Friday, October 14, 2011

Pukau


serenemaklong.blogspot.com

Pukau adalah sejenis sihir yang bermula pada zaman pemerintahan Firaun yang menentang Nabi Musa a.s dan telah merebak ke seluruh dunia, termasuk Nusantara.

Secara asasnya, pukau ialah perbuatan merompak menggunakan ilmu sihir sehingga menyebabkan mangsa tidak berupaya mengawal diri dan tunduk patuh pada arahan pemukau.

Proses pukau berlaku apabila sistem urat saraf mangsa dilumpuhkan seketika oleh pemukau yang menggunakan mentera tertentu. Secara diam-diam, minda dan diri mangsa dikuasai sepenuhnya oleh si pemukau. Mangsa tidak cuba melepaskan diri atau melawan. Mereka menyerahkan segala benda berharga yang ada pada mereka seperti wang, barang kemas, telefon bimbit, kad ATM, malah mengeluarkan wang mereka di bank.

Secara saintifik manusia mempunyai tiga saraf iaitu saraf sedar, separuh sedar dan tidak sedar. Mentera yang dibaca oleh pemukau berkait rapat dengan sihir dan makhluk halus dan mampu “mengganggu“ sistem saraf manusia dengan menguasai minda mereka sehingga berkeadaan separuh sedar.

Mangsa pukau tidak dapat mengingati apa yang berlaku dalam tempoh dia dipukau kecuali adanya kejadian-kejadian khusus. Biasanya mangsa dipukau antara dua hingga tiga jam sebelum kembali normal. Selepas tersedar, mangsa akan muntah, bingung dan lemah. Tempoh masa yang diambil untuk mangsa pulih sepenuhnya bergantung kepada daya ketahanan badan dan ingatan mereka.

Pukau boleh dilakukan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Teknik paling popular ialah menepuk mana-mana anggota badan mangsa contohnya bahu, menyapa mangsa dan berpura-pura bertanyakan sesuatu, sambil menghalakan asap rokok kepadanya. Rokok yang diguna tidak mempunyai puntung.

Dalam proses memukau, syarat pertama yang diperlukan ialah kehadiran medium perantara bagi menghubungkan pemukau dengan mangsanya. Jika ada halangan atau tiada medium penghubung, pukau tidak akan menjadi.

Syarat kedua ialah dengan memastikan pemukau dan mangsa tidak saling mengenali.
Mangsa yang pernah bertemu atau melihat wajah pemukau sebelum dia dipukau mungkin dapat mengingati orang yang memukaunya setelah dia kembali sedar.

Mangsa yang mempunyai daya ingatan yang kuat berkemungkinan besar dapat membayangkan wajah pemukau dan mampu membuat lakaran wajah itu ketika melaporkannya kepada polis. Selain risiko itu, pemukau juga berhadapan dengan mangsa yang mungkin tidak mempunyai banyak wang atau barang bernilai.

Disebabkan faktor ini, kejadian pukau di sesuatu tempat hanya berlaku dalam tempoh yang singkat sebelum berpindah ke tempat lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu oleh pihak berkuasa.

Pukau umumnya dilakukan ke atas mangsa yang bersendirian bagi mengelakkan penipuan itu disedari oleh rakan atau orang sekeliling. Atas faktor ini sebaik-baiknnya jangan keluar bersendirian ketika pergi ke bank atau membawa barang berharga.

Masyarakat di luar negara seperti Australia, Afrika, Eropah, China dan Amerika menamakan perbuatan memukau sebagai hipnotisme.

Negeri China mempunyai beberapa peruntukan undang-undang jenayah yang berkaitan dengan amalan sihir. Antaranya ialah Article 165, Part II: Specific Provisions, Chapter VI: Acts against the social order, The Criminal Law of the People’s Republic of China, yang diluluskan pada 1 Julai 1979 semasa sesi Kedua Kongres Rakyat Kebangsaan.
Ini kerana terdapat persamaan di antara jenayah sihir terutama dari aspek alatan yang digunakan, pelaku jenayah, perbuatan jenayah (actus reus) dan niat penjenayah (mens rea).

Di Malaysia Seksyen 378 Kanun Keseksaan menyatakan: mengambil apa-apa harta alih secara curang, daripada mana-mana orang, dengan tiada kerelaan orang itu dan menggerakkan harta itu dengan tujuan hendak mengambilnya. Dengan demikian, perbuatan pukau juga mempunyai elemen tersebut.

Sekiranya ada peruntukan undang-undang, sekurang-kurangnya jenayah sihir boleh dicegah meskipun sukar untuk dikesan.    

No comments:

Post a Comment