Monday, January 5, 2015

Lisan - Pilih Syurga Atau Neraka

Lisan yang mengucapkan syahadah untuk membawa kita ke syurga, boleh juga membawa padah yang menghantar kita ke neraka.Sesetengah perbuatan buruk yang boleh menjurus ke arah itu adalah MENGUTUK:“Sewel betul Mamat tu!” “Bedebah punya budak!”-----“Celaka motor ni, rosak lagi!”-----“Jahanam betul ayam ni, ada ke dia berak depan rumah aku!”-----Kita dilarang mengutuk manusia kerana itu dikira “mendoakan” keburukan baginya.Ayam yang dikutuk itulah makhluk Allah yang membangunkan manusia untuk solat subuh.Mengutuk mana-mana makhluk Allah, termasuk juga objek yang tidak bernyawa sekalipun adalah dilarang
MENGUMPAT:“Aku bukan nak mengumpat, tapi dia memang banyak ambil cuti. Anak sakit konon!“ -----“Dah seminggu jiran kita tak keluar bersembang dengan kita. Gamaknya dia dah tak suka kat kita kot. Maklumlah dia kerja ofis, kita ni kerja di rumah.”-----Bercakap di belakang seseorang tentang sesuatu perkara kurang menyenangkan kepada orang lain dikira sebagai mengumpat. Jika benar, memang sah mengumpat. Jika tidak benar, itu dikira fitnah. Ingatlah, di akhirat nanti pahala pengumpat akan beralih dari timbangannya kepada orang yang diumpat.Firman Allah: “ Janganlah ada antara kamu yang mengumpat orang lain. Adakah kamu suka memakan daging saudara yang telah mati?” (Al Hujurat ayat 12).
MERENDAH-RENDAHKAN ORANG: “Kau tak kenal aku siapa? Aku ni Tan Sri tau tak. Kau tu siapa nak menegur aku?”----- “Orang dah naik pangkat, maklumlah. Alah, dulu dia sengkek je!”-----“Orang zaman sekarang dah rosak.”----- “Teruk betul orang kat sini. Masjid besar tapi yang datang bersolat jemaah boleh dikira dengan jari.”----- Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila seseorang berkata – ‘manusia sudah rosak!’ , maka dialah orang yang paling rosak.(HR Muslim). Dalam hati orang itu sudah ada rasa TAKBUR walhal telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.: “…tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya ada rasa takbur sebesar biji sawi!” (HR Muslim).
MENUDUH: “Kau tu kaya sebab rasuah.”-----“Kau tu apa kerja kalau tak membodek bos je.”----- Melabelkan orang dengan suatu label boleh dikira menuduh. Kalau tidak benar, pasti akan menjatuhkan maruah orang itu di mata orang lain. Orang yang percaya dengan tuduhan itu akan hilang rasa hormat kepadanya. Sekali lagi ingat, di akhirat nanti pahala penuduh akan beralih dari timbangannya kepada orang yang dituduh.
BERCAKAP KOTOR, LUCAH DAN KASAR: Mencarut, bercakap dan berlawak lucah, menggelarkan orang lain dengan gelaran yang buruk seperti: debab, gemuk, pak hitam, apek, badut dsb, menyifatkan orang lain sama seperti haiwan, contoh: “Dia jalan mengangkang macam beruk!”-----Nabi s.a.w. bersabda: “ Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mengutuk, melaknat, bercakap ktor dan bercakap kasar.” (HR al Tirmizi).
MEMBISU:Apabila melihat saudara kita mengumpat, mengutuk, merendah-rendahkan orang lain, menuduh, mencarut, bercakap kasar, maka perbuatan buruk itu hendaklah ditegur secara BERHEMAH. Jika kita berdiam diri sahaja maka jadilah kita seperti yang diungkapkan oleh Ibn al Qayyim: “Pada lidah ada dua bahana besar. Andai terlepas daripada salah satunya, belum tentu selamat daripada yang satu lagi iaitu bahana berkata dan bahana diam. Mana-mana boleh jadi besar dosanya mengikut masanya. Orang yang diam daripada mengatakan yang benar ialah SYAITAN BISU.” -----Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan lidahnya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (HR Muslim).
