serenemaklong.blogspot.com
Sebahagian
besar penghuni kota
gemar makan di luar. Alasan utama ialah tidak ada masa hendak
memasak makanan sendiri. Bergantung pada kedudukan kewangan
masing-masing, ada yang makan di gerai, kedai kopi, restoran mahupun di food
court. Persoalannya ialah selamatkah makanan itu?
Tanyalah pada diri sendiri mengenai kualiti makanan yang
disuapkan ke mulut. Fikirkan tentang minyak masak, peralatan, pinggan mangkuk
dan air yang diguna dalam penyediaan makanan serta minuman; ramuan seperti
garam, bahan perasa, gula, rempah dan sebagainya; sama ada sayur-sayuran dan
buah-buahan, daging, ikan dan telur yang digunakan itu bebas daripada bahan
pencemar dan toksin; bahan pembungkusan; kebersihan kawasan tempat makan yang
dipilih; kesihatan dan kebersihan pengendali makanan; tarikh luput dan
keselamatan makanan dalam tin, botol dan bekas yang diguna, juga makanan
kering.
Terdapat kira-kira 300,000 tempat makan di negara ini.
Andaikan satu tempat makan melayan 200 pelanggan sehari, kira-kira 600 juta
hidangan dimakan oleh orang ramai. Ini bererti 2.14 juta hidangan dimakan di
luar rumah dalam sehari oleh penduduk negara ini yang jumlahnya kira-kira 28
juta.
Tabiat makan ini mempunyai implikasi besar ke atas
kesihatan rakyat Malaysia amnya. Dalam satu kajiselidik yang dilakukan di
Lembah Klang lima tahun lalu, daripada 10 lelaki yang melebihi 50 tahun, 7
mengidap diabetes, tekanan darah tinggi dan masalah jantung. Sekarang kanser
merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia, disusuli oleh penyakit jantung.
Jika semua makanan yang dijual itu menyihatkan dan layak
untuk dimakan, mengapa begitu ramai pula orang yang sakit? Jika kita semua
makan makanan yang sama, bererti kita juga akan mengidap penyakit yang serupa.
Mari lihat komponen makanan kegemaran kita. 98 peratus
air paip diambil dari sungai-sungai yang tercemar. Disebabkan kualiti air
kurang terjamin, ramai yang memasang penapis air di rumah masing-masing. Tetapi
jika penapis air benar-benar menyingkirkan semua toksin dan kimia berbahaya,
mengapa masih ramai yang sakit?
Kita minum dua liter air sehari tetapi jika ia tercemar, ginjal turut
terjejas sama, yang mana akhirnya akan merosakkan organ dalaman, sel dan sistem
badan.
Rakyat Malaysia gemar makan makanan bergoreng. Apa
sahaja boleh digoreng, daripada pisang hingga ayam dan ikan. Jika sesetengah
tempat makanan itu mengitar semula minyak masak yang telah diguna, ia menjadi
minyak trans atau “minyak mati“ yang tidak boleh diubah menjadi tenaga dan
akhirnya disimpan sebagai lemak yang menyumbat saluran darah.
Bahan-bahan perasa seperti garam, pengawet dan pewarna
makanan bertindak sebagai radikal bebas yang merosakkan sel-sel tubuh. Gula dan
garam yang lazim diguna sebagai pengawet makanan adalah penyebab tekanan darah
tinggi. Asid benzoik, bromida, natrium nitrit dalam makanan yang disalai, beta agonist dalam daging dan kloroform
dalam ikan masin, sekadar menyebut beberapa nama, merupakan racun sitoplasmik
yang membunuh sel-sel bakteria dan juga manusia.
Keju yang dibungkus secara berasingan, botol air
plastik, botol kicap, bekas minyak masak, kertas lilin, dan pinggan mangkuk
plastik menyerapkan molekul plastik ke dalam sistem makanan yang mana dalam
jumlah kecil pun boleh membawa berbagai masalah kesihatan.
Ini termasuk kerosakan struktur otak, hiperaktiviti,
meningkatkan sifat agresif dan menjejas kemampuan belajar, meningkatkan
pembentukan lemak dan risiko obesiti, mengubah fungsi sistem ketahanan tubuh,
merangsang sel-sel kanser prostat, membesarkan saiz prostat serta mengurangkan
penghasilan sperma.
Ia juga menyebabkan akil baligh datang awal sebelum
masanya, merangsang pembesaran payu dara, mengganggu pusingan pembakaan,
kehilangan fungsi ovari, perubahan dalam tingkahlaku jantina tertentu dan
tingkahlaku seksual tidak normal.
Sajian yang disediakan di rumah lebih selamat kerana
kita yang mengawal kemasukan garam dan gula, bahan makanan yang berkualiti lagi
bersih serta penggunaan pinggan mangkuk yang bersih lagi selamat.
Kerja menyediakan makanan sendiri sebenarnya
tidak memerlukan banyak masa. Malah ada beberapa jenis hidangan yang tidak
perlu dimasak langsung, contoh sandwic dan salad. Dengan daya kreativiti
masing-masing kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penyakit gaya
hidup.
No comments:
Post a Comment