Wednesday, October 26, 2011

Halal Haram Perniagaan Di Internet



DUNIA teknologi Internet begitu pantas berkembang. Penggunaannya kini bukan setakat sebagai perpustakaan terbesar di dunia, malah sudah menjadi pasaraya mega.

Fungsinya bukan setakat menggantikan surat dan pejabat pos, tetapi sudah menjadi pusat urusniaga dan tempat mencari kekayaan secara maya.

Realiti ini menyebabkan terlalu ramai masyarakat kita yang begitu teruja untuk kaya hingga tidak memikirkan isu halal dan haram.

Secara mudah, terdapat tiga cara untuk mencari duit di Internet, iaitu melalui perniagaan Internet, program Internet dan pelaburan Internet.

Dari aspek hukum syariah, ketiga-tiganya tidak halal secara mutlak dan tidak haram secara mutlak. Ia bergantung kepada akad kontrak dan elemen yang wujud dalam urusniaga tersebut.   

Perniagaan Internet sebenarnya seperti perniagaan konvensional iaitu proses jual beli barang atau mengambil upah. Hanya aplikasinya yang berbeza kerana urusniaga perniagaan Internet berlaku secara maya.

Namun, prosesnya masih sama kerana berlaku pertukaran barang atau memberi dan mengambil upah perkhidmatan.

Biasanya, barang yang dijual adalah dalam bentuk produk digital, fizikal atau dalam bentuk perkhidmatan. Contoh produk digital yang biasa dijual beli di Internet adalah
e-book (buku elektronik), web hosting, gambar grafik, audio kuliah,video ceramah, tutorial dan sebagainya.

Produk fizikal pula adalah seperti menjual cakera padat (CD) media, produk kesihatan, buku dan sebagainya. Satu lagi bentuk perniagaan Internet adalah dalam bentuk perkhidmatan seperti mengambil upah, membina laman web, meletak iklan, mereka bentuk grafik, menaip atau menterjemah sesuatu tulisan.

Semua contoh tersebut adalah hal dan sah urusniaganya jika memenuhi syarat yang ditetapkan syarak dalam setiap akad urusniaga itu.

Ini kerana perniagaan Internet menggunakan kontrak jual beli (al-bay) atau upah (ujrah).  Kontrak ini diharuskan dalam muamalat Islam.

Walaupun begitu, setiap kontrak jual beli mesti ada rukun-rukunnya, iaitu penjual, pembeli, barang, bayaran dan akad. Setiap rukun tersebut mempunyai syarat sahnya. Sebagai contoh, penjual mesti memiliki atau boleh mewujudkan barangan tersebut dan boleh menyerahkannya kepada pembeli. Begitu juga antara syarat sah barang jualan mestilah sesuatu yang halal dan bukan mempunyai unsur lucah atau perjudian.

Dalam jual beli Internet, suatu perkara penting adalah penjual perlu memberi maklumat berkaitan barang dengan lengkap seperti bentuk, kualiti, kuantiti dan sebagainya.

Akad yang dilakukan di Internet memadai dengan menggunakan butang persetujuan seperti butang submit dalam borang pesanan. Justeru, jika semua syarat ini dipenuhi, sahlah urusniaga jual beli dalam Internet.

Program Internet pula adalah suatu sistem automatik maya anjuran pihak tertentu bagi memberi pulangan wang kepada pihak lain.

Program ini ada yang halal dan ada yang haram bergantung kepada jenis kontrak serta bentuk program tersebut. Secara umum, program Internet terbahagi kepada beberapa jenis. Antara tiga yang popular adalah program affiliate, program pengiklanan dan program piramid.

Program affiliate bermaksud pemilik laman web perniagaan itu yang melantik ejen untuk mempromosi alamat laman web perniagaan tersebut . Ini bererti mereka yang menyertainya akan diberikan alamat url affiliate ID tersendiri dan bertanggungjawab dalam kerja-kerja promosi.

Jika terdapat pembeli yang klik ke url tersebut dan kemudian membeli sesuatu di laman web perniagaan, pemiliknya akan memberi komisen kepada peserta tersebut.

Program ini pada asasnya halal kerana menggunakan akad ujrah (upah). Namun, ia bergantung kepada kandungan dan produk laman web yang disertai sama ada halal atau haram.

Program pengiklanan pula bermaksud, pihak penganjur memberi upah kepada peserta yang menyediakan ruang di laman web mereka untuk iklan daripada penganjur.

Justeru, penganjur akan menjadi orang tengah yang menyalurkan iklan pembeli iklan ke dalam laman web mereka. Peserta akan dibayar, sama ada mengikut bilangan klik atau bilangan paparan oleh pelawat laman webnya.

Antara contoh program ini yang popular adalah Google Adsense, Nuffnang dan Text-Links-Ads.

Program ini juga halal seperti program affiliate, kecuali terdapat sebab mengharamkannya seperti iklan yang disertai mengandungi kandungan lucah atau haram dan tidak disalah guna seperti diklik sendiri oleh peserta.

No comments:

Post a Comment