Monday, October 17, 2011

MyKasih - Perintis Kebajikan Tanpa Tunai







YAYASAN MyKasih ditubuhkan oleh Ngau Boon Keat dengan tujuan untuk membantu keluarga daif keluar dari jurang kemiskinan. Bermula hanya dengan 25 keluarga penerima pada Disember 2008, kini ia berkembang sehingga hampir mencecah 10,000 keluarga.

Bagi pengasasnya, bantuan berbentuk kewangan bulanan, atau derma yang dihulurkan hanya sekali-sekala tidak akan membantu keluarga daif dalam tempoh jangka panjang. Yang diperlukan ialah pendidikan dan kemahiran yang boleh membantu mereka menyara diri dengan lebih baik lagi.

Menerusi para sukarelawan Yayasan MyKasih, tusyen percuma diberikan kepada anak-anak sekolah daripada kalangan keluarga yang berdaftar dengan pertubuhan tersebut.

Keluarga berkenaan juga digalakkan menyertai berbagai kursus latihan kemahiran seperti menjahit, membuat kek dan biskut serta dandanan rambut sebagai sumber pendapatan tambahan, di samping menerima nasihat mengenai cara merancang dan berbelanja mengikut bajet yang telah ditetapkan. 

Buat masa ini MyKasih melaksanakan program kebajikannya menggunakan dana yang didermakan oleh 30 badan korporat, contohnya Petronas, Kumpulan Ambank, Kumpulan Dialog dan Sime Darby.

Berbeza daripada badan-badan kebajikan lain, MyKasih merupakan perintis cashless distribution of welfare yang tidak menghulurkan bantuan berbentuk wang tunai, makanan atau pakaian. Sebaliknya, elaun bulanan tetap diberikan kepada setiap keluarga untuk membeli keperluan masing-masing dengan menggunakan MyKad.

Proses pemilihan keluarga
  • Penderma memilih komuniti
  • NGO tempatan mengenal pasti dan memilih keluarga yang memerlukan
  • Maklumat diberikan kepada Yayasan MyKasih
  • NGO kebangsaan pihak ketiga (contoh Lions Club, Rotary Club dsb) mengesahkan keluarga yang dipilih  
  • Penderma memberikan kelulusan muktamad
  • Keluarga yang diluluskan didaftar ke dalam sistem Yayasan MyKasih
  • Keluarga dimaklumkan mengenai penerimaan mereka.
  • Keluarga menjalani sesi orientasi
  • Keluarga membeli makanan yang mereka pilih

Surirumah Fauziah Ali, 48 dari Sentul yang hidup dalam kedaifan selama 8 tahun menyertai MyKasih dua tahun lalu. Dia kemudiannya diminta mendaftarkan butiran MyKadnya kepada kedai runcit pilihan sendiri yang berdekatan dengan rumah.

Setelah itu dia diminta menentukan barang keperluannya menerusi satu senarai 10 kategori jenama barangan makanan yang termasuk beras, tepung, gula, susu dan minyak masak.

Di kaunter kedai, Fauziah menggunakan MyKad sepertimana seseorang menggunakan kad debit, dengan memasukkan PIN 6-digit bagi mengesahkan urusan pembelian. MyKasih melunaskan bayaran kepada pekedai runcit tersebut dalam tempoh 24 jam selepas pembelian.

Cara ini tidak diragui keselamatannya kerana peranti pembaca kad hanya mengenali barang keperluan yang telah dipilih sahaja. Ia secara automatik menolak semua pembelian barangan lain. 

Ibu tunggal, Pusparany Nachan, 47, yang kehilangan suami dalam satu kemalangan dan terpaksa menyara 8 orang anak, berasa gembira bila anak perempuannya yang memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini telah menerima bantuan RM700 daripada Shell Malaysia, badan korporat rakan MyKasih.

Hidupnya kini lebih selesa kerana wang yang dijimatkan daripada pembelian makanan boleh digunakan untuk melangsaikan bil-bil.

MyKasih berjaya menarik sumbangan badan-badan korporat besar disebabkan ketelusan pengendalian dan kaedah penyampaian dana yang berinovasi kepada keluarga daif. Sistem ini sangat berkesan dalam mencegah salah guna dana sumbangan.       

Setiap ringgit yang disumbang oleh badan-badan penderma pasti sampai kepada komuniti yang mereka pilih. Tiada ketirisan dana sama sekali kerana semua kos pentadbiran ditanggung sendiri oleh pihak MyKasih. Tambahan pula, badan-badan berkenaan menerima laporan terperinci mengenai cara dana dibelanjakan.

Program ini menggalakkan penderma menaja-angkat keluarga atau seluruh komuniti setempat di mana syarikat itu beroperasi atau penderma itu tinggal.

Seseorang yang telah berjaya dalam hidup boleh membalas jasa komuniti setempatnya dengan menyumbang bakti kepada mereka. Tindakannya mungkin akan menjadi inspirasi kepada pihak lain, terutama generasi muda untuk mencapai kejayaan dan berbakti kepada masyarakat.

Seharusnya pihak kerajaan meneliti sistem yang berwawasan jauh ini dalam mengagihkan bantuan kebajikan agar ia benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.

No comments:

Post a Comment