serenemaklong.blogspot.com
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan.
Di sini, saya ingin berkongsi ilmu yang saya timba dari buku Offline Dengan Syaitan tulisan Zulkifli Khair dan diterbitkan PTS Islamika Sdn Bhd. Buku ini menceritakan perkara penting yang wajib diketahui oleh semua muslim beriman. Ia memperincikan usaha iblis dan anak pinaknya, syaitan menyesatkan manusia.
Azazil adalah makhluk yang taat pada Allah. Bagaimanapun keengganannya sujud kepada Nabi Adam yang dicipta daripada tanah sedangkan dia dicipta dari api menyebabkan Allah murka lantas menggelar dia, Iblis (Penderhaka) dan menghalaunya turun ke bumi. Sejak itu Iblis bersumpah akan terus menyesatkan anak cucu Adam sehingga hari Kiamat.
Iblis menghasilkan lima keturunan: Tsabar(penghasut), Dasim (pemisah suami isteri), Al-A’war (penggalak zina dan liwat), Miswath (pencetus fitnah) dan Zaknabur (penggalak pembaziran masa). Syaitan pula merupakan anak pinak Iblis dari kalangan jin dan manusia yang disebut sebagai al-Khannas (penyerang hendap) dalam Surah an-Nas.
Syaitan yang mendampingi setiap manusia, termasuk Rasulullah s.a.w sendiri bernama Qarin dan dia mampu meniru perangai, suara, bahasa dan loghat manusia yang didampinginya. Roh manusia yang mati kembali ke alam barzakh, tetapi Qarin yang tidak mati sering merasuki tubuh orang hidup yang lain.
Iblis dan Syaitan menggelincirkan hartawan dan ilmuan dengan menghasut mereka supaya tamakkan harta dan ilmu. Keikhlasan pejuang dan sukarelawan amal kebajikan digugat dengan sifat riak. Penonton konsert amal yang melibatkan persembahan artis dilekakan sehingga meninggalkan solat dan bergaul bebas lelaki perempuan.
Syaitan yang berpesta di waktu senja memujuk manusia turut bersantai di luar rumah sehingga terlepas solat maghrib. Rasulullah s.a.w pernah menasihatkan supaya pintu dan tingkap ditutup menjelang senja dan anak-anak dipanggil masuk ke rumah, serta segera berwuduk dan menyebut nama Allah (termasuk azan, bersolat dan membaca al-Qur’an).
Sekarang ini khurafat dan tahyul berleluasa – susuk dan tangkal pendinding diguna, kisah sihir, jin dan hantu diperbesar-besarkan di TV dan pawagam, buku cerita hantu berlambak di pasaran, surat fitnah dan emel berantai, ramalan nujum berterbangan di ruang siber dan amalan dari agama lain turut ditiru.
Bomoh menjadi perantara di antara manusia yang terdesak dengan syaitan. Manusia mencari bomoh kerana ingin mendapatkan kekayaan, kemenangan dalam pilihanraya dan perlawanan bolasepak, menghilangkan rasa gemuruh, menahan hujan turun di majlis perkahwinan dan di padang bola, menceraikan suami isteri, menundukkan pasangan dsb.
Jin dan syaitan sebenarnya tidak berkuasa. Semuanya berlaku dengan izin Allah jua, terutama bagi manusia cetek iman. Namun, terkadang manusia keliru bila amalan sihir itu bertopengkan al-Qur’an. Lebih buruk lagi bila bomoh tampil dengan berjubah dan serban.
Pengamal sihir membaca jampi mantera tidak bersumber dari al-Qur’an. Terkadang dia memulakan jampi dengan ayat al-Qur’an tetapi kemudian jampinya dibaca dalam bahasa tidak difahami. Ada yang membaca ayat al-Qur’an secara songsang, dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika memberi perkhidmatan. Mereka tidak solat dan jarang dilihat mendatangi masjid.
Ramai dari kalangan kita terlupa filem magis dan seram seperti Harry Potter dan animasi Avatar mampu meninggalkan kesan ke atas akidah penonton. Tauke wayang dan syarikat televisyen menayangkannya atas dasar keuntungan kerana genre ini diminati ramai. Penonton yang tidak sedar unsur bertentangan agama di dalamnya mudah terpengaruh dengan kuasa sihir yang kelihatan lebih hebat daripada kuasa Tuhan. Jiwa penonton kanak-kanak yang mentah turut diracuni dengan kepercayaan terhadap kuasa jahat dan magis.
