara menentukan spesifikasi bateri kenderaan
  • Rujuk kepada manual pemilik kenderaan bagi menentukan saiz kumpulan dan kadar minimum.
  • Jika ia tidak disediakan, rujuk pula kepada pembuatan kenderaan, model dan tahun di dalam panduan penggunaan bateri. Catatkan saiz kumpulan yang dicadangkan dan kadar yang diberikan.
  • Anda dilarang menggunakan bateri berkadar lebih rendah daripada yang dicadangkan oleh pembuat kenderaan.
  • Menggunakan bateri berkadar lebih tinggi daripada yang dicadang tidak menjadi masalah. Malah ia  akan menambah tenaga permulaan terutama untuk kenderaan lama dan juga akan dapat memanjangkan jangka hayat bateri.

Cara mengelakkan bateri menjadi lemah
  • Radio, barangan elektrik dan semua lampu harus ditutup apabila enjin tidak dihidupkan.
  • Lakukan pemeriksaan berkala kepada pengulangalik dan tali sawat pengulangalik supaya tidak rosak atau longgar bagi mengelakkan bateri tidak dapat dicas dengan baik.
  • Sistem wayar tidak berfungsi dengan baik atau sebarang litar pintas boleh  melemahkan bateri.
  • Sentiasa pastikan paras air bateri mencukupi dan jangan biarkan air bateri berada di paras minimum atau melebihi paras maksimum.
  • Pastikan bateri diikat dengan sempurna pada kedudukannya bagi mengelakkan bateri menjadi rosak.  
 Kesilapan yang kerap berlaku
  • Paras elektrolit yang minimum disebabkan oleh kurang penyelenggaraan ke atas bateri.
  • Cas yang berlebihan berpunca daripada kerosakan pengalur pengulangalik
  • Kebocoran pada selongsong bateri
  • Beban yang berlebihan dengan penggunaan alat tambahan yang banyak
  • Terlalu banyak menggunakan aksesori tambahan dalam kenderaan seperti aksesori radio-A (power amplifier)
  • Pengecas telefon tangan
  • Pencemaran elektrolit bateri disebabkan bercampur dengan bahan-bahan galian
  • Cas yang berlebihan disebabkan kerosakan pengulangalik
  • Kerosakan pada pengalur bateri.   
  
Peringatan
  • Pastikan air bateri sentiasa ada di dalam kereta.
  • Bila mengisi air bateri pastikan jangan terlalu penuh
  • Isi air bateri dalam keadaan selamat. Jangan terkena tangan atau baju.
  • Jauhkan dari bahan mudah terbakar seperti rokok dan sebagainya.
  • Jika air bateri tertumpah di mana-mana bahagian dalam kereta, segera basuh atau jirus dengan air bersih.
  • Jika terpercik ke dalam mata, segera cuci dengan air sejuk dan dapatkan rawatan di klinik berampiran.

No comments:

Post a Comment