Wednesday, April 13, 2011

Menjadi Insan Dicintai Allah



Hidup ini bukan pertandingan yang menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang. Meraih A+ dalam persekolahan belum tentu dapat menjanjikan kejayaan hidup. Tetapi mendapat A+ dalam pendidikan di “Universiti Kehidupan” ciptaan Allah inilah yang utama. Kita harus berusaha untuk mempamer atau menghasilkan yang terbaik dengan menggunakan fikiran, tenaga dan keupayaan paling tinggi yang termampu, semata-mata kerana Allah dan untuk Allah.

Ujian dan halangan yang ditempuh setiap manusia memang berbeza. Tembok di hadapan kita tidak sama tinggi atau rendahnya dengan tembok orang lain. Yang mudah bagi mereka mungkin payah buat kita. Payah buat mereka pula, mungkin mudah bagi kita.

Jangan tunggu orang lain menghargai diri kita, baru kita merasa diri kita bertuah, sebaliknya hargai diri sendiri terlebih dahulu. Ketika itu barulah orang lain akan menghargai kita.        

Pandangan kita ke atas diri sendiri lebih penting berbanding pandangan orang lain terhadap kita. Mustahil Allah mencipta kita untuk gagal. Dia mahu hamba-Nya berjaya mengikut kemampuan diri. Setiap manusia dibekalkan-Nya dengan kelebihan dan `kelengkapan` diri masing-masing. Tugas kita hanya untuk mengenali dan meneroka kekuatan dan `kelengkapan` kita. Tuhan tidak pernah mencipta manusia yang bodoh. Sebaliknya Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.

Jika rasa lemah, tidak berdaya, itu bukan bererti kita memang lemah dan tidak berdaya, tetapi cuma kita belum mengenali dan menerokai kekuatan diri yang sebenar. Atau, mungkin kita telah menemuinya tetapi belum menggunakannya secara maksimum.

Bina keyakinan diri melalui tindakan berikut:
  • Bergantung pada Allah semata-mata dan berasa yakin pada-Nya.
  • Jaga solat lima waktu. Tingkatkan kefahaman dan kekusyukan. Muslimin yang menjaga solat akan terasa dijaga Allah.
  • Sentiasa berdoa dan membaca Al-Qur’an. Kedua-duanya adalah medium komunikasi tanpa wayar dengan Allah. Doa adalah dialog kita dengan Allah. Yakin bahawa Dia akan memakbulkan doa kita. Bacaan Al-Qur’an penuh penghayatan (dan mengamalkan ajaran-Nya dalam kehidupan seharian) merupakan Dialog Allah dengan kita.
  • Sentiasa bertaubat di atas kesilapan, sama ada besar atau kecil,  disengaja atau tidak disengaja, yang didedahkan atau yang disembunyikan. Yakinlah Allah menerima taubat hamba-hamba-Nya.
  • Berzikir, berwirid dan berselawat secara konsisten adalah perisai yang menangkis bencana dan keburukan yang akan menimpa dalam kehidupan.   
  • Percaya bahawa diri kita adalah hamba terbaik yang Allah cipta.
  • Berani melakukan sesuatu yang positif.
  • Jaga kelebihan diri, dan baiki kekurangan yang ada.
  • Sentiasa berfikiran positif. Pastikan badan dan minda sentiasa cergas cerdas.
  • Segala yang ada pada kita semuanya kita PINJAM DARIPADA ALLAH UNTUK TEMPOH TERTENTU – nyawa dan roh, bumi tempat berpijak, udara yang disedut, kesempurnaan fizikal mental dan kesihatan, kediaman, makan minum, pakaian, hartabenda, keluarga, rakan taulan, juga keamanan dalam negara. Bila tiba masa nanti, Dia akan mengambilnya kembali. Oleh itu, sentiasa bersyukur dan menghargai di atas peminjaman nikmat-Nya ini.
  • Gunakan seluruh `kelengkapan` berupa bakat, ilmu dan kebijaksanaan secara optimum. Orang yang yakin pada diri dapat mengawal perasaan marah, sedih, gembira dan benci serta bersedia menerima teguran dan kritikan.
  • Tabah dan cekal menghadapi ujian serta musibah kerana ini akan membuatkan semangat kita kuat.
  • Pilih kawan dan komuniti (masyarakat) yang boleh membina keyakinan kita.
  • Elakkan daripada bergaul dengan mereka yang suka memperkecil, memperlekeh dan menakut-nakutkan kita.
  • Cari role model yang baik sebagai contoh ikutan. Sebaik-baik role model ialah para nabi.
  • Maafkan kesalahan orang lain dan kita juga patut mudah memohon maaf di atas kesalahan kita pada orang. Ini akan menimbulkan rasa harmoni dan ceria dalam pergaulan.
  • Bergaul dengan individu yang mempunyai keyakinan tinggi dan sentiasa mendorong kita untuk maju.
  • Jangan bandingkan diri sendiri dengan kawan atau adik beradik lain. Ia akan membawa kesan negatif dan membuat perasaan menjadi tidak stabil. Misalnya, satu masa kita rasa bangga tetapi di masa yang lain kita rasa putus asa. Sebenarnya, kita semua mempunyai jangka `masa perkembangan` yang berbeza. Tempoh kematangan manusia dari segi perkembangan emosi, fikiran dan jiwa  tidak sama.
  • Pastikan pencapaian peribadi lebih baik dari sehari ke sehari. Inilah yang dikatakan bertanding dengan diri sendiri. Jangan malu kalau “kalah” dengan orang, sebaliknya malu bila “kalah” dengan diri sendiri. Orang yang berjaya mengalahkan diri sendiri lazimnya berjaya mengatasi orang lain. Kalahkan rasa malas, takut, malu tidak bertempat, bangga diri, sombong, bakhil, ragu-ragu dan lain-lain sifat negatif.
  • Akhir sekali, jangan kecewa jika gagal sesudah mencuba. Belajar dari kegagalan itu dengan memasang strategi baru; mungkin dari sudut atau bidang yang lain pula. 
Jangan kesal dengan penghasilan yang sedikit kerana sesungguhnya yang sedikit itu ada bersamanya kesejahteraan. Ingat selalu pada Allah kerana Rahmat Allah itu melimpah ruah.  

No comments:

Post a Comment