serenemaklong.blogspot.com
Masa amat berharga, sumbernya terhad. Sepanjang hayat, masa dihabiskan untuk membina kekayaan, kejayaan dan mencapai cita-cita.
Tetapi awas dengan pencuri masa. Mereka adalah orang yang tidak menghargai masa – sentiasa lewat menghadiri temujanji, membuat orang lain tertunggu-tunggu, suka membuat kerja pada saat-saat terakhir dan yang paling teruk mereka tidak sedar masa telah pergi meninggalkan mereka.
Menepati masa merupakan satu isu yang serius. Setiap minit dalam penantian bererti satu minit telah hilang daripada tempoh hayat. Namun, dengan pengurusan masa, usaha menepati masa boleh dicapai.
Jarakkan temujanji dengan baik supaya tidak terburu-buru ke sana ke mari, Juga, jangan adakan temujanji pada waktu yang sukar serta tempat yang sulit untuk didatangi. Adakan temujanji dengan pihak lain pada waktu dan tempat yang sesuai. Paling penting, mulakan temujanji tepat pada masanya.
Ada juga pihak yang menganggap mereka lebih bijak. Untuk mengawal masa orang di bawah pengawasan, jadual waktu dan KPI diwujudkan.
Ibu bapa dan guru berasa sangat yakin dengan kemampuan mereka mengajar dan memotivasi. Anak dan pelajar dinasihatkan supaya bergerak mengikut cara yang telah ditetapkan. Namun, ada masanya cara ni tidak sesuai dengan individu tertentu. Persekolahan formal menyekat perkembangan bakat mereka.
Bill Gates dan Mark Zuckerberg keciciran di segi pendidikan formal tetapi idea yang mereka miliki, diiringi dengan azam yang kuat telah mewujudkan Microsoft dan Facebook. Usaha mencipta mahakarya seperti ini memerlukan masa. Begitu juga pendidikan formal.
Persekolahan tetap diperlukan, tetapi ia tidak harus menyekat pendidikan di universiti kehidupan. Untuk mencipta mahakarya masing-masing, setiap orang memerlukan masa sendiri.
Majikan turut mencuri masa. Mereka meminta pekerja membuat kerja lebih masa yang tidak produktif dan tidak mengajar apa-apa yang baru. Padahal kerja remeh sebegitu boleh diupah kepada mana-mana pekerja sambilan yang upahnya mungkin serendah RM5 sejam.
Hayat memang singkat, tetapi tidak ringkas. Sifat sabar memang baik, tetapi sikap bertangguh-tangguh merupakan pencuri masa yang utama. Dalam perjalanan menuju ke puncak jaya, tanpa kesungguhan, kerap menangguhkan kerja dan lebih suka bersantai, akan menyebabkan seseorang itu berada di takuk lama sepanjang hayatnya.
Peluang baik tidak datang berlenggang-lenggang. Tibanya bagai ribut. Jika terlalu banyak berfikir, teragak-agak dan gagal merebut peluang pada masa yang betul, akan terlepaslah usaha mencapai impian.
Jangan biarkan makhluk berharga bernama MASA itu berlalu. Kuasai masa dan lakukan apa yang sepatutnya. Bila Malaikat Maut mengetuk pintu, pasti kita sudah bersedia menerima kedatangannya.
No comments:
Post a Comment