Saturday, July 14, 2012

Laman Xeriscape

serenemaklong.blogspot.com

KONSEP laman yang mengekalkan tema gersang dan penyelenggaraan terhad ialah adalah konsep laman ‘Xeriscape.’ Ia sangat praktikal dan menjimatkan.

Istilah xeriscape wujud daripada perkataan zero atau kosong/kering di mana amalan pengambilan air untuk tanaman dikurangkan bagi mengelak pembaziran bahan mentah berkenaan.

Konsep ini diperkenalkan di Amerika Syarikat dalam pameran reka bentuk pada 1980. Ia berkembang bagi menggalak penanaman di kawasan yang sukar mendapat bekalan air termasuk lokasi berhampiran padang pasir atau kawasan kering.

Laman konsep ini popular di kawasan bandar untuk pemilik kediaman yang sibuk dan tiada masa menyelenggara laman. Tumbuhan untuk laman konsep ini adalah jenis tahan lasak dan tidak memerlukan banyak air atau kerap disiram.

Namun, tidak semestinya tumbuhan untuk konsep ini adalah dari jenis kaktus. Banyak lagi tumbuhan lain yang sesuai seperti Agave, Sansevieria (Lidah Jin), Aloe Vera (Lidah Buaya), ros jepun, pokok semarak atau ‘Bird of Paradise’, Elaeagnus angustifolia, Asclepias tuberosa dan Buffalograss (Buchloe dactyloides).

Antara kelebihan laman jenis ini adalah ia boleh mengguna air kitaran semula daripada lebihan domestik, komuniti lain serta alam sekitar.

Kerja memotong rumput juga dapat dikurangkan kerana konsep laman ini menghadkan jumlah ruang untuk tanaman rumput. Ia  menyesuaikan reka bentuk, aksesori dan tumbuhan supaya dapat hidup tanpa bantuan ubat kesuburan atau baja, menggunakan sungkupan dan air hujan.

Laman Xeriscape berciri tersendiri kerana mengekalkan tumbuhan tropika. Ia tidak sama dengan laman kaktus ala padang pasir yang hanya menggunakan pokok kaktus semata-mata. Laman batuan pula banyak menggunakan batu dan pasir dalam pelbagai saiz dan bentuk. Malah jumlah pokoknya dikurangkan.

Tumbuhan taman xeriscape
Bunga Ros Jepun (Moss Rose)

Dikenali dengan nama saintifiknya, Portulaca grandiflora iaitu pokok penutup bumi dengan bunga berwarna-warni yang sesuai ditanam dalam bekas tanaman atau di atas batas laman.

Daun dan batang yang berair membolehkannya mengeluarkan bunga yang berwarna-warni sepanjang musim panas.
Ada pelbagai jenis dan spesies dengan bunga jenis mekar dan kuncup.

Pokok ini sangat sesuai ditanam berhampiran celah batu-batu selain dalam bekas tanaman dan pasu gantung.

Bunga Semarak (Bird of Paradise)



Ada yang menggelarkan sebagai bunga burung syurga atau bunga gurun syurga. Nama saintifiknya (Caesalpinia gilliesii) di mana pokok boleh mencapai ketinggian hingga 10 kaki.

Daun pokok ini halus manakala bunganya mempunyai bulu halus seperti benang dan bulu ayam. Bunganya berwarna merah, jingga atau kuning bunga dengan stamen yang panjang merah dihasilkan sepanjang musim panas.

Zaitun Russia (Silverthorn)

Pokok ini juga dipanggil silverthorn atau silverberry. Nama saintifiknya Elaeagnus angustifolia sangat sesuai untuk penanaman di kawasan kering dan panas lembap. Pokok mudah hidup walaupun pada musim kemarau atau lebih tiga bulan tanpa hujan.

Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga lebih 10 kaki. Pokok ini cepat membesar dan jika tidak dipangkas boleh mengotorkan kawasan sekitar. Namun, ia punya bunga yang cantik kecil berwarna putih dan juga berbau wangi.

Selepas bunga gugur muncul buahnya seakan beri merah yang biasanya menarik hidupan liar seperti burung dan kelawar.

Rumput Kerbau (Buffalograss)

Nama saintifiknya Buchloe dactyloides adalah tumbuhan asli yang tumbuhan di kawasan dataran dan pergunungan pedalaman utara AS. Sesuai untuk kawasan tanah beralkali termasuk kawasan lembap dan berlumpur.

Hampir menyerupai rumput padang ragut, bunga rumput ini sangat cantik dan kini popular untuk kawasan padang. Cepat membiak namun kurang penyelenggaraan termasuk kerap mahu dipotong seperti rumput padang biasa.

Rusia Sage



Rusia Sage (Perovskia atriplicifolia) dijumpai kawasan tanah kering berbatu di Afghanistan. Namun, ia hidup subur di bawah sinaran cahaya matahari penuh dan saliran yang baik.

Ia tumbuh tiga kaki tinggi dan dua kaki lebar. Warna daun seperti lavender iaitu ungu lembut dan bunganya menghasilkan bau yang wangi. Pokok renek ini mengeluarkan bunga yang berwarna biru atau ungu pada musim panas.

Agave

Nama saintifiknya Agave angustifolia manakala di desa dikenali sebagai pokok Kelumpang Telur. Pokok Kelumpang Telur adalah sejenis pokok yang mempunyai bahan toksin iaitu Agavoside A dan Asid Oksalik.

Getah dan durinya akan menyebabkan luka dan keradangan akibat bahan kimia. Daun kelumpang telur berwarna hijau, keras dan tajam di hujung serta dikelilingi oleh warna kuning atau putih.

Ia mengandungi banyak air dan tidak berbatang, tetapi boleh tumbuh setinggi satu meter. Di kampung biasanya duri pokok ini dihiasi dengan kulit telur dengan tujuan melindungi duri terkena penghuni kediaman.

Lidah Jin
Pokok lidah jin atau sansevieria mempunyai lebih daripada 70 spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga Ruscaceae.

Tumbuhan ini mempunyai pohon yang kecil berair dengan kehijau-hijauan daun yang tumbuh dari 20 sentimenter (sm) hingga 3 meter tinggi, kebanyakannya membentuk kelompok yang dalam daripada rizom atau stolon yang disebarkan.

Bunganya berwarna kelabu berputih-putihan dan pada tangkai bercabang 40-90 sm panjang. Sesetengah spesies menghasilkan buah berwarna merah atau jingga.

Lidah Buaya

Lidah Buaya adalah salah satu tumbuhan daripada 250 spesis Aloe serata dunia. Aloe adalah tumbuhan asli berasal dari Afrika dan Madagascar. Ia membiak dengan baik di lembangan Mediterranean dengan merentasi Algeria, Maghribi, Tunisia serta kepulauan Canary dan Madeira.

Lidah buaya digunakan sebagai ubatan tradisional untuk melegakan luka, ruam, demam, gatal-gatal, kulit dan banyak lagi. Daun pokoknya menyimpan air yang menyebabkan ia tahan walaupun tidak disiram air lebih seminggu.

(Sumber: Rohaniza Idris/Berita Harian)

No comments:

Post a Comment