Wednesday, June 13, 2012

Kaburi Pelanggan Guna Ayat Al-Quran


serenemaklong.blogspot.com

AYAT Kursi, ayat 1000 Dinar, surah Yasin dan beberapa potongan surah lazim dalam al-Quran merupakan ayat yang popular digunakan untuk dipamer oleh peniaga di restoran atau kedai makan di negara ini.

Apakah tujuan mereka berbuat demikian? Adakah untuk mewujudkan persekitaran Islam atau hanya sebagai penghias kedai. Bukan hanya satu, malah terdapat sesetengah kedai yang mempamerkan ayat suci bagi umat Islam itu di setiap penjuru dinding dan juga pada papan penyata kedai tersebut.

Sedarkah kita yang merupakan pengguna, bahawa kaedah tersebut merupakan satu helah segelintir peniaga yang cuba mengaut keuntungan dengan menggunakan ayat al-Quran.

Ayat al-Quran yang melambangkan agama Islam disalahgunakan sebagai tarikan kepada pelanggan khususnya orang Islam yang merupakan penganut majoriti di negara ini.

Tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam, peniaga yang tidak bertanggungjawab itu juga cuba mengaburi pelanggan dengan mengambil pekerja yang beragama Islam untuk menarik kepercayaan pelanggan Muslim memasuki kedai mereka.

Bermodalkan persekitaran dan latarbelakang Islam palsu yang digunakan oleh peniaga tersebut menjadi landasan mudah kepada mereka untuk mengelak daripada terkecuali mengambil logo halal yang diiktiraf daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Perkara ini yang membimbangkan Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) dan JAKIM bahawa ia akan terus berleluasa di seluruh negara.Pihak LPKPM menerima pelbagai aduan daripada orang ramai mengenai pelbagai kaedah penipuan yang dilakukan oleh segelintir peniaga makanan untuk mengaburi mata pelanggan.

Peniaga restoran atau kedai makanan melakukan taktik ini kerana tidak mempunyai logo halal atau menggunakan logo yang tidak diiktiraf oleh JAKIM. Oleh itu, mereka menggunakan ayat al-Quran sebagai alat untuk mengelirukan pelanggan Muslim dan mengaut keuntungan.

LPKPM sebagai badan yang bertanggungjawab tidak akan membiarkan peniaga mengambil kesempatan dan tidak akan bertolak ansur terhadap perkara ini demi menjaga kemaslahatan umat Islam. Ia  bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk sentiasa memantau premis perniagaan makanan yang masih berdegil dengan melakukan pelbagai kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang dikuatkuasakan 1 Januari 2012.

No comments:

Post a Comment