serenemaklong.blogspot.com
SAYA anggap sesuatu yang paling manis
dalam hidup ini ialah senyuman. Malah Rasulullah saw sendiri menganggap
senyuman itu sedekah.
Senyuman yang menggerakkan 17 otot yang
ada pada wajah itu menaikkan keserian seseorang, berbanding 43 otot yang
bergerak ketika dilanda perasaan marah. Tidak kira berapa pun usia seseorang,
bila dia tersenyum pasti wajahnya berubah menjadi manis.
Suami yang baru pulang dari kerja pasti
berasa damai bila disambut di muka pintu oleh isteri yang melemparkan senyuman.
Segala tekanan di tempat kerja bagaikan hilang terbang.
Namun
adakalanya senyuman tersirna daripada wajah isteri – mungkin keletihan
lantaran melayan kerenah anak-anak dan kerja rumah yang tidak pernah selesai. Ketika
ini jika suami pula yang menghadiahkan senyuman dahulu disusuli dengan
kata-kata lembut, isteri tentu membalas dan ini sedikit sebanyak melegakan kelelahannya.
Tidak kira siapa yang memulakan, pemberi
dan penerima sama-sama mendapat manfaat.
Tambahan pula jika senyuman itu benar-benar datang daripada hati. Senyuman
membawa aura tersendiri yang memberi impak kepada hubungan suami isteri.
Lazimnya senyuman dibalas dengan senyuman.
Jarang sekali senyuman dibalas dengan muka masam, kecuali memang ada hal-hal
yang berlaku di antara pemberi dan penerima.
Senyuman menurunkan tekanan dan menambah
kemasukan oksigen ke dalam darah. Hasilnya tekanan mengendur dan membantu
merangsang proses penyembuhan penyakit. Senyuman menghasilkan hormon endorfin
dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi, menjadikan seseorang
itu selesa dengan diri sendiri.
Detik manis dalam kehidupan berumahtangga
ialah apabila suami dan isteri berpisah pada pagi hari di muka pintu dengan
senyuman, dan bertemu semula pada waktu petang dengan senyuman juga.
Sayang, terus-teruslah senyum padaku.
Senyumanmu itu syurga buatku!
No comments:
Post a Comment