Kupasan komprehensif terhadap sihir dalam filem Harry Potter menurut perspektif Islam telah dibuat oleh Abul Abbas Moosaa Richardson dalam syarahan berjodol The Evils of Harry Potter and the Kufr of Magic. Syarahan ini boleh dimuat turun di laman web www.troid.org.
Novel Harry Potter merupakan buku sihir yang digilai peminat sehingga diterjemahkan ke dalam 40 bahasa dunia. Harus diingat bahawa mengamalkan sihir hukumnya haram, tidak kira sihir baik (white magic) atau sihir jahat (black magic). Mereka yang mengamalkan isi kandungan buku Harry Potter terkeluar daripada agama Islam.
Syaitan menjerat kanak-kanak dengan filem kartun, animasi dan komik sehingga terlupa solat dan membantu kerja rumah. Pakaian watak kartun menampakkan aurat, dan pergaulan watak lelaki dan perempuan juga bebas. Anak-anak yang mentah tidak mengerti bahawa tindakan itu salah.
Syaitan juga menggunakan teknik Obsessive-Compulsive Disorder (OCD) yang mencirikan rasa waswas melampau mengenai kesahihan wuduk, bilangan rakaat dalam solat, bilangan tawaf, saei dan lontaran ke atas jamrah dalam ibadah haji, dan yang lebih dahsyat kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, kebenaran al-Qur’an, dan keEsaan Allah.
Syaitan menyebabkan manusia bertangguh-tangguh dalam bertaubat, mengerjakan solat, melakukan kebaikan seperti bersedekah dan amal soleh. Paling rugi bila mereka mati dalam keadaan kufur kerana tidak sempat memeluk agama Islam meskipun sudah yakin kebenarannya.
Syaitan memang sukakan pergaulan bebas, zina, liwat dan pembuangan bayi, yang dijuarai oleh Melayu Islam. Begitu juga kewujudan rumah urut dan pusat pelacuran. Walau digempur berkali-kali oleh pihak berkuasa namun si pelaku yang dikuasai syaitan tidak pernah serik.
Syaitan memujuk manusia yang dilanda musibah dan lemah kepercayaan kepada Allah supaya mengakhiri derita dengan membunuh diri. Pun begitu, kita kagum dengan ketabahan masyarakat Aceh mengharungi keperitan dan kesedihan akibat bencana tsunami. Mereka tidak membunuh diri kerana kuat berpegang pada agama.
Peradaban Barat menjatuhkan martabat kaum hawa dengan memperdagangkan wajah, tubuh dan suara wanita dalam iklan menjolok mata, semata-mata kerana hendak melariskan barangan. Terkadang tiada kaitan langsung di antara model dengan barangan yang diiklankan. Tubuh seksi dipaparkan hanya untuk memuaskan nafsu mata.
Ejen syaitan ada dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam. Kerja mereka ialah mengajak kepada kemungkaran dan mencegah kebaikan. Ayah Pin pernah menggegarkan Malaysia dengan ajaran sesat Kerajaan Langit. Ajaran itu mencampur adukkan berbagai fahaman agama lain. Konon mengaku Islam, tetapi kata-kata, ajaran dan perbuatannya bertentangan dengan syariat Islam.
T.E. Lawrence a.k.a Lawrence of Arabia juga sering online dengan syaitan. Arkeologis, pemberita, perisik dan pakar bom zionis ini memimpin pemberontak Arab yang lemah iman dan buta sejarah agama untuk merampas Palestin dari penguasaan Empayar Uthmaniah Turki demi menubuhkan negara Israel, dengan bantuan Winston Churchill, mantan perdana menteri Britain.
Ejen syaitan dari Turki, Mustafa Kemal Ataturk dianggap `dajal kecil` dan `diktator yang disucikan` dalam sejarah. Berketurunan Yahudi Islam Doenmeh, dia licik merancang peningkatan kedudukannya di mata rakyat sehingga digelar `ghazi` (mujahid). Konspirasi perjanjiannya dengan Jerman menyebabkan kejatuhan Empayar Uthmaniah Turki.
Sejak 1919, visinya ialah menghapuskan sistem khalifah dengan sistem republik, melarang wanita bertudung dan lelaki bertopi tarbus. Sebaliknya rakyat dipaksa berpakaian ala barat. Dia menggantikan tulisan Arab dengan tulisan Latin, mengubah masjid menjadi muzium, menggalakkan minum arak, zina, pelacuran dan rasuah wanita termasuk para isteri serta membakar perkampungan bangsa Kurdis Turki (bangsa keturunan Salahuddin al-Ayoubi), dan memperkosa serta menyeksa wanita mereka. Sebelum mati, Mustafa Kemal sempat berwasiat supaya mayatnya tidak disembahyangkan.
