Wednesday, July 25, 2012

Hias Balkoni


serenemaklong.blogspot.com



RUANG balkoni kediaman, tidak kira rumah pangsa, apartmen, kondominium atau rumah teres atau banglo bertingkat boleh dimanfaatkan dengan baik.

Khaskan satu sudut di ruang di balkoni untuk dihias dengan pelbagai tanaman hiasan dan aksesori taman.



Tanaman hiasan secara solo dalam pasu disusun menjadi sebuah taman mini. Sebagai alternatif beberapa beberapa pokok yang dipilih boleh juga diletakkan dalam kekotak tingkap (window box) atau ditanam dalam pasu besar dan disusun menjadi satu gubahan menarik.  



Susun pokok paling tinggi di bahagian belakang. Pokok yang rendah diletakkan di hadapan, di kiri dan kanan pokok tinggi tadi. Pokok paling rendah atau pokok menjalar ditanam di hadapan sekali. Kaedah susunan begini membolehkan setiap pokok dapat dilihat dan tidak terlindung di antara satu sama lain. Lagipun ia kelihatan kemas dan menarik.

Gantung pokok hiasan yang ditanam dalam pasu atau raga gantung bagi menjimatkan ruang terutama jika kawasan itu agak sempit. Namun, jika ruang itu luas, gunakan trellis atau para-para untuk pokok menjalar atau pergola bagi menggantung lebih banyak pokok.

Pokok yang sesuai digantung adalah pokok episcia, pokok gincu, pokok cendol, pelbagai paku pakis seperti paku tanduk rusa dan paku langsuyar.

Penjagaan:

Siram dan sembur air di bahagian daun terutama pada hari panas supaya kelihatan subur.

Gunakan baja organik atau baja kimia. Ikuti arahan pada pek baja itu  mengenai cara dan kekerapan pembajaan.

Pangkas ranting yang mati.

Pokok perlu didedahkan kepada cahaya matahari sekerap mungkin atau ditukar ganti setiap minggu dengan pokok yang baru supaya ia kelihatan subur dan sentiasa menarik.

Elemen hiasan:

Hiasan yang boleh digunakan termasuk set air terjun, tempayan antik atau pasu yang unik bentuknya.

Batu kecil pelbagai saiz boleh diguna supaya kelihatan semula jadi.

Perabot taman seperti kerusi kayu boleh juga diletakkan bagi memudahkan ahli keluarga duduk bersantai.

Pasangkan lampu bagi menerangi ruang ini pada waktu malam.

Kesan air terjun, sinaran cahaya lampu dan susunan pelbagai tanaman menghijau pasti memberi impak kepada suasana di balkoni kediaman terutama pada waktu malam.

Tip:

Jika ruang balkoni banyak disinari cahaya matahari, hiaskan pula dengan pelbagai tanaman berbunga yang sesuai. Tanam dalam pasu atau bekas lain supaya ia boleh diubah untuk didedahkan kepada cahaya matahari apabila perlu.

Namun jika kawasan itu terdedah kepada sinaran cahaya matahari yang terlalu teruk, lindungi kawasan tersebut dengan jaring hijau atau hitam supaya tanaman tidak mudah melecur dan mati kekeringan.

Ruang yang teduh pula hanya sesuai ditanam dengan pokok berdaun seperti genus aglaonema, dracaena, syngonium, epipremnum dan sanseviera.

(Sumber: Adaptasi dari artikel Abu Bakr As-Siddiq dalam Berita Minggu)





No comments:

Post a Comment