Saturday, June 16, 2012

Manfaat Ruang


serenemaklong.blogspot.com


PENGHUNI rumah pangsa dan apartmen yang mempunyai ruang terhad boleh menanam menggunakan pasu, raga gantung atau bekas tanaman bersaiz besar. Langkah ini menjimatkan ruang penanaman dan memudahkan kerja penanaman dan penjagaan pokok.

Berbanding pokok yang ditanam secara solo, ia lebih menarik jika  disusun kemas dalam pasu atau bekas tanaman yang unik bentuknya. 


Tanaman hiasan dalam kumpulan akan membina satu ekosistem tersendiri kerana tahap kelembapan medium tanaman dan keadaan persekitarannya akan menjadi lebih tinggi. Lagipun daun pokok saling  melindungi antara satu sama lain daripada terik cahaya matahari. Hasilnya pokok tumbuh lebih subur dan menarik penampilannya. 





Kaedah menggubah tanaman hiasan dalam bekas tanaman bersaiz besar.

Langkah 1: Pemilihan bekas tanaman sesuai

Pelbagai jenis bekas tanaman boleh digunakan termasuk pasu, kekotak tanaman, mangkuk tanaman, tempayan antik, bekas kitar semula seperti sinki atau mangkuk tandas retak. Oleh itu pilihlah bekas tanaman yang sesuai untuk laman kediaman.

Langkah 2: Pemilihan tanaman untuk gubahan

Tanaman hiasan yang dipilih mesti mempunyai persamaan dari segi keperluan semula jadinya untuk tumbuh subur seperti air siraman, dedahan kepada cahaya matahari dan campuran medium tanaman yang sama.

Jika keperluan tidak sama, tanaman mungkin tidak dapat hidup sihat dan membesar.
Sebagai panduan dari segi keperluan cahaya, pokok berdaun tidak memerlukan banyak cahaya berbanding pokok berbunga.

Pamerkan ia di ruang yang sesuai dengan keperluan tanaman. Selain tanaman hiasan, boleh juga menanam untuk makanan atau dikenali sebagai tanaman edibel.

Contohnya, pelbagai sayuran yang mudah ditanam seperti sawi, kangkung dan kucai atau tanaman penyedap rasa masakan seperti halia, serai, kunyit, selasih dan sebagainya. Selain berfungsi untuk tanaman hiasan, ia juga boleh menjimatkan perbelanjaan dapur.

Langkah 3: Teknik gubahan

Gunakan kreativiti untuk menggubahnya. Jangan tanam pokok sehingga melindungi satu sama lain. Teknik gubahan untuk bekas tanaman yang berpermukaan bulat adalah seperti berikut:





1. Tanam pokok yang paling tinggi di tengah bekas tanaman.

2. Pokok rendah pula ditanam di sekeliling pokok yang tinggi.

3. Pokok yang paling rendah di bahagian tepi dan sekeliling bekas tanaman. Sebagai pilihan, boleh juga menanam pokok menjalar yang dibiarkan berjuntai ke bawah bagi menutupi sebahagian dari bekas tanaman berkenaan agar tampak semula jadi dan menarik.

Melalui susunan dalam gubahan, pokok yang kurang menarik sebahagiannya boleh disorok di belakang pokok lain yang lebih menarik.

Untuk hiasan di ruang sempit seperti balkoni, sudut ruang tamu dan sebagainya, gunakan beberapa bekas tanaman atau pasu besar yang siap digubah cantik.

Sebagai pilihan, boleh gunakan gubahan yang dicampur bersama  beberapa pasu pokok gantung dan aksesori hiasan taman lain seperti pagar hiasan, batu-batu semula jadi dan set air terjun buatan.

Gubahan tanaman dalam bekas tanaman besar seperti ini bukan saja sesuai untuk hiasan dalam kediaman, malah cantik untuk ruang luaran seperti balkoni, patio, laman, taman dan sebagainya.

(Sumber: Abu Bakar As-Siddiq/Berita Minggu)

No comments:

Post a Comment