Wednesday, June 27, 2012

100 Hari Sebelum Kematian


serenemaklong.blogspot.com



ALLAH SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-Nya. Tanda-tanda yang diberikan-Nya adalah bagi menyedarkan hamba-Nya supaya segera bertaubat dan bersedia untuk perjalanan menemui Dia.

Walau bagaimanapun, tanda-tanda ini hanya berlaku ke atas hamba-Nya yang Islam sahaja, sedangkan orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah, nyawa mereka ini dicabut tanpa peringatan, sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Tanda-tanda ini terbahagi pada beberapa keadaan :

Tanda 100 Hari Sebelum Hari Kematian

Ini tanda pertama dari Allah SWT kepada hamba-Nya. Semua orang Islam akan mendapat tanda ini. Adakah mereka sedar atau tidak itu terpulang kepada kehendak-Nya. Lazimnya tanda ini berlaku setelah waktu ‘Asar. Seluruh tubuh mulai dari hujung rambut hingga ke hujung kaki akan mengalami getaran, seakan-akan menggigil. 

Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih, di mana jika diperhatikan dengan teliti, kita akan mendapati daging tersebut seakan- akan bergetar. Tanda ini rasanya nikmat, dan bagi mereka yang sedar dan berdetak di hatinya bahawa mungkin ini adalah tanda kematian maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah timbul kesedaran itu. 

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar akan  kehadirannya, ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang tersisa bagi mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 Hari Sebelum Hari Kematian

Tanda ini juga terjadi sesudah waktu ‘Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pohon yang letaknya di atas ‘Arasy Allah SWT. Malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mulai membuat persediaannya ke atas kita - antaranya dia mula mengikuti kita sepanjang waktu.

Malaikat maut akan memperlihatkan wajahnya sekilas, dan jika ini berlaku, mereka yang terpilih akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Tanda ini diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah sakit di mana orang sakit yang tidak berselera makan itu secara tiba- tiba berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada masa ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita yaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat diketahui / difahami, eloklah kita berpuasa supaya perut tidak mengandungi banyak najis yang mana memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. 

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan perlahan-lahan turun. Ini dapat diketahui jika kita melihatnya daripada bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu ‘Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di bahagian ubun-ubun. Ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu ‘Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Kita akan merasakan satu keadaan dingin di bahagian pusat dan ia akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Penutup

Marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita termasuk di antara orang-orang terpilih oleh Allah yang akan diberi kepekaan terhadap tanda- tanda kematian ini. Semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan baik dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri, dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita. 

Namun demikian, sesuai dengan sifat Allah SWT Yang Maha Kuasa lagi Pemurah, Maha Pengasih, diriwayatkan bahawa tarikh kematian seseorang manusia itu masih dapat diubah dengan amalan doa, baik doa dari kita sendiri maupun doa dari orang lain. Namun hal ini adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.

Marilah kita bersama-sama berdoa semoga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan waktu dan kesihatan tubuh juga fikiran dalam usaha kita mencari keredhaan Allah SWT di dunia mahupun akhirat kelak.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

Wallahualam…

(Sumber: blogmisteri.blogspot.com)

No comments:

Post a Comment