Sunday, February 2, 2014

Berbakti Kepada Ibu Bapa

Hak manusia yang paling besar ialah hak kedua ibu bapa. Allah menyebutkan hak tersebut berada pada tingkatan setelah hak-Nya. Allah S.W.T. berfirman: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (An-Nisaa' 4:36). “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” -(Al-Israa' 17:23).
Abdullah ibn Masud pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Apakah amalan yang paling ALLAH sukai?" Baginda menjawab, "Solat tepat pada waktunya." Abdullah ibn Masud bertanya lagi, "Kemudian apa?" Baginda menjawab, "Melakukan kebaikan kepada keduaa ibu bapa." Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa?"Nabi menjawab,"Jihad kerana agama Allah"- (Sahih Bukhari dan Muslim). Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Barangsiapa berhaji untuk kedua orang tuanya atau melunasi hutang-hutangnya maka dia akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat dari golongan orang-orang yang mengamalkan kebajikan -(HR. Ath-Thabrani dan Ad-Daar Quthni).
Perkara yang kita tidak boleh kita taat kepada orang tua ialah jika mereka mengajak kita bermaksiat kepada Allah atau mempersekutukanNya,tetapi kita tetap wajib berbuat baik kepada keduanya,sebagaimana diperintahkan dalam firman, Allah Subhanahu wa Ta'ala: "Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan".[Luqmân/31:15].
Cara yang terbaik berbakti kepada kedua orang tua ialah dengan mencurahkan kebaikan, dengan perkataan,perbuatan, ataupun dengan harta. Bertutur kata kepada keduanya dengan lemah lembut, menggunakan kata-kata yang baik dan menunjukkan kelembutan serta penghormatan. Layan keduanya dengan tenaga yang mampu kita lakukan untuk memenuhi keperluan, membantu dan mempermudah urusan keduanya. Berhati-hatilah memelihara mereka sebagaimana mereka memelihara kita. Berikan setiap yang kita miliki untuk memenuhi keperluan mereka, berbuat baik, berlapang dada dan tidak mengungkit-ungkit pemberian sehingga menyakiti perasaan mereka.Imam Ja’far Ash-Shadiq (sa) berkata: “Barangsiapa yang memandang kedua orang tuanya dengan pandangan benci ketika keduanya berbuat zalim kepadanya, maka solatnya tidak diterima.” (Al-Kafi 2: 349). Rasulullah s.a.w. bersabda: “Takutlah kamu berbuat derhaka kepada kedua orang tuamu, kerana bau harum syurga yang tercium dalam jarak perjalanan seribu tahun, tidak akan tercium oleh orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, memutuskan silaturahim, dan orang lanjut usia yang berzina…” (Al-Wasâil 21: 501).
Berbakti kepada kedua orang tua tidak hanya dilakukan ketika keduanya masih hidup. Namun tetap dilakukan setelah mereka meninggal dunia. Ada sebuah kisah tentang seseorang dari Bani Salamah mendatangi Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam. Dia bertanya: "Wahai Rasulullah, masihkah ada cara untuk berbakti kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal?" Baginda menjawab,"Ya, dengan mendoakannya, memintakan ampun untuknya, melaksanakan janjinya (wasiat), menyambung silaturahim yang tidak boleh disambung kecuali melalui jalan mereka berdua, dan memuliakan sahabat-sahabatnya" - [HR Abu Dawud]. Rasulullah s.a.w. bersabda: APABILA SESEORANG TIDAK MENDOAKAN KEDUA ORANG TUANYA MAKA AKAN TERPUTUS REZEKINYA. (HR. AD-DAILAMI).
Janganlah menjadi anak derhaka dengan menghantar ibu bapa ke rumah orang tua. Jagalah mereka, betapa besar pahala yang anak-anak dapat jika menjaga mereka dengan baik, dan betapa besar murka Allah jika dibiarkan keduanya berada di rumah kebajikan seperti itu. Mereka masih punya waris yang patut menjaga mereka. Para isteri harus bertolak ansur. Kalau sayangkan suami maka sayangilah juga orang tuanya dan begitu juga sebaliknya. Air mata orang tua yang risaukan anak-anaknya tidak mungkin dapat dibalas, dan setitis air mata mereka tertumpah kerana hati yang disakiti akan mendapat kemurkaan Allah.
Diriwayatkan Abdullah bin 'Amr r.'a : Rasulullah s.a.w. bersabda : ''Keredhaan Allah menurut keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah menurut kemurkaan ibu bapa" - (H.R.At-Tirmizi: Sahih.) Hidup atau sudah meninggal dunia jangan lupa untuk mendoakan mereka selepas selesai melakukan Solat. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala : "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Israa' 17:24). SEMOGA BERMANFAAT.

No comments:

Post a Comment