UCAPAN YANG MEMBAWA KE SYURGA----- 1. Tidak lupa menyebut ‘in sya Allah’ dalam setiap yang dirancang. 2. Berdoa kepada Allah dalam setiap keadaan. 3. Lazimi lidah dengan zikir dan selawat. 4. Mengucapkan salam kepada sesiapa yang ditemui. 5. Membaca al-Quran. 6. Bercakap lembut dengan ibu bapa dan keluarga. 7. Menegur kemungkaran. 8. Menasihati orang. 9. Mendoakan kebaikan buat orang lain. 10. Mengajarkan ilmu yang bermanfaat. 11. Mendamaikan muslim yang berbalah. 12. Mengajak orang berbuat baik.
UCAPAN YANG MEMBAWA KE NERAKA----- 1. Menidakkan rahmat Allah 2. Bercakap tentang agama tanpa ilmu, cepat menghukumkan halal-haram ikut kepala sendiri. 3. Menyebarkan hadis palsu. 4. Mengutuk sahabat nabi. 5. Menyakiti hati ibu bapa. 6. Suka bertekak, berdebat. 7. Mengumpat. 8. Menipu. 9. Mengejek orang. 10. Mendoakan kecelakaan ke atas diri sendiri atau orang lain. 11. Mengutuk orang yang masih hidup. 12. Mengutuk orang yang sudah mati. 13. Mengutuk makhluk Allah, sama ada haiwan, cuaca atau objek yang tidak bernyawa. 14. Mencela diri dan keluarga sendiri. 15. Melaga-lagakan orang. 16. Mendedahkan keaiban sendiri. 17. Menyebarkan keaiban orang lain. 18. Suka mengampu. 19. Banyak bersembang perkara yang tidak berfaedah. 20. Bergurau dan melawak berlebih-lebihan. 21. Cakap yang tidak perlu. 22. Mengangkat diri sendiri. 23. Menengking. 24. Berbual dengan mahram tanpa keperluan. 25. Merendah-rendahkan orang lain. 26. Mencarut dan bercakap kotor lagi kasar. 27. Mencemuh. 28. Bercakap perkara yang tidak baik.
Sebelum mengucapkan kata-kata, kaji dulu apa yang hendak diucapkan – BETULKAH? Berapa banyak berita dan cerita yang tersebar itu tidak betul. PERLUKAH? Ada perkara yang betul tetapi mungkin tidak perlu disampaikan. ELOKKAH? Ada perkara yang betul dan dirasakan perlu tetapi tidak elok disampaikan. Kurangkan dosa lidah dengan MEMBIASAKAN DIRI DENGAN CAKAP YANG BAIK-BAIK. Melatah dengan zikir: MasyaAllah, SubhanaAllah, Nauzubillah. Luahkan marah dengan doa, “Bertuah sungguh!” In sya Allah, kata-kata buruk tidak akan terkeluar dari bibir kita lagi. Yang terbaik ialah memohon maaf kepada orang yang diumpat. Tetapi tidak ramai yang sanggup berbuat demikian. Oleh itu cuba gantikan kesalahan tersebut dengan cara beristighfar dan mendoakan kebaikan untuknya. Sebut kebaikan orang itu kepada mereka yang mendengar umpatan kita. Sayidina Umar pernah berkata: “Hisablah diri kamu sendiri sebelum kamu dihisab kerana itu lebih memudahkan. Timbanglah diri kamu sebelum kamu ditimbang." --------.
Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Manakala orang yang paling aku benci dan paling jauh daripadaku kelak ialah MUTASYADIQUN (orang yang bercakap lebih-lebih secara sembrono dan merendah-rendahkan orang lain), MUTAFAIKQIHUN (orang yang bercakap penuh mulut mengangkat diri sendiri), AL-THARTHARUN (orang yang suka bercakap melebihi keperluan).-----Oleh itu, jom kita baiki diri. [Adaptasi dari Solusi #75]

No comments:

Post a Comment