Wednesday, October 26, 2011

Jadikan Esok Lebih Baik Daripada Hari Ini



Hidup ini bagaikan sebuah sekolah. Setiap hari manusia menjalani pelbagai peristiwa  berbeza-beza. Setiap hari juga ada cabaran tersendiri.

Umumnya orang berusia lebih dihormati berbanding orang muda. Ini adalah kerana mereka telah melalui lebih banyak cabaran hidup yang mematangkan mereka.

Sebenarnya, setiap cabaran dan ujian yang dihadapi setiap hari adalah cara Allah SWT mengajar hamba-Nya supaya berfikir untuk mencari jalan penyelesaian demi menjadikan esok lebih baik daripada hari ini. Mari kita melihat secara praktiknya.

Langkah 1: Fikirkan secara sedar penyelesaian untuk setiap cabaran hidup.  

Setiap hari sebenarnya sama ada sedar atau tidak, kita sentiasa berfikir untuk menyelesaikan cabaran yang kita hadapi. Dalam kebanyakan hal, perkara ini berlaku secara automatik dengan kesedaran. Sebagai contoh, anda menghadapi masalah anak yang lemah Bahasa Inggeris. Walaupun tanpa kaedah sistematik, anda berfikir dan membuat berbagai countermeasure supaya anak anda dapat menguasai Bahasa Inggeris.

Walaupun secara fitrahnya, seorang manusia akan cuba menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini, sekiranya dilakukan dengan penuh kesedaran, penyelesaian yang terhasil akan terbenam lebih jauh di benak. Penyelesaian yang terhasil juga akan bertahan lebih lama di dalam hidup, berbanding jika ia berlaku secara automatik tanpa kesedaran.

Langkah 1 - untuk mempraktikkannya:
  • Sediakan sehelai kertas dan pensel.
  • Bahagikan kertas itu kepada tiga ruang.
  • Tuliskan cabaran yang sedang dihadapi di ruang pertama.
  • Fikir dan tuliskan alternatif-alternatif  yang mungkin dapat menyelesaikan cabaran itu.
  • Analisis setiap alternatif yang ditulis, pilih alternatif terbaik dan tuliskan di ruang ketiga.
  • Laksanakan alternatif yang dipilih.

Langkah 2 - tulis dan kongsikan alternatif terbaik itu dengan orang lain.

Sesetengah orang mempunyai pemikiran yang sangat matang walaupun masih berusia muda. Ada pula sesetengah orang berfikiran seperti anak muda walaupun sudah berumur. Orang yang matang fikiran mendapat “rezeki“ kesulitan dalam hidup. Ramai orang sukakan kesenangan dan bencikan kesukaran. Sebenarnya kesulitan itu adalah nikmat yang sangat besar dari Allah SWT.

Orang yang menghadapi kesukaran dan kesulitan akan berfikir secara mendalam bagaimana hendak “keluar“ daripada kesusahan tersebut. Langkah yang diambil untuk keluar dari kesusahan akhirnya menjadi satu “tatacara“ dalam kehidupan mereka.

Sebagai contoh, orang yang selalu dimarahi oleh bos akan berasa bosan dengan keadaan tersebut. Dia mula mengkaji bagaimana hendak berkomunikasi secara lebih berkesan. Penyelesaian yang ditemui akan menjadi tatacara di dalam hidupnya, di mana dia berjaya berkomunikasi secara berkesan dengan hampir semua orang yang ditemui. Dia akan dilihat sebagai seorang yang berakhlak tinggi dan dihormati oleh orang-orang di sekeliling.  

Sayangnya, kebanyakan tatacara hidup yang terhasil tidak kekal lama. Apabila cabaran yang dihadapi hilang, kita pun melupakan tatacara yang telah kita hasilkan.  

Bagaimana hendak memastikan tatacara itu tidak hilang? Mudah sahaja – tulis dan kongsikan. Tulislah segala penyelesaian ke atas cabaran hidup yang anda temui dalam diari, blog atau apa sahaja. Apabila anda menulis, anda sebenarnya menguatkan tatacara itu di dalam minda.

Satu lagi perkara penting ialah berkongsi pengalaman itu dengan orang lain. Anda bukan sahaja membantu mereka menghadapi cabaran yang serupa, tetapi anda juga dapat menguatkan kefahaman anda sendiri tentang tatacara tersebut.

Begitulah sunnatullah yang berlaku di dunia ini. Mereka yang memberi selamanya tidak akan rugi, bahkan akan menerima berlipat kali ganda daripada apa yang mereka berikan. Oleh itu janganlah berlengah lagi.
·        Fikir secara sedar penyelesaian kepada cabaran hidup yang sedang dihadapi.
·        Tulis penyelesaian tersebut sebagai satu tatacara.
·        Kongsikan ia dengan orang di sekeliling.

No comments:

Post a Comment