Saturday, February 1, 2014

Larangan Meminta Jawatan

serenemaklong.blogspot.com
Dalam sebuah riwayat yang sahih, Abu Musa al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu bersama-sama dua orang sepupunya datang berjumpa Rasulullah. Kemudian, salah seorang dari sepupu Abu Musa pun berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, jadikanlah kami pemimpin kepada salah satu daerah (wilayah) yang Allah Ta’ala telah berikan kepadamu.” Seorang lagi dari sepupu Abu Musa pun menyatakan hasrat yang sama. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, إِنَّا وَاللَّهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ وَلَا أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ “Demi Allah, kami tidak akan memberikan kerusi kepimpinan ini kepada sesiapa pun yang meminta dan berusaha ingin mendapatkannya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/344, no. 3402) Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) meletakkan hadis ini dalam kitabnya, Riyadhus Shalihin dan Syarah Shahih Muslim pada bab, “Larangan Meminta Kerusi Kepimpinan dan Berusaha Mendapatkannya.” Dalam hadis yang lain, beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda, إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الْإِمَارَةِ وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ “Kamu selalu berusaha (atau berhasrat) untuk menjadi pemimpin, padahal ia akan menjadikan kamu menyesal pada hari Kiamat kelak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/59, no. 6615). Kalau kita lihat dari sejarah para nabi sendiri, nabi manakah yang bertindak mencari-cari atau meminta-minta jawatan kepimpinan bagi tujuan dakwah dan alasan tertentu? Sudah tentu tiada. Sekiranya ada pun, mereka akan memintanya kepada Allah dan bukan kepada manusia sehingga saling berebut sesama sendiri. Sekiranya untuk tujuan dakwah pun tiada contohnya dari para Nabi supaya meminta-minta jawatan, bagaimana pula untuk selainnya yang tidaklah lebih penting dari urusan menegakkan agama Allah? Jika kita melihat dari apa yang berlaku hari ini, kebanyakan individu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang berusaha untuk mendapatkan kerusi-kerusi kepimpinan, kebanyakan dan kebiasaan dari mereka akan berusaha gigih meraihnya dengan apa cara sekalipun walau sehingga melanggar batas-batas agama, saling menindas, memutuskan tali persaudaraan, dan akhirnya sehingga mengundang perpecahan yang melemahkan umat. Benarlah apa yang disebutkan oleh Imam ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam mensyarahkan hadis-hadis berkaitan, وإنما نهى عن طلب الإمارة لأن الولاية تفيد قوة بعد ضعف وقدرة بعد عجز تتخذها النفس المجبولة على الشر وسيلة إلى الانتقام من العدو والنظر للصديق وتتبع الأغراض الفاسدة ولا يوثق بحسن عاقبتها ولا بالإجماع مجاورتها فالأولى أن لا تطلب ما أمكن “Larangan meminta jawatan kepimpinan adalah kerana kekuasaan dapat menjadikan mereka yang lemah menjadi lebih kuat (berkuasa) lagi berwibawa sehingga memberi peluang kepada hawa nafsunya yang (selama ini) cenderung kepada keburukan untuk melepaskan dendam terhadap para lawannya. Sebaliknya akan bertindak untuk kepentingan teman-temannya sahaja serta mengikuti keinginan-keinginan buruknya tanpa mempedulikan akibat dan keselamatan orang di sekitarnya. Dengan sebab itulah, tindakan untuk tidak meminta-minta jawatan tersebut merupakan sikap yang terbaik (lebih aman dari fitnah).” (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 4/117) [Khalid Ibni Walid]

No comments:

Post a Comment