serenemaklong.blogspot.com
WANG tidak patuh syariah atau wang haram
telah diklasifikasikan oleh Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
(Security Commission) sebagai berikut:
·
Perkhidmatan
kewangan yang berteraskan riba (faedah);
·
Perjudian dan
pertaruhan;
·
Pengeluaran
dan penjualan barangan tidak halal atau barangan berkaitan;
·
Insurans
konvensional;
·
Aktiviti
hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
·
Pengeluaran
dan penjualan barangan berasaskan tembakau atau barangan berkaitan;
·
Pembrokeran atau
jual beli sekuriti yang tidak patuh syariah.
“Dan janganlah kamu makan
harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa
(urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan
sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu
mengetahui.” (Al Baqarah: 188)
Wang tidak patuh syariah tidak boleh dimiliki dan perlu disalurkan
ke Baitulmal bagi tujuan pembersihan. Menurut para sarjana Islam,
Baitulmal telah ditubuhkan secara rasmi pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab
r.a. yang mempunyai fungsi sama seperti Perbendaharaan
Negara dalam konteks amalan masa kini. Harta yang tersimpan di dalam
Baitulmal dianggap dan diperlakukan sebagai harta
Allah atau harta Muslimin.
Ini bererti setiap harta Baitulmal adalah amanah Allah yang
dimiliki bersama kaum Muslimin dan pihak pentadbiran sebagai pemegang amanah.
Oleh itu pemimpin negara harus membelanjakannya untuk urusan kemaslahatan kaum
Muslimin berdasarkan hukum syarak.
Bagi mempertahankan institusi Baitulmal, para khalifah awal Islam
telah meletakkan beberapa konsep asas bagi menentukan pengendalian dan
pengurusan Baitulmal supaya tetap terpelihara daripada sebarang salah laku,
salah guna kuasa dan penyelewengan.
Pendapatan dan perbelanjaan Baitulmal diputuskan berasaskan
Al-Quran dan al-Sunnah di samping proses istinbat hukum seperti ijma, ‘qiyas dan
sumber lain yang bertepatan dengan roh perundangan Islam seperti masalih
al-mursalah, istislah, istishab dan istihsan.
Di Malaysia, Baitulmal ditadbir oleh Majlis Agama Islam
Negeri-Negeri (MAIN) selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan
yang meletakkan urusan agama di bawah senarai negeri.
Pandangan Imam Al-Syafie telah menyatakan bahawa syariah melarang
lapan perkara pokok iaitu: riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar
(monopoli barangan), rasuah dan perniagaan tidak patuh syariah serta
mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan memudaratkan,
pendapatan daripada pelacuran dsb.)
Kaedah melupuskan harta/wang haram mengikut Syeikh Atiyyah Saqar,
mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar adalah seperti berikut:
- Memulangkan kembali harta itu kepada pemilik asal atau waris pemilik asal apabila diketahui orangnnya.
- Jika pemilik asal tidak diketahui, harta itu hendaklah diserahkan kepada fakir miskin bagi memisahkan diri pemegang harta haram itu (di sini pihak Baitulmal) daripada harta haram tersebut. Penyerahan kepada fakir miskin bukan bertujuan untuk mendapatkan pahala daripada serahan itu.
Hal ini adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang
berikut:
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:
Barang siapa yang menzalimi kehormatan atau apa sahaja harta saudaranya,
maka hendaklah dia meminta halal daripadana pada hari ini sehingga jangan
berbaki satu dinar atau dirham pun. Jika tidak, sekiranya dia mempuyai amal
soleh, maka akan diambil amal solehya dengan kadar kezaliman yag dilakukannya,
dan jika tiada lagi kebaikan, maka akan
dipertanggungjawabkan pula kejahatan orang yang dizaliminya itu
kepadanya – HR Al-Bukhari.
Dr Yusuf Al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah telah
memutuskan bahawa wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram
ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional. Ia seolah-olah seperti
menolong bank konvensional tersebut turut menggunakan wang-wang faedah yang
titinggalkan itu bagi tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.
Katanya, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki. Sebaliknya
ia menjadi milik maslahah umum iaitu dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan
seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid
dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dsb.
Dalam konteks ini, yang jelas ialah wang pokok (wang prinsipal)
adalah halal dan boleh digunakan oleh pemiliknya manakala wang faedah adalah
haram dan hendaklah dilupuskan melalui Baitulmal supaya dimanfaatkan bagi kebajikan
umum.
matlamat menghalalkan cara haros la dihindari..
ReplyDeletekerana kepuasan di sini berupa kekesalan di sana..
Betul tu. Kegembiraan yang dirasai kadang-kadang dibalasi ketika berada di tempat yang sementara ini lagi.
ReplyDelete