Dalam sejarah kerajaan Islam Mughal di India, Jalaluddin Muhammad Akbar yang dianggap wira oleh Barat sebenarnya mencipta Din al-Ilahi dengan mencampur adukkan ajaran Islam dengan ajaran Hindu. Ahli sejarah Pakistan menganggapnya kafir.
Mirza Ghulam Ahmad, lahir pada 1839 adalah pengasas ajaran sesat Ahmadiah atau Qadiani. Mendakwa menerima wahyu daripada Allah menerusi Jibril, dia disanjungi pengikutnya seperti nabi. Kata-katanya diutamakan berbanding al-Qur’an dan hadis. Golongan Ahmadiah mempercayai Allah bersifat sama seperti makhluk, Nabi Muhammad s.a.w bukan nabi terakhir, Nabi Isa sudah wafat, roh manusia kononnya boleh berpindah kepada kucing dan anjing seperti hukum karma dalam ajaran Hindu.
Di Malaysia, ajaran Ahmadiah muncul pada 1906 di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor. Walau diisytihar sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, mereka masih berkembang di Malaysia Timur, Singapura dan Indonesia menerusi perkahwinan dan dakyah berterusan.
Salman Rushdie, warga India yang terkenal dengan novel kontroversi Satanic Verses, pernah menerima ancaman bunuh dari pemimpin Iran, Ayatollah Khomeini yang menawarkan hadiah wang tunai US$1juta ke atas nyawanya. Novel yang menghina Rasulullah s.a.w. dan al-Qur’an itu juga menerima anugerah berprestij antarabangsa Booker Prize. Seorang yang berfahaman mulhid (ateis – tidak mempercayai kewujudan Tuhan), kreativitinya membinasakan iman pembaca.
Rasulullah s.a.w. pernah menganjurkan umat Islam menulis bagi menegak kebenaran dan menangkis tulisan karut seperti ini. Baginda menganggapnya sama seperti `lemparan panah yang tajam.`
Ejen syaitan paling utama masa kini ialah para pembangun laman porno, permainan Internet dan pengunjung yang seronok dengan chatting. Kunjungan ke chatroom memungkinkan pertukaran gosip sampah, denyutan `zina hati` dan seterusnya ke jurang maksiat, manakala permainan Internet pula hanya membuang masa. Sepatutnya masa itu diguna untuk menambah ilmu yang bermanfaat di samping mengetahui perkembangan berita yang penting lagi besar impaknya kepada masyarakat, negara dan dunia.
Syaitan juga menyesatkan manusia dengan arak yang merupakan ibu segala kejahatan. Bila arak menguasai fikiran, banyak perkara buruk boleh berlaku, termasuk zina, liwat, malah pembunuhan dan syirik. Bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa al-khannas (syaitan bertopengkan manusia), wanita tidak patut menjadi hamba fesyen serba seksi. Batas aurat mesti dijaga. Ketebalan dan labuh pakaian serta tudung mesti mengikut ketetapan Allah.
Meskipun Barat menuduh Islam meletakkan wanita di kelas dua, sebenarnya Islamlah yang memuliakan wanita sehingga dikatakan “syurga berada di bawah tapak kaki ibu.” Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama kesayangan Rasulullah s.a.w. amat berjasa dalam membela Islam di peringkat awalnya. Sementara itu, Asiah yang mengasuh Nabi Musa ketika bayi sangat dimuliakan oleh Allah sekalipun dia bersuamikan Firaun, lelaki ejen syaitan.
Rakan sekutu syaitan ialah dajal. Menurut salah satu hadis Imam Muslim, dajal akan muncul dengan 70,000 Yahudi Isfahan. Dia yang dianggap `penyelamat` orang Yahudi merupakan ancaman bagi orang Islam. Dia bakal menguasai seluruh dunia, kecuali Makkah dan Madinah (yang dikawal malaikat), dengan proksinya yang terdiri dari kalangan jin dan manusia.
Harga makanan yang melambung dan kadar pengangguran yang tinggi membolehkan dajal menguji orang beriman dengan tawaran makanan dan pekerjaan, asal sahaja sanggup menjadi pengikutnya. Demi menyelamatkan diri daripada ancaman dajal, Rasulullah s.a.w menganjurkan pembacaan 10 ayat pertama Surah Al Kahfi setiap hari.
