Saturday, January 3, 2015

Akhlak Nabi Muhammad s.a.w

Baginda selalu diam, bercakap cuma ketika perlu, dan percakapannya hanya yang membawa pahala. Hatinya selalu sedih kerana inginkan umatnya dalam kebaikan dan terlepas dari azab Allah S.W.T. Baginda selalu menundukkan pandangan kerana tawaddu', berfikir terus menerus sambil menghargai nikmat walau sekecil mana pun tanpa memperlekehkannya. Makanan tidak pernah dicelanya. Apabila suka, Baginda akan makan. Jika tidak, ditinggalkannya tanpa mencelanya. Tidak pernah marah dalam perkara yang ada kaitan dengan urusan dunia. Marah bukan kerana nafsu. Apabila kebenaran dipermainkan, Baginda akan bangkit mempertahankannya. Apabila marah Baginda akan memalingkan muka, apabila suka Baginda akan memejamkan mata.
Baginda tidak pernah berkata kotor, berbuat keji dan melampaui batas, juga tidak pernah menjerit-jerit di pasar. Tidak suka membalas kejahatan dengan kejahatan, malah Baginda memaafkan dan berlapang dada. Tangan Baginda tidak pernah memukul selain untuk berjihad di jalan Allah S.W.T. Apabila menghadapi 2 perkara, Baginda memilih yang paling mudah selagi ia bukan dalam perkara maksiat.
Di rumah, Baginda biasa membasuh pakaian, memerah susu dan membuat sendiri segala keperluan diri. Ketika duduk atau pun berdiri, Baginda selalu berzikir. Raut wajahnya selalu ceria, perangainya dapat dicontohi dengan mudah, lemah lembut dan peramah. Tidak pernah bersikap keras dan bertindak kasar, menjerit-jerit, lebih-lebih lagi memaki hamun dan mencela orang lain. Tiga perkara yang dijauhi iaitu perselisihan, bongkak dan semua sikap buruk. Baginda tidak pernah mencungkil rahsia orang lain.
Perbicaraannya fasih, ringkas tetapi padat. Baginda menghadapkan seluruh tubuhnya bila berbicara dengan orang. Perbicaraannya memukau sesiapa pun yang mendengarnya lalu terpegun seolah-olah ada burung melintas di atas kepala mereka. Sesiapa yang melihat Baginda sepintas lalu akan merasa gerun dan hormat kepadanya. Sesiapa yang selalu bergaul dan telah mengenali Baginda, akan menyayanginya sepenuh jiwa raga. Baginda pasti memberi tempat kepada orang yang ingin duduk dan tidak membezakan di kalangan mereka.
Sesiapa yang meminta sesuatu, pasti dipenuhinya atau jika sebaliknya, ditolak dengan tutur kata lemah lembut. Tangan Baginda selalu terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa pilih kasih. Baginda adalah ayah bagi mereka semua. Di mana pun Baginda berada, di situ terpancar cahaya ilmu, sikap malu dan sabar serta amanah. Tidak ada yang berani meninggikan suara di hadapan Baginda kerana kewibawaannya. Semua mengakui keutamaannya kerana ketaqwaannya; menghormati orang tua menyayangi yang kecil, mengutamakan orang yang ada hajat, menjaga keperluan dan kebajikan orang asing. Tidak terus memotong percakapan orang lain. Jika ingin memotong, Baginda hentikan dahulu ataupun berdiri. Seorang yang paling berlapang dada, halus keperibadiannya dan beradab dalam pergaulan dan muamalahnya. (RUJUKAN: Biografi Lengkap Rasulullah saw oleh Dr Sayyid Muhammad bin Alawi Al Maliki)

No comments:

Post a Comment