Monday, April 4, 2011

Mengelak Kebakaran

serenemaklong.blogspot.com

Malang tidak berbau. Kita perlu berjaga-jaga sepanjang masa. Alpa sekelip mata, buruk padahnya. Langkah pencegahan awal lebih baik daripada menderita selamanya. Jangan sekali-kali mengundang bahaya. Lebih baik mengambil lagnkah menghindari daripada mengubati. Panduan keselamatan berikut dapat mengelak kecacatan anggota atau kehilangan nyawa dan kemusnahan hartabenda.

Merokok
Jangan merokok ketika duduk dan berbaring di katil. Anda mungkin terlelap dan puntung rokok yang dipegang terjatuh di atas selimut lalu terbakar. Ataupun rokok yang diletakkan di tepi tempat abu rokok terjatuh ke atas permaidani.  

Perabot
Pastikan tingkap tidak dihalang oleh perabot besar seperti meletak meja solek di hadapan tingkap. Apabila berlaku kebakaran, jika anda tidak dapat keluar melalui pintu maka tingkap akan menjadi laluan kedua terpenting.

Televisyen terbakar
Elak menempatkan sebarang objek di atas peti televisyen. Bahkan menempatkan televisyen di dalam almari atau kabinet bukannya satu cara yang bagus kecuali terdapat ruang yang luas untuk peredaran udara di sekeliling. Sekiranya anda pergi bercuti dalam tempoh yang agak lama, pastikan plag televisyen dicabut, begitu juga antena. Jika televisyen anda terbakar, tanggalkan plag serta-merta. Sekiranya terlalu banyak asap keluar, semburkan alat pemadam api. Elak meletak televisyen berdekatan langsir kerana jika berlaku kebakaran, api akan menyambar kain langsir.

Pemetik api dan mancis
Kanak-kanak adalah golongan berisiko tinggi mencetuskan kebakaran memandangkan sikap mereka yang tertarik untuk mencuba sesuatu. Oleh itu, jangan sepah pemetik api, mancis dan rokok di merata tempat yang mudah dicapai. Simpan di tempat tersorok dan berkunci. Periksa selalu bahagian bawah katil dan dalam almari pakaian jika ada kotak mancis yang mungkin tertinggal di situ. Beritahu anak kecil mengenai bahaya bermain api.

Alat Penggera Kebakaran
Ini sesuatu yang penting dipasang demi keselamatan. Bagaimanapun anda mesti bersedia untuk tiba-tiba terjaga di tengah malam jika asap ubat nyamuk tersentuh alat penggera.

Ubat Nyamuk
Jangan letak ubat nyamuk yang sudah dinyalakan berhampiran katil kerana dibimbangi terkena hujung selimut atau cadar. Juga jangan berdekatan langsir pintu dan tingkap atau berhampiran sebarang kain atau kertas. Lebih selamat jika menggunakan ubat nyamuk elektrik.

Wayar dan barangan elektrik
Jangan letak wayar elektrik ke dinding kerana dikhuatiri ia memerangkap haba dan ini boleh menyebabkan kebakaran. Elakkan penyambungan elektrik tanpa mengira beban. Perkakas/bekalan punca elektrik msti ditutup semasa hendak tidur.

Pintu
Pastikan pintu bilik tidur anda dan anak-anak ditutup pada waktu malam, khususnya sewaktu tidur. Bila berlaku kebakaran, anda masih berpeluang menyelamatkan diri kerana jika api datang dari ruang dapur, ia lazimnya lambat tiba ke bilik. Jadi, anda mempunyai masa untuk menyelamatkann diri. Jangan bazirkan masa mencampakkan  barang-barang keluar tingkap kerana nyawa lebih penting. Untuk mengetahui sama ada api semakin menghampiri bilik anda, tekap telapak tangan pada daun pintu dan rasa sama ada panas atau tidak. Jika daun pintu panas, cepat keluar ikut tingkap. Jika sejuk, bolehlah anda buka pintu perlahan-lahan dan kalau api belum marak serta selamat untuk diredah, segera tinggalkan bilik.

Jeriji
Jika boleh gunakan jeriji yang boleh dibuka dari dalam.

Punca kebakaran di dapur
Dapur bukan tempat yang selamat untuk kanak-kanak. Tambahan lagi cara penyusunan barangan yang tidak betul boleh menyebabkan kebakaran. Bahan-bahan yang mudah terbakar perlu dijauhkan atau diasingkan, contohnya jangan meletakkan suratkhabar lama di atas tong gas yang sedang diguna berhampiran dengan dapur. Bertindak dengan segera jika terdapat kebocoran gas.

Jangan guna / pasang barangan elektrik terlalu lama. Alat yang panas mudah terbakar. Tutup suis dan pintu ketuhar jika terdapat kebakaran di dalamnya, Jika api tidak dapat dipadamkan, segera hubungi bomba.

Berhati-hati menggunakan bahan pencuci mudah terbakar seperti pelarut. Terutama sekali jangan merokok ketika menggunakan bahan-bahan sedemikian.

Penggunaan air tidak sesuai untuk memadamkan kebakaran di dapur. Gunakan kain/guni basah atau gunakan alat pemadam api jenis gas karbon dioksida (CO2), jika ada.

Pelan untuk menyelamatkan diri
Setiap anggota keluarga hendaklah mengetahui jalan keluar dari kediaman sendiri ketika berlaku kebakaran. Biasakan keluarga dengan perancangan tindakan keselamatan kebakaran di rumah. Selamatkan semua anggota keluarga. Cuba padamkan kebakaran sebelum ketibaan kereta bomba.


No comments:

Post a Comment