serenemaklong.blogspot.com
ISLAM itu indah. Keindahan dicapai bila ada perpaduan. Namun dalam hidup
bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas daripada menghadapi
rintangan dan halangan yang berpunca daripada dalam diri individu itu sendiri.
Sifat sombong dan bangga diri sendiri
sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat orang lain. Sikap ini
akan mendorong perpecahan dalam masyarakat. Berlaku tidak jujur atau bersifat
keras terhadap orang
lain sering menimbulkan rasa tidak puas hati dan dendam antara sesama manusia,
lebih-lebih lagi antara yang memerintah dan yang diperintah.
Sifat keras hati akan merenggang
hubungan dan menghapus rasa kasih sayang dan hormat menghormati antara satu
sama lain. Mereka lupa pada sabda Nabi saw dalam sebuah hadis yang bermaksud:”
Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain.”
Orang bukan Islam tidak mahu memeluk
agama murni ini lantaran sikap orang Islam sendiri yang secara tidak sedar
telah merosakkan agama melalui amalan dan ketaksuban melampau yang tidak sesuai
dengan kesederhanaan dan kebijaksanaan Islam. Dalam banyak hal, persaudaraan umat
Islam kelihatan seolah-olah rapuh. Mudah berpatah arang dan berkerat rotan semata-mata
kerana berbeza ideologi politik.
Namun umat Islam
boleh bersatu dalam sesetengah isu. Sebagai contoh, orang Melayu bersuara
lantang dalam isu pencerobohan Israel ke atas Palestin, isu lukisan karikatur yang
menghina Nabi saw, isu serangan tentera zionis ke atas Kapal Mavi Malmara yang
menyertai misi keamanan di Palestin.
Umat Islam di
Malaysia sebenarnya mempunyai asas persaudaraan yang kukuh. Cuma, kadangkala
sering terbawa-bawa dengan semangat kepartian dan kepuakan.
Kempen politik sering
dipenuhi usaha menaikkan imej sesuatu pihak dan menjatuhkan imej satu pihak
yang lain. Dalam berkempen politik ada pihak yang menggunakan kaedah kurang
wajar seperti membuka aib pihak lain, memfitnah dan mengumpat. Dalam konsep
politik permusuhan, orang dari parti lain dianggap musuh, mesti dikalahkan dan tidak boleh
berkompromi. Inilah yang menjadi kebiasaan sekarang.
Sikap sentiasa
berpecah-pecah boleh menjadi senjata musuh untuk terus menindas umat Islam.
Kalaulah orang Islam bersatu, mereka boleh menjadi kuasa utama di dunia. Tetapi
jika terus bersengketa sesama sendiri, mereka tidak akan mempunyai kekuatan dan
pengaruh.
Umat Islam
boleh berbeza pendapat. Perbezaan dalam memberi pandangan memang dibenarkan dalam Islam. Kerana
sikap berlapang dada di antara ulama-ulama terdahulu itulah yang mewujudkan
empat mazhab yang dianuti oleh umat Islam di dunia. Ulama terdahulu menangani perbezaan masing-masing dengan
penuh adab dan saling menghormati.
Jangan mudah
hilang hormat kepada orang lain disebabkan hal
remeh-temeh, seperti perbezaan penghayatan agama, warna kulit, budaya,
loghat pertuturan, aliran pengajian, taraf pendidikan, status sosial dan
sebagainya.
Berbeza pendapat
tidak bererti orang politik berlainan parti tidak boleh membangun masyarakat
bersama-sama. Umat Islam sudah mempunyai banyak puak untuk saling membenci,
tetapi masih kurang puak untuk saling
membantu dan menyayangi. Kemenangan dan kejayaan hanya akan datang apabila
tercipta perpaduan.
Akhir kata dari saya, Islamkanlah politik, jangan politikkan Islam!
No comments:
Post a Comment