Orang Islam mesti menjaga diri dengan perisian anti syaitan berupa doa perlindungan yang dibaca sebanyak mungkin, tidak kira di mana sahaja kita berada. Buatlah permohonan mengenai apa sahaja secara langsung dengan Allah, bukan melalui pihak ketiga seperti bomoh dan ahli astrologi.
Di sisi Allah tidak ada manusia yang hina atau kotor. Sesiapa sahaja boleh berkomunikasi dengan-Nya. Yang dipentingkan-Nya hanyalah hati yang jujur, bukan keadaan jasmani manusia itu sendiri. Berbeza keadaannya dengan manusia yang ditunggangi syaitan. Mereka berakal lemah dan melihat semua kejahatan itu nikmat belaka.
Sentiasa online dengan Allah setiap hari menerusi solat Tahajud, doa, bacaan al-Qur’an, zikir dan wirid, istighfar, selawat, sedekah dan solat fardu pada awal waktu walau di mana jua kita berada dengan penuh khusyuk dan konsisten. Solat mesti ditunaikan walaupun berhadapan kesukaran. Selain itu, refresh setiap tahun dengan puasa bulan Ramadan dan pembayaran zakat yang ikhlas. Sekali seumur hidup, jika berkemampuan refresh keimanan dengan ibadah haji.
Jika mahu berjaya dalam kerjaya, lakukan tugas dengan bersungguh-sungguh dan selebihnya berserah pada Allah. Solat fardu tidak boleh ditinggalkan kerana ia merupakan tunjang kehidupan. Tanggungjawab ke atas ibu bapa harus juga dipikul di samping bersedekah.
Nafsu, terutama nafsu amarah dan syahwat sering dipergunakan oleh syaitan bagi menyesatkan manusia. Kerana itu nafsu perlu ditundukkan dengan mujahadah berpuasa sunat, solat berjemaah, dan bersahabat dengan mereka yang baik agamanya. Akal pula dirawat dengan menghadiri majlis ilmu, tazkirah dan membaca buku.
Sebenarnya terdapat banyak laman web ilmu di Internet. Dr. Yusuf Estes, seorang bekas paderi Kristian dan ahli muzik yang kini menjadi pendakwah dan sarjana Islam, membina lebih daripada 100 laman web mengenai Islam. Beliau melakukan demikian demi menangkis dakyah musuh Islam yang menyeleweng, sesat lagi menyesatkan seperti yang dilakukan oleh www.answering-islam.org. Antara laman web yang diusahakan oleh Dr. Yusuf Estes ialah:
http://www.yusufestes.com dan banyak lagi.
Orang berilmu membina laman blog taqwa di dalam hati. Mereka bersikap kritis terhadap apa jua yang kelihatan `luar biasa, ajaib dan ilmu kebal`. Kelebihan luar biasa yang dapat diulang secara sengaja lazimnya adalah sihir, sekalipun keupayaan luar biasa itu dilihat ada pada orang yang berperawakan seperti tuan guru, ataupun pak kiyai. Oleh itu delete sihir dan klik pula zikir.
Nabi Adam dan isterinya terkeluar dari syurga dan diperintah turun ke bumi akibat termakan pujuk rayu `penasihat kelas pertama` iaitu Iblis. Oleh itu kita mesti melindungi diri dan keluarga daripada gangguan anak pinaknya, syaitan dengan mengamalkan ayat Kursi, dan `melontarkan jamrah` di permulaan setiap urusan dengan ucapan Bismillah dan doa perlindungan.
Kemuncak gangguan syaitan ialah ketika manusia sedang nazak berhadapan dengan maut. Orang sedang nazak yang sepanjang hidupnya sentiasa online dengan Allah dan melakukan perkara baik, pasti menerima rahmat Allah dan secara automatik dapat offline dari pujukan syaitan yang ingin menggelincirkannya dari landasan Islam.
Sebaliknya, orang nazak yang selalu online dengan hantu syaitan akan mengikuti seruannya dan mati secara Nasrani atau Yahudi.
Ketika di Padang Mahsyar, semua catatan amalan, sama ada baik atau buruk dapat ditonton oleh seluruh manusia, sejak dari Nabi Adam hingga ke akhir zaman. Catatan itu cukup lengkap dalam bentuk audio dan video, malah mungkin lebih hebat daripada itu.
Bagi mengelakkan diri daripada menghadapi keadaan yang memalukan itu, maka setiap mukmin patut saling ingat memperingatkan supaya kita dimatikan dalam keadaan beriman. Dengan itu kita akan merasai kebahagiaan ketika hadir face-to-face dengan Allah yang serba Sempurna.
No comments:
Post